[Nafsiyah] Bersyukurlah kerana kita ditemukan dengan dakwah ideologi Islam
Penulis: Adi Victoria
Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani rahimahullah telah memberi pesanan supaya jangan menjadikan fakta atau realiti sebagai mashdar atau sumber untuk menghukumi, tetapi sebagai objek yang mesti dihukumi, iaitu adakah sesuai dengan Islam atau tidak.
Beliau mengatakan dalam kitab mafahim bahawa, “hal yang berbahaya ialah memindahkan perasaan menjadi bentuk perbuatan secara langsung tanpa difikirkan terlebih dahulu kerana hal ini tidak akan mengubah realiti, akan tetapi ia menjadikan manusia berfikir ke belakang. Dia berjalan dengan pemikiran yang rendah dengan menempatkan realiti atau kenyataan sebagai sumber pemikiran, bukan sebagai objek pemikiran.”
Dengan ini, menjadi mudah untuk kita melihat bahawa realiti yang ada itu tidak terkurung dalam perasaan. Namun, perasaan tersebut dibawa kepada pemikiran yang telah menjadikan Islam sebagai landasan berfikir, termasuk ketika kita melihat realiti kehidupan bermasyarakat, bangsa, serta negara.
Inilah yang disebut dengan pemikiran Islam, seperti yang disebutkan oleh Syeikh Muhammad Husain Abdullah dalam bukunya Ad-Dirasatu Fii Fikril Islami, bahawa pemikiran Islami adalah,
الحكم على الواقع من وجهة نظر الإسلام
“Usaha menilai fakta dari sudut padang Islam”
Sayangnya, ramai umat Islam yang masih salah penilaian terhadap realiti yang ada, sehingga ada yang mengatakan, “Syariat Islam itu memang wajib, tetapi tidak boleh dilaksanakan di negara ini kerana ini bukan negara Islam.”
Kata-kata tersebut tidak akan diungkapkan melainkan pemahaman seseorang telah terikat dengan konsep realiti, iaitu menjadikan realiti sebagai mashdar atau sumber untuk menghukumi sesuatu.
Walhal, sudah jelas dinyatakan dalam Islam bahawa tolok ukur seseorang ialah ketika dia menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai standard untuk menilai sesuatu itu samada benar atau salah. Allah SWT berfirman,
فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ
“Kemudian, jika kamu berbeza pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah kepada Allah (al-Quran) dan Rasul-Nya (sunnah) jika kamu beriman kepada Allah dan hari kemudian.” [TMQ an-Nisa (4): 59]
Rasulullah SAW juga telah berpesan kepada umatnya,
إني قد تَرَكْتُ فِيكُمْ شَيْئَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا بَعْدَهُمَا : كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّتِي » [أخرجه الحاكم]
“Sesungguhnya telah aku tinggalkan pada kalian dua perkara yang tidak akan tersesat selagi (kalian) berpegang teguh dengan kedua-duanya iaitu al-Quran dan sunnahku.” [HR Al-Hakim]
Alhamdulillah, suatu kesyukuran yang tidak terhingga ketika kita ditemukan dengan dakwah yang diasaskan oleh Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani rahimahullah sehingga setiap segala sesuatu perkara menjadi jelas, tidak ada kekeliruan dalam membina suatu pemikiran dan ketika kita ingin melakukan suatu perkara. Alhamdulillah. Wallahu’alam.