Mari Melabur di bulan Ramadhan dengan Memahami Islam secara Benar, dan Beramal secara Kaffah
Pelbagai bentuk kesalahan, penyelewengan, dan pengubahan infromasi telah dilakukan ke atas umat Islam selama beberapa dekad, untuk menghapuskan agama mereka dan memesongkan mereka daripadanya, tetapi Ramadhan kembali kepada kita saban tahun untuk mengesahkan bahawa kebaikan masih terpendam di dalam dada umat, manakala kecelaruan yang melanda hati umat Islam pasti akan lenyap kelak, insya-Allah. Lebih-lebih lagi jika usaha-usaha kesedaran tersebut digabungkan dengan konsep-konsep dan perawatan Islam yang murni, serta memelihara jalan ke arah menuju matlamat mereka, iaitu untuk menggapai keredhaan Allah.
Salah satu kesamaran yang perlu disingkirkan oleh para pemuda umat Islam yang ikhlas adalah, sikap kebanyakan kaum Muslim yang menghadkan diri mereka kepada aspek rohani dan moral Islam sahaja, mengenepikan hal-hal selainnya, dan merasa berpuas hati dengannya. Situasi ini kelihatan jelas di bulan Ramadhan juga, di mana kerelaan mereka terserlah untuk solat, berpuasa, dan berdoa, malah bersegera membaca Al-Quran pada waktu malam dan di penghujung siang hari, serta bersedekah. Namun, ternyata mereka membataskan diri mereka terhadap amal-amal tersebut sahaja. Selain itu, situasi ini turut muncul pada masa selain Ramadhan, menerusi kesilapan tanggapan atau konsep bahawa seorang Muslim yang komited hanyalah orang yang khusyuk dalam solatnya dan orang-orang selamat dari lidah dan tangannya.
Islam, yang Allah jadikan sebagai agama terakhir, telah diturunkan oleh-Nya untuk membentuk semua aspek kehidupan manusia. Atas sebab itulah juga Rasulullah (saw), menyasarkan untuk mendirikan negara Islam. Beliau dan para sahabat yang mulia melaksanakan seruan (mengajak pada Islam) dan melakukan banyak pengorbanan yang berharga dalam perjalanan ke arah merealisasikannya. Justeru, Ramadhan bagi mereka adalah bulan ketaatan dan penaklukan, bulan Al-Quran dan Al Furqan. Di dalam bulan ini, lidah-lidah mereka dibasahi dengan bacaan doa dan ayat-ayat suci, manakala jiwa mereka dikorbankan dalam jihad, demi menegakkan firman Allah, dan menyebarkan seruan (dakwah). Jadi, mereka menggabungkan aspek rohani, moral, politik, ekonomi dan lain-lain, seperti mana Islam tidak pernah meninggalkan sebarang kelompangan tanpa menjelaskan hukum atau ketetapan yang mesti diambil tindakan. Islam telah diterapkan dan tanahnya berkembang luas dengan timbangtara Syariat Allah, kaum Muslim pula memiliki status kedudukan, perisai, dan pesanan yang menjadikan mereka menzahirkan kebaikan di dalamnya. Perkara ini disaksikan oleh seluruh bangsa manusia.
Namun, keadaan telah berubah selepas itu. Ada sebahagian pengganti (pemimpin) selepas mereka yang meninggalkan solat, malah meninggalkan penerapan sistem Islam dalam semua aspek kehidupan, dan umat Islam terdedah kepada panah-panah musuhnya yang menyerang hukum-hukum Islam serta pandangannya tentang kehidupan, serta mencampur-adukkan kebenaran dengan kebatilan menerusi pembohongan, rekaan dan pemalsuan.
Akibat serangan intelektual Barat dan kurangnya kesedaran, kefahaman Islam menjadi lemah dalam pemikiran umat Islam, dan agama sekadar menjadi urusan kerohanian dan para imam. Ia terkurung di antara sudut-sudut masjid dan dalam aspek akhlak yang mulia sahaja. Selebihnya, hukum-hukum Islam yang agung menjadi lapuk dan orang-orang mula mengabaikannya. Sebab itulah orang-orang yang peduli untuk menggapai redha Allah di bulan yang mulia ini mesti menyingsingkan lengan bajunya terlebih dahulu untuk memahami kebenaran agamanya, agar dia menerima ketaatan dan bersegera melaksanakan kewajipan-kewajipan sebagaimana yang diperintahkan Allah SWT kepada mereka, dan tidak memilih-milih mengikut kehendak sesuka mereka dengan mengambil sebahagian dan berpaling daripada yang lainnya.
Salah satu kewajipan terbesar yang diperintahkan Allah ialah mendirikan negara yang memerintah dengan undang-undang (syariat Islam) dan membawa risalah Islam (dakwah) ke seluruh dunia. Seorang Muslim mesti sedar bahawa terlibat dalam politik, iaitu, menjaga hal ehwal manusia, adalah kerja yang dilakukan oleh Nabi kita (saw), dan ia adalah satu ibadah. Umat Islam juga perlu faham bahawa politik bukanlah licik, tipu daya, Machiavellianisme, dan bukannya kekotoran yang mencemarkan agama, seperti mana yang digambarkan oleh para musuh secara sengaja. Sebaliknya, ia adalah kaedah untuk memulihkan kembali aturan-aturan yang merangkumi sistem politik dan ekonomi, serta segala-galanya yang akan membawa kita kembali sebagaimana kita (umat Islam) yang dahulu, sebuah negara dengan kedaulatan dan kekuasaan, makmur dengan hukum Tuhannya dan risalah-Nya yang dikirim sebagai rahmatan lil `alamin.
Oleh yang demikian, menjadi keperluan untuk turut sama bertindak dengan orang-orang yang bekerja ke arah mendukung agama (Islam) dan berusaha mengembalikannya semula dalam kehidupan, agar kompas mereka menghalakannya ke arah yang benar di jalan komitmen kepada perintah dan larangan Allah. Tidak ada yang lebih baik daripada bulan Ramadhan ini untuk mengisytiharkan taubat dan perjanjian dengan Allah untuk terus maju di atas jalan ketaatan dan ibadah.
Selain itu, sangat penting untuk berusaha sungguh-sungguh mencermati konsep-konsep Islam dan bersegera beramal, serta memikul Islam sebagai beban yang kuat dan berpengaruh. Maka, untuk menjadi seorang muslim bertakwa dan memperbaiki orang-orang di sekitarnya, sudah pasti seseorang muslim perlu memastikan dirinya berada di tempat yang mana Allah SWT akan menemuinya di tempat yang dia diperintahkan dan sebaliknya pula di tempat yang dia telah dilarang.
Bukan daripada ajaran Islam bahawa setiap orang hanya disibukkan dengan memperbaiki dirinya sendiri tanpa melaksanakan apa yang telah Allah perintahkan, yakni dengan menyuruh kepada yang ma’ruf, mencegah dari yang mungkar dan disibukkan dengan perkara-perkara yang akan mengembalikan penerapan syariat Islam.
Egoisme adalah sikap mementingkan diri yang menjelikkan bagi seorang Muslim, bilamana dia hanya menyibukkan diri dengan dirinya sendiri tanpa mengambil berat perihal orang lain. Keegoan sedemikian tidak kita temui pada susuk Nabi kita yang mulia (saw) dan para sahabatnya yang terhormat, maka sebab itulah kita perlu mengikuti jejak mereka. Ini kerana, dalil-dalil syariat justeru menetapkan sebaliknya, yakni, Allah SWT telah memerintahkan kepada kita untuk melakukan yang ma’ruf dan mencegah dari yang munkar. Allah SWT juga telah menjadikan kewajipan bagi kita untuk mengambil tindakan terhadap orang-orang yang zalim, dan Dia mengingatkan terhadap kehancuran masyarakat sekiranya terdapat banyak kemungkaran dalam kalangan mereka walaupun masih ada orang-orang yang soleh di dalamnya. Malah, keseluruhan pelajaran tentang ini boleh kita dapati dalam hadis kapal, ketika Nabi (saw) bersabda:
«مَثَلُ الْقَائِمِ عَلَى حُدُودِ اللَّهِ وَالْوَاقِعِ فِيهَا كَمَثَلِ قَوْمٍ اسْتَهَمُوا عَلَى سَفِينَةٍ، فَأَصَابَ بَعْضُهُمْ أَعْلَاهَا وَبَعْضُهُمْ أَسْفَلَهَا، فَكَانَ الَّذِينَ فِي أَسْفَلِهَا إِذَا اسْتَقَوْا مِنَ الْمَاءِ مَرُّوا عَلَى مَنْ فَوْقَهُمْ فَقَالُوا: لَوْ أَنَّا خَرَقْنَا فِي نَصِيبِنَا خَرْقاً وَلَمْ نُؤْذِ مَنْ فَوْقَنَا، فَإِنْ يَتْرُكُوهُمْ وَمَا أَرَادُوا هَلَكُوا جَمِيعاً، وَإِنْ أَخَذُوا عَلَى أَيْدِيهِمْ نَجَوْا وَنَجَوْا جَمِيعاً»
“Perumpamaan orang yang mengingkari kemungkaran dan orang yang terjerumus dalam kemungkaran adalah bagaikan suatu kaum yang berundi dalam sebuah kapal. Nantinya ada sebahagian berada di bahagian atas dan sebahagiannya lagi di bahagian bawah kapal tersebut. Yang berada di bahagian bawah, ketika ingin mengambil air, tentulah dia harus melewati orang-orang di atasnya. Mereka berkata, “Andaikata kita membuat lubang saja sehingga tidak mengganggu orang yang berada di atas kita.” Seandainya yang berada di bahagian atas membiarkan orang-orang bawah menuruti kehendaknya, nescaya semuanya akan binasa. Namun, jika orang bahagian atas melarang orang bahagian bawah berbuat demikian, neiscaya mereka selamat dan selamat pula semua penumpang kapal itu.” (HR. Bukhari, no. 2493).
Hadis tersebut dengan jelas menyatakan bahawa kelangsungan hidup masyarakat adalah ketika mereka menyuruh yang ma’ruf dan menghalang tangan-tangan orang yang berbuat kezaliman.
Ya Allah, jadikanlah kami termasuk orang-orang yang bertakwa, orang-orang yang melakukan perbaikan, yang beramal untuk menegakkan agama, dan jadikanlah kami termasuk orang-orang yang menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar, dan jadikanlah kami termasuk orang-orang yang di dalamnya terkandung Islam dalam perkataan dan perbuatan, dan termasuk orang-orang yang menjual diri, mencari kesenanganmu. Ya Allah, jadikanlah kami termasuk dalam para pejuang dan saksi bagi Negara Islam (Khilafah), dan janganlah Engkau matikan kami kecuali Engkau redha kepada kami, dan kembalikanlah Ramadhan kepada kami dengan panji Islam yang berkibar tinggi. Amiin Wahai Tuhan sekalian alam.
Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir oleh
Mennah Tahir
Diterjemah dari: https://www.hizb-ut-tahrir.info/…/analysis/24383.html
#PleasureofAllah #KeredhaanAllah