TUGAS MULIA ULAMA: MENJAGA WARISAN NABI SAW
Sudah seabad sejak Khilafah yang merupakan satu-satunya sistem pemerintahan Islam dimusnahkan, malah dihapuskan daripada peta dunia. Sudah satu abad juga sejak Khilafah sebagai ajaran Islam—terus berusaha dihapuskan dari fikiran umat Islam.
Khilafah rasmi dibubarkan oleh Mustafa Kamal Ataturk, seorang Yahudi keturunan Dunamah, pada tarikh 3 Mac 1924 (27 Rejab 1342). Tepat pada satu abad yang lalu. Pembubaran Khilafah—iaitu Khilafah Uthmaniyyah—oleh Mustafa Kamal disokong sepenuhnya oleh British, sebagai negara penjajah utama saat itu. Bahkan Britishlah ‘pengarah’ di sebalik pembubaran Khilafah. Ini kerana penghapusan sistem Khilafah merupakan salah satu syarat yang dikemukakan oleh British supaya kuasa Mustafa Kamal Ataturk ke atas negara Turki diiktiraf. Syarat-syarat lain termasuklah Mustafa Kamal mesti segera mengisytiharkan Turki sebagai negara sekular [Mahmud Syakir, Târîkh al-Islâm, 8/233].
Beberapa bulan selepas penghapusan sistem Khilafah, pada 24 Julai 1924, kemerdekaan Negara Turki sekular diiktiraf secara rasmi dengan menandatangani Perjanjian Lausanne. Ternyata, pengiktirafan kemerdekaan Turki ini ditentang oleh sekutu British. Bagaimanapun, untuk meyakinkan sekutunya, seorang pegawai Pejabat Luar Britain pada masa itu, George Curzon, mengulas,
“The point at issue is that Turkey has been destroyed and shall never rise again because we have destroyed her spiritual power: The Caliphate and Islam” (Asas permasalahannya adalah bahawa Turki telah dihancurkan dan tidak akan bangkit kembali. Ini kerana kita telah menghancurkan kekuatan spiritualnya: Khilafah dan Islam).” [The Middle East, Vol 30, Part 4, p. 39].
Satu Abad Wacana Menolak Khilafah
Setahun sejak Khilafah dibubarkan, seorang ulama al-Azhar, Ali Abdur Raziq, menulis sebuah buku yang sangat kontroversial pada masa tersebut. Ini kerana di dalam buku tersebut Ali Abdur Raziq dengan berani menolak kewajipan menegakkan Khilafah yang telah disepakati oleh para ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah (Aswaja). Bahkan dia menolak Khilafah sebagai sebahagian dari ajaran Islam. Buku yang dimaksudkan berjudul Al-Islâm wa Ushûl al-Hukm yang diterbitkan di Kairo, Mesir, pada tahun 1925.
Oleh kerana sikapnya yang menentang Khilafah, Ali Abdur Raziq diadili oleh Majelis Ulama al-Azhar di bawah pimpinan al-Azhar ketika itu iaitu Syeikh Muhammad Abu al-Fadhl dengan 24 orang anggota Kuorum Ulama al-Azhar. Para ulama tersebut secara ijmak (konsensus) telah memecat Ali Abdur Raziq dari Kor Ulama al-Azhar. Ali Abdur Raziq juga telah dipecat daripada semua jawatan yang disandangnya di al-Azhar.
Keputusan Ulama al-Azhar tersebut seolah-olah ingin menegaskan bahawa Ali Abdur Raziq tidak lagi layak menyandang status ulama—apatah lagi ulama al-Azhar—kerana telah menolak Khilafah. Ini adalah keputusan yang tepat.
Boleh dikatakan sejak Ali Abdur Raziq, bermulalah wacana penolakan Khilafah. Malangnya, sejak itu wacana penolakan Khilafah terus dikumandangkan di dunia Islam. Malah pada hari ini, selepas satu abad, semakin ramai ulama-termasuk mereka yang mendakwa Aswaja-malah mengikut jejak Ali Abdur Raziq, seorang tokoh yang dipecat sebagai ulama sejurus selepas penerbitan bukunya yang menolak Khilafah.
Khilafah Warisan Rasulullah SAW
Rasulullah SAW pernah bersabda:
فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الْمَهْدِيِّينَ الرَّاشِدِينَ وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ
“Kalian wajib berpegang teguh pada Sunnahku dan Sunnah Khulafaur Rasyidin yang mendapatkan petunjuk dan gigitlah ia oleh kalian dengan gigi geraham” [HR Abu Dawud].
Sunnah Khulafaur Rasyidin yang paling menonjol tentu saja adalah Khilafah ar-Râsyidah ‘alâ minhâj an-Nubuwwah. Khilafah ini merupakan kelanjutan dari Daulah Islam (Negara Islam) yang didirikan oleh Rasulullah SAW sejak pertama kali baginda berhijrah ke Madinah. Dengan demikian Daulah Islam atau Khilafah Islam merupakan satu-satunya sistem pemerintahan Islam yang diwariskan oleh Rasulullah SAW yang wajib dipegang teguh oleh seluruh umat Islam.
Sewajarnya selepas era Khulafaur Rasyidin berakhir, umat Islam terus meneruskan kepimpinan Khilafah ini. Berakhirnya Khilafah pada zaman Khulafaur Rasyidin diikuti dengan segera oleh Khilafah zaman Umayyah, kemudian zaman Abbasiyah dan yang terakhir, zaman Uthmaniyyah. Malangnya, pada zaman Uthmaniyyah itulah Khilafah dibubarkan oleh musuh-musuh Islam selepas tidak kurang daripada 14 abad ia menjadi institusi penjaga Islam dan pelindung serta perisai bagi umat Islam sedunia. Sedangkan pada zaman Khilafahlah umat Islam mencapai puncak kegemilangan dan zaman keemasan peradaban mereka. Ini telah diakui secara meluas dan banyak kali bahkan oleh pakar Barat yang jujur. Salah seorang daripada mereka ialah Will Durant. Dia berkata,
“Para Khalifah telah memberikan keselamatan kepada manusia secara besar-besaran yang luar biasa untuk kehidupan dan usaha keras mereka. Para khalifah juga telah menyediakan pelbagai peluang kepada sesiapa yang memerlukan dan memberikan kebajikan serta kesejahteraan selama berabad-abad di kawasan yang tidak pernah direkodkan fenomena seperti itu sejak zaman mereka. Kegigihan dan kerja keras mereka menjadikan pendidikan tersebar luas sehingga pelbagai ilmu, sastera, falsafah dan seni mengalami kegemilangan yang luar biasa; yang menjadikan Asia Barat sebagai bahagian paling maju di dunia dalam tamadunnya selama lima abad.” [Will Durant – The Story of Civilization].
Kenyataan Will Durant tersebut sudah cukup memadai sebagai bantahan terhadap mereka yang menuduh Khilafah sebagai ancaman kepada dunia.
Khilafah Ajaran Asli Ulama Aswaja
Para ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah (Aswaja) sesungguhnya telah menegaskan bahawa mendirikan Khilafah atau mengangkat Khalifah untuk seluruh kaum Muslim sedunia adalah wajib. Kewajipan ini merupakan Ijmak Sahabat bahkan telah menjadi ijmak majoriti ulama. Imam an-Nawawi, salah seorang ulama Aswaja sekaligus ulama mu’tabar mazhab Syafie, di dalam kitabnya, Syarh Shahîh Muslim, menegaskan:
وَأَجْمَعُوا عَلَى أَنَّهُ يَجِبُ عَلَى الْمُسْلِمِينَ نَصْبُ خَلِيفَةٍ وَوُجُوبُهُ بِالشَّرْعِ لَا بِالْعَقْلِ. وَأَمَّا مَا حُكِيَ عَنِ الْأَصَمِّ أَنَّهُ قَالَ لَا يَجِبُ وَعَنْ غَيْرِهِ أَنَّهُ يَجِبُ بِالْعَقْلِ لَا بِالشَّرْعِ فَبَاطِلَانِ
“Para ulama telah berijmak bahawa wajib atas kaum Muslim mengangkat seorang khalifah. Kewajipan ini berdasarkan pada ketetapan syariah, bukan didasarkan pada ketentuan akal. Adapun yang diriwayatkan dari al-Asham bahawa mengangkat khalifah tidak wajib, juga dari yang selain dia bahawa mengangkat khalifah wajib berdasarkan akal, bukan berdasarkan syariah, maka pendapat kedua-duanya adalah batil” [An-Nawawi, Syarh an-Nawawi ‘alâ Muslim, 6/291].
Pernyataan Imam an-Nawawi ini sekaligus merupakan pendapat asal ulama Aswaja tentang Khilafah. Justeru, yang menolak kewajipan Khilafah adalah al-Asham, dari kalangan Muktazilah. Disebutkan al-Asham, sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Qurthubi, kerana dia tuli terhadap syariah [Lihat: Al-Qurthubi, Al-Jâmi’ li Ahkâm al-Qur’ân, 1/264].
Oleh yang demikian, mereka yang menolak kewajipan Khilafah jelas menyalahi ajaran ulama Aswaja. Mereka justeru mengikuti pendapat al-Asham, yang tuli terhadap syariah.
Tugas Mulia Ulama
Allah SWT berfirman:
إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ
“Sungguh yang paling takut kepada Allah di antara para hamba-Nya adalah para ulama” [TMQ Fathir (35): 28].
Nabi SAW juga bersabda:
العُلَمَاءُ وَرَثَةُ اْلأَنْبِيَاءِ
“Para ulama itu adalah pewaris para nabi” [HR Abu Dawud dan at-Tirmidzi].
Jelaslah bahawa Allah SWT dan Rasul-Nya telah memuliakan para ulama yang bertakwa, yang hanya takut kepadaNya. Mereka inilah yang senantiasa berani menyatakan kebenaran dan tidak takut kepada sesiapapun selain kepada Allah SWT.
Khilafah jelas merupakan ajaran Islam. Khilafah bahkan merupakan sebahagian dari syariah Islam yang agung. Kewajipan menegakkan Khilafah juga telah disepakati oleh para ulama sejak dulu. Oleh yang demikian, para ulama saat ini mestilah menyuarakan Khilafah dengan benar, sebagaimana yang dijelaskan oleh para ulama terdahulu. Bukan menjadi penyambung lidah para penolak Khilafah. Apalagi di barisan mereka berdiri pemimpin kaum kafir penjajah, baik yang dulu seperti George Curzon mahupun yang kini seperti George Bush, Tony Blair dan para pemimpin kafir Barat penjajah lain yang sememangnya membenci Khilafah. Ingatlah, kewajipan ulama adalah untuk menerangkan ajaran Islam—termasuk Khilafah—sebagaimana yang sepatutnya kepada manusia.
Allah SWT berfirman:
لَتُبَيِّنُنَّهُ لِلنَّاسِ وَلاَ تَكْتُمُوْنَهُ
“Hendaklah kalian menjelaskan isi Kitab itu kepada umat manusia dan tidak kalian sembunyikan” [TMQ Ali Imran (3): 187].
Sesungguhnya menegakkan Khilafah di muka bumi merupakan kewajipan yang paling agung. Asasnya—selain al-Quran dan as-Sunnah—adalah Ijmak Sahabat. Imam al-Haitami menyatakan:
بَلْ جَعَلُوْهُ أَهَمَّ الْوَاجِبَاتِ حَيْثُ اِشْتَغَلُّوْا بِهِ عَنِ دَفْنِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
“Bahkan para Sahabat menjadikan pemilihan dan pengangkatan khalifah sebagai kewajipan paling penting. Buktinya, mereka menyibukkan diri dengan pemilihan dan pengangkatan khalifah tersebut seraya menunda (sementara) pemakaman Rasulullah SAW. “[Al-Haitami, Ash-Shawâ’iq al-Muhriqah, hlm. 55].
Khatimah
Oleh itu, yang sepatutnya dilakukan oleh para ulama saat ini bukan saja menyuarakan kewajipan menegakkan Khilafah. Mereka sepatutnya turut berjuang untuk menegakkan kembali Khilafah. Ini jelas selari dengan ajaran para ulama Aswaja seperti Imam an-Nawawi, Imam al-Haitami, Imam Qurthubi, Imam al-Ghazali, Imam al-Mawardi, Imam ar-Ramli dll. Bahkan Imam asy-Syathibi—seorang ulama besar yang pendapatnya tentang maqâshid asy-syarî’ah sering dijadikan dasar untuk menolak Khilafah—memandang Khilafah sebagai fardhu kifayah [Asy-Syathibi, Al-Muwâfaqât, 1/127].
Menurut Syeikh Mahmud Abdul Karim Hasan, maqâshid asy-syarî’ah ini justeru hanya akan mampu diwujudkan di dalam sistem Khilafah. Bukan dalam sistem pemerintahan demokrasi-sekular ataupun sistem yang lain meskipun di bawah payung Piagam PBB sekalipun, yang sebenarnya bukan syariah kerana tidak distinbâth dengan al-Quran dan as-Sunnah.
Wallâhu’alam.
Hikmah:
Imam Malik RA berkata:
لَنْ يُصْلِحَ آخِرَ هَذِهِ الأُمَّةِ إِلاَّ مَا أَصْلَحَ أَوَّلَهَا
“Tiada yang akan mampu memperbaiki keadaan generasi terakhir umat hari ini melainkan apa yang telah terbukti mampu memperbaiki keadaan generasi pertama mereka.”[Imam at-Tirmidzi, Adhwâ’ al-Bayân [Mukhtashar asy-Syamâíl Muhammadiyyah]], 2/282].
Sumber: BULETIN DAKWAH KAFFAH, EDISI 281