[Fikih] Hukum Berdakwah dalam Suatu Majlis yang Mengandungi Keharaman
Oleh: K.H. Muhammad Shiddiq al-Jawi, M.Si.
Soalan:
Assalamualaikum
Ustaz, izinkan kami mengajukan beberapa persoalan:
- Adakah seorang dai dibolehkan menghadiri suatu majlis yang mempunyai beberapa aktiviti dan acara, termasuk acara di pentas muzik yang menampilkan penyanyi wanita bagi mengisi pengajian?
- Jika jawapan bagi pertanyaan pertama adalah boleh, maka apakah yang menjadi syarat-syaratnya?
- Bolehkah bekerjasama dengan pihak lain untuk menyelenggarakan majlis hiburan agar ada peluang untuk berceramah di dalam majlis itu, walaupun majlis tersebut akan menampilkan penyanyi dan penari, aurat, tabarruj, dan ikhtilath dengan mengiklankan, menarik peserta, menjual tiket dan ikut serta dalam mempersiapkan pelaksanaannya?
- Apakah ketentuan syariah yang mesti dijadikan pedoman dalam memilih uslub dakwah yang sesuai dengan pelbagai kecenderungan sasaran dakwah?
- Demikianlah pertanyaan kami, Ustaz. Kami mendoakan jazakallahu khairan katsira atas perhatian dan jawapannya.
(Hamba Allah)
Jawapan:
Jika pertanyaan nombor 1, 2, dan 3, dapat kami ringkaskan di sini, sebenarnya pertanyaan yang paling penting hanya satu sahaja, iaitu, ”Adakah seorang dai dibolehkan datang mengisi pengajian di suatu majlis hiburan agar ada peluang berceramah di antara beberapa acara di dalam majlis itu walaupun majlis tersebut akan menampilkan penyanyi dan penari, aurat, tabarruj, dan ikhtilath?”
Jawapannya adalah tidak boleh, atau diharamkan oleh syarak. Jadi tidak boleh seorang dai datang mengisi pengajian di suatu majlis hiburan yang akan menampilkan penyanyi dan penari, aurat, tabarruj(*), dan ikhtilath (**) walaupun kedudukan dai itu sekadar sebagai pihak yang diundang, mahupun sebagai pihak yang turut menyelenggarakan majlis atas dasar bekerjasama. Semuanya diharamkan, tidak dibenarkan secara syariat.
Dalil keharamannya adalah syarak tidak membolehkan mencampurkan kegiatan yang halal (seperti dakwah) dengan kegiatan yang haram, seperti majlis hiburan yang menampilkan penyanyi dan penari, aurat, tabarruj, dan ikhtilath. Jika yang halal dan yang haram bercampur dalam suatu majlis seperti ini, maka hukum akhir yang terhasil adalah haram, sesuai kaedah fikih seperti berikut,
إِذَا اجْتَمَعَ الْحَلَالُ وَالْحَرَامُ غٌلِّبَ الْحَرَامُ
“Jika yang halal bertemu dengan yang haram, maka dimenangkan hukum haramnya.” [Arab : idza [i]jtama’a al-ḥalālu wa al-ḥarāmu ghulliba al-ḥarāmu.]
[Imam Jalāluddīn al-Suyūṭiy, Al-Ashbāh wa al-Naẓā`ir, hlm. 105; Imam Ibnu Nujaym, Al-Ashbāh wa alNaẓā`ir, hlm. 109; Muhammad Shidqiy al-Būrnū, Al-Wajīz fī Ῑḍāh Qawā’id al-Fiqh al-Kulliyyah, hlm. 209; ‘Aliy Aḥmad al-Nadwiy, Al-Qawā’id al-Fiqhiyyah, hlm. 309; Muhammad Shidqiy al-Būrnū, Mausū’ah al-Qawā’id al-Fiqhiyyah, 1/421].
Berdasarkan kaedah tersebut, bererti dai yang berceramah dalam suatu majlis tersebut, sudah terjerumus ke dalam keharaman, kerana ceramah yang dia lakukan bukanlah acara yang berdiri sendiri, atau sebagai acara tunggal, tetapi hanya sebagai bahagian (the part of) dari gabungan acara-acara yang menjadi satu kesatuan majlis yang diselenggarakan.
Situasi yang wujud akhirnya adalah percampuran antara yang halal dengan yang haram. Yang halal adalah ceramahnya si dai, sedangkan yang haram adalah rangkaian acara-acara hiburan yang ada, mungkin sahaja sebelum atau sesudah ceramah si dai, yang menampilkan aurat dalam nyanyian dan tarian, juga terjadinya tabarruj dan ikhtilath.
Ini juga selari dengan kaedah fikih yang kami sebutkan di atas, maka hukum akhirnya adalah hukum haram untuk majlis tersebut secara keseluruhan, termasuk kedatangan dan kegiatan ceramah yang dilakukan oleh si dai.
Kaedah fikih yang kami sampaikan tersebut merupakan kaedah fikih yang masyhur yang terdapat di dalam pelbagai kitab ushul fikih, sebagaimana kami sebutkan juga di atas kitab-kitab ushul fikih sebagai marāji’ yang memuatkannya. Dan jika kita memperhatikan contoh-contoh dari para ulama mengenai aplikasi dari kaedah fikih itu, akan terdapat dugaan kuat (ghalabat al-ẓẓann) bahawa kaedah fikih tersebut memang merupakan kaedah yang tepat atau sesuai untuk menghukumi kegiatan dai dan majlis hiburan yang ditanyakan.
Mari kita lihat beberapa contoh aplikasi dari kaedah fikih tersebut, yang kami ambil dari kitab Qā’idah Idzā Ijtama’a al-Ḥalālu wa al-Ḥarāmu Ghulliba alḤarāmu karya Syeikh Ahmad bin Muhammad Al-Sarāh. [Lihat Ahmad bin Muhammad Al-Sarāh, Qā’idah Idzā Ijtama’a al-Ḥalālu wa al-Ḥarāmu Ghulliba al-Ḥarāmu, Riyāḍ : Dār al-Shamīmīy, Cetakan I, tahun 1436 H].
- Contoh pertama, jika ada haiwan yang dilahirkan dari perkahwinan silang antara haiwan yang halal dimakan, dengan haiwan yang haram dimakan, seperti baghal (kacukan hasil perkahwinan silang antara kuda dan keldai), maka baghal itu haram dimakan.
- Contoh kedua, jika ada haiwan yang dilahirkan dari haiwan liar (wahsyi) dan haiwan yang tidak liar (ghairu wahsyi), maka haiwan kacukan itu haram dimakan bagi orang yang berihram (yang sedang berumrah atau berhaji).
- Contoh ketiga, jika bercampur daging-daging antara bangkai (yang haram dimakan) dengan sembelihan yang syarie (yang halal dimakan), maka haram hukumnya memakan daging yang terdapat dalam campuran daging-daging itu.
- Contoh keempat, jika seorang muslim dan seorang Majusi sama-sama berburu dan menyembelih binatang, maka haram hukumnya memakan haiwan hasil buruan dan sembelihan tersebut.
- Contoh kelima, jika bercampur baur dan samar-samar isteri dari seseorang dengan wanita-wanita yang lain di suatu bilik yang gelap, maka haram hukumnya seseorang (suami dari isteri tersebut) menggauli salah seorang dari wanita-wanita yang ada.
Dari contoh-contoh tersebut, mudah-mudahan jelas dalam pemahaman kita, bagaimana menerapkan kaedah fikih yang berbunyi,
إِذَا اجْتَمَعَ الْحَلَالُ وَالْحَرَامُ غٌلِّبَ الْحَرَامُ
“Jika yang halal bertemu dengan yang haram, maka dimenangkan hukum haramnya.”
Berdasarkan kaedah fikih dan contoh-contoh aplikasinya tersebut, kiranya cukup tepat jika kaedah tersebut dapat diterapkan juga untuk kes seorang dai yang berceramah dalam suatu majlis yang dalam rangkaian acaranya mengandungi perkara-perkara yang diharamkan syariat, seperti menampilkan aurat dalam nyanyian dan tarian, juga terjadinya tabarruj dan ikhtilath di antara peserta majlis.
Dapat kami tambahkan, bahawa seandainya dai tersebut berniat baik untuk menyampaikan dakwah, maka niat yang baik tersebut tetap tidak dapat membenarkan hal-hal yang diharamkan, termasuk juga tidak dapat membenarkan kehadiran si dai tersebut dalam majlis yang mengandungi keharaman-keharaman tersebut. Dasarnya adalah kaedah fikih,
اَلنِّيَّةُ الْحَسَنَةُ لَا تُبَرِّرُ الْحَرَمَ
“Al-niyyat al-ḥasanah lā tubarrir al-ḥarām” (niat yang baik tidak dapat membenarkan yang haram, Eng : The good will does not justify the unlawful). [Yūsuf al-Qaraḍāwiy, Al-Ḥalāl wa al-Ḥarām fī al-Islām, hlm. 33].
Mengenai menjalankan kerjasama dengan pihak lain untuk menyelenggarakan majlis hiburan yang mengandungi pelbagai keharaman, hukumnya juga haram, berdasarkan dalil al-Quran yang melarang kerjasama atau tolong menolong dalam dosa, sesuai dengan firman Allah SWT,
وَلَا تَعَاوَنُوْا عَلَى الْاِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
“Dan janganlah kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.” [TMQ al-Ma`idah (5): 2].
Yang terakhir ialah mengenai uslūb (cara) dalam dakwah, maka kaedahnya adalah carilah cara (uslūb) yang dihalalkan oleh syariat, bukan uslūb yang haram, atau uslūb yang halal tetapi berpotensi kuat dapat membawa kepada yang diharamkan [Aḥmad Al-Maḥmūd, Al-Da’wah Ilā al-Islām, hlm. 36]
Tidak dibolehkan berdakwah dengan menggunakan cara-cara (uslūb) yang diharamkan oleh syariat. Contohnya:
1-berdakwah kepada para peminum khamar dan pemabuk dengan mendatangi majlis-majlis mereka yang dihidangkan khamar di situ atau bahkan si dai itu turut meminum khamr di tempat tersebut;
2-atau berdakwah kepada para pelacur di tempat-tempat pelacuran atau penempatan mereka;
3-atau berdakwah kepada para pemain judi di tempat-tempat perjudian mereka seperti kasino-kasino;
4-atau berdakwah kepada kaum LGBT (la’natullāhi ‘alayhim, semoga Allah mengutuk mereka) pada saat adanya majlis-majlis mereka, seperti perarakan Gay Pride;
5-atau berdakwah kepada kaum muda yang fanatik pada budaya K-Pop (budaya pop Korea), dengan berceramah dalam suatu majlis yang di situ terdapat pelbagai penyimpangan syariat seperti ikhtilat, tabarruj, menampakkan aurat, dan sebagainya.
Semua acara yang diharamkan seperti ini tidak boleh ditempuh dalam berdakwah, walaupun tujuannya baik, iaitu menyampaikan dakwah Islam, kerana Islam menolak dengan tegas kaedah yang umum dalam Peradaban Barat, iaitu “tujuan dapat menghalalkan segala cara” (the end justifies the means) ala Niccolo Machiaveli (w. 1527) dalam bukunya Il Principe (Sang Penguasa).
Imam Taqiyuddin an-Nabhani, raḥimahullāh, menegaskan suatu kaedah fikih yang sebaliknya, yang menjadi ciri khas Peradaban Islam, yang berbunyi,
اَلْغَايَةُ لَا تُبَرِّرٌ الْوَاسِطَةَ
“Al-ghāyah lā tubarrir al-wāsiṭah” (tujuan tidak dapat membenarkan segala macam cara, Eng : the end does not justify the means). [Taqiyuddin An-Nabhani, Muqaddimah Al-Dustūr, Juz II, hlm. 181].
Kaedah fikih yang sinonim dikemukakan juga oleh Syeikh Ahmad al-Mahmud dalam kitabnya Al-Da’wah Ilā al-Islām :
لَايُتَوَصَّلُّ إِلىَ الْحَلَالِ بِالْحَرَامِ
“Lā yutawaṣṣalu ilā al-halāl bi al-harām”, (tidak boleh meraih yang halal melalui cara yang haram, Eng : it is not permissible to reach the halal by the haram). [Aḥmad Al-Maḥmūd, Al-Da’wah Ilā al-Islām, hlm. 101].
Demikianlah jawapan kami, semoga Allah SWT memberikan hidayah dan taufikNya kepada kita semua. Amin.
(*) tabarruj adalah perbuatan wanita muslimah menampakkan perhiasan dan keindahan tubuhnya di hadapan lelaki bukan mahramnya.
(**) ikhtilath adalah pertemuan dan interaksi antara perempuan dan lelaki yang bukan mahramnya di suatu tempat tanpa ada hajat yang dibenarkan oleh syariat.