[KOLUM SIYASAH] Tauliah
Isu para penceramah yang dilarang memberi ceramah di masjid dan surau terus menarik perhatian masyarakat. Ramai yang terkejut dan merasakan larangan tersebut tidak wajar dilakukan apatah lagi ketika masyarakat dihujani dengan pelbagai bentuk maksiat. Tidak kurang juga yang menyuarakan kebimbangan atas propaganda, undang-undang dan amalan sekularisme yang begitu berleluasa. Lima tahun dahulu kita dikejutkan dengan pendedahan JAKIM bahawa terdapat 310 ribu LGBT. Dan kini, Netflix yang mudah ditonton di rumah menyebarkan kerosakan hinggakan rancangan kartun juga ada yang diselit dengan unsur yang merosakkan seperti LGBTQ .
Konsert Black Pink baru-baru ini yang menyaksikan 60 ribu penonton terkinja-kinja bagai terkena histeria tidak pula disekat walaupun umum mengetahui kesan buruk konsert seperti itu ke atas masyarakat. Filem ‘Mentega Terbang’ yang menonjolkan hak untuk murtad telah ditayangkan sejak tahun 2021 tetapi hingga hari ini tiada tindakan tegas yang diambil.
Jika umat Islam mahu dibebaskan dari keharaman, sepatutnya riba disekat tetapi yang kita lihat riba malah menjadi tulang belakang ekonomi. Kilang arak dan penjualan minuman keras diberi lesen sedangkan ia jelas haram di sisi Islam. Jika umat Islam ingin diberkati Allah SWT, sepatutnya undang-undang Islam ditegakkan, sebaliknya, undang-undang yang diwarisi dari penjajah British masih dipertahankan.
Jika kesucian Islam hendak dipertahankan, ia bukan sahaja dilakukan di masjid dan surau malah di luar masjid dan surau juga ia wajib dipertahankan. Kenapa ada peraturan yang berbeza di dalam dan di luar masjid? Jelas sekali ada yang tak kena. Hipokrasi secara terang-terangan. Kenapa konsert mudah mendapat lesen berbanding penceramah agama yang sudah diketahui umum banyak berjasa menaikkan kesedaran masyarakat?
Sesetengah penceramah agama yang dilarang ini begitu popular sehingga ramai yang akan ke masjid dan surau untuk mengikuti majlis ilmu mereka. Bukankah ini baik untuk mengimarahkan masjid? Kehadiran para penceramah ini menyebabkan orang ramai termasuk anak-anak muda tertarik untuk datang ke masjid yang biasanya dikunjungi hanya oleh orang-orang tua. Tambahan pula dengan berbagai pengaruh buruk akibat dari serangan budaya dan pemikiran sekular yang terus berlaku, umat Islam perlu diselamatkan! Persoalannya, kenapa budaya dan pemikiran yang bertentangan dengan Islam tidak dihalang tetapi para penceramah yang berdedikasi dicegah?
Menjalankan dakwah adalah perintah dari Allah SWT. Allah Azza wa Jalla berfirman:
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (TMQ Ali-‘Imran:104)
Menghalang pendakwah adalah seperti menghalang perintah Allah SWT. Negara sepatutnya menghasilkan ramai pendakwah yang faqih di dalam Deen dan mempermudah usaha mereka untuk berdakwah. Memang benar, pemerintah mesti mengawal isi kandungan dakwah agar sesuai dengan al-Quran dan Sunnah tetapi janganlah sampai menghalang para pendakwah yang ikhlas dan benar. Hakikatnya negara harus mempermudah semua usaha dakwah, bukannya menghalangnya atas alasan yang berbau politik atau kerana masalah perbezaan pandangan. Hanya dengan cara ini kita akan dapat meraih keredaan Allah dan mempertahankan kesucian Islam.
Sumber: mykhilafah