[KELUARGA] Membersamai Ibadah Anak Pra-baligh Ketika Ramadhan
Penulis: Nabila Ummu Anas
Ramadhan merupakan saat yang istimewa bagi keluarga-keluarga Muslim. Aktiviti taqarub ilallah (ibadah mendekatkan diri kepada Allah) lebih sering dilakukan bersama-sama anggota keluarga di rumah. Kesempatan ini perlu dimanfaatkan oleh orang tua untuk meningkatkan kuantiti dan kualiti ibadah dirinya dan anak-anak. Dengan demikian, Ramadhan menjadi waktu pembinaan keperibadian Islam bagi seluruh anggota keluarga.
Gembira Menyambut Ramadhan
Anak-anak juga perlu berbahagia menyambut kedatangan bulan mulia ini. Jangan sampai Ramadhan terasa hambar bagi anak, tidak menyeronokkan. Atau luput dari perhatian orang tua untuk melibatkan anak dalam menjalani agenda ibadah pada bulan Ramadhan.
Supaya anak tetap gembira menjalani Ramadhan, tentu saja bermula dari orang tua yang sentiasa mengajak anak untuk bersama-sama mempersiapkan diri untuk menyambutnya, bukan sekadar seronok menyusun jadual menu sahur dan berbuka. Tetapi, boleh juga disertai dengan menjelaskan kepada anak alasan kita mempersiapkan menu terbaik untuk sahur dan berbuka. Sebab, ada keberkatan ketika bersahur dan mengumpulkan tenaga kala berbuka sehingga tetap bersemangat menjalankan ibadah pada malam harinya.
Melatih Anak untuk Menahan Diri
Perlu disampaikan kepada anak hakikat berpuasa pada bulan suci ini. Dengan demikian, anak akan tahu bahawa ini adalah bulan yang dimuliakan oleh Allah SWT, tidak seperti bulan-bulan lainnya. Berpuasa pada bulan ini adalah sebuah kewajipan bagi kaum Muslimin yang sudah mukallaf.
Sejak kecil lagi, anak-anak boleh dilatih untuk menjalankan ibadah puasa terutamanya yang sedang mendekati usia baligh. Puasa bukan sekadar menahan diri dari makan dan minum. Walaupun mungkin anak belum kuat untuk puasa sehari penuh, tetapi dia tidak akan makan dan minum di hadapan orang yang sedang berpuasa.
Selain menahan diri dari makan dan minum, anak juga dilatih untuk menahan emosinya, amarahnya dan kesabarannya. Termasuk juga melatih kebiasaan anak untuk tidak memancing emosi orang lain. Jika anak terbiasa dengan latihan menahan diri, anak tidak akan berat untuk menjalankan ibadah puasa pada usia balighnya nanti.
Membaca Al-Quran Bersama Anak Setiap Hari
Ramadhan dimuliakan oleh Allah kerana di bulan ini diturunkan Al-Quran. Allah SWT. berfirman, “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu;” [TMQ Al-Baqarah (2) : [185]
Ibu bapa juga boleh mengajak anak untuk memperbanyakkan membaca Al-Quran bersama-sama dengan membuat jadual bacaan setiap hari pada bulan Ramadhan. Walaupun ada anak yang masih belum boleh membaca Al-Quran atau baru belajar, tetaplah diajak bersama. Mudah-mudahan dengan mendengar bacaan Al-Quran, anak menjadi dengan dengan Al-Quran dan mudah menghafalnya.
Kebersamaan dalam membaca Al-Quran dapat mengeratkan hubungan orang tua dengan anak. Bukan hanya sekadar membaca, tetapi juga mengkaji Al-Quran bersama-sama. Contohnya secara bergilir-gilir membaca terjemahan sehingga anak terbiasa untuk mengenal maksud lafaz Al-Quran yang dibaca.
Melatih Kebiasaan Memberi pada Orang yang Kekurangan
Di bulan Ramadhan, kepekaan sosial anak juga boleh didik dengan mengajak mereka untuk bersedekah kepada orang-orang yang memerlukan. Melihat kekurangan hidup orang-orang sekitar juga akan membuatkan anak bersyukur dengan apa yang telah Allah berikan kepadanya.
“Rasulullah SAW. adalah orang yang paling dermawan. Baginda lebih dermawan lagi pada bulan Ramadhan ketika bertemu dengan Jibril, dan Baginda berjumpa dengan Jibril pada setiap malam di bulan Ramadhan.” (HR Al-Bukhari, Muslim, Ahmad, dan An-Nasai).
Banyak Berdoa, Memohon kepada Allah Taala
Ibu bapa seringlah mengajak anak untuk sentiasa berdoa pada siang dan malam bulan Ramadhan. Sampaikan kepada anak bahawa Allah sangat suka kepada hamba-Nya yang sentiasa mengadu dan meminta kepada Allah SWT..
“Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.” [TMQ Al-Baqarah (2): 186]
Doa orang yang berpuasa adalah termasuk permohonan yang dimakbulkan oleh Allah SWT.
Diriwayatkan dari Abu Hurairah ra., Rasulullah SAW. bersabda, “Tiga orang yang doanya tidak tertolak : orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi.” (HR Tirmidzi)
Menghidupkan Malam Lailatul Qadar
Agar anak seronok menyambut sepuluh hari terakhir Ramadhan, orang tua boleh mengajak anak-anak membuat karya penghias rumah yang indah dipandang kala malam. Contohnya membuat bekas lampu dari kertas minyak atau memasang lampu kecil warna-warni di luar rumah dan sebagainya. Melihat perhiasan yang indah di malam hari menjadi salah satu cara untuk membuatkan anak seronok bangun malam dan beribadah bersama keluarga untuk menghidupkan Lailatul Qadar.
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!” [TMQ Al-Qadr (97): 1-5]
Rasulullah SAW. bersabda, “Barangsiapa berdiri (solat) pada malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala dari Allah, maka diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” (HR Bukhari dan Muslim).
Keteladanan orang tua dalam beribadah pada bulan Ramadhan adalah perkara yang utama. Apa yang dilakukan oleh orang dewasa, akan menjadi contoh dan ikutan anak-anak.
Akan lebih kuat lagi pengaruhnya ketika orang tua menjelaskan sebab melakukan ibadah tersebut dan bersama-sama anak melakukan berbagai ibadah pada bulan Ramadhan. Hanya saja, ibu bapa perlu bersaing dengan berbagai tayangan di televisyen dan telefon pintar dalam membersamai ibadah Ramadhan anak.
Perlunya ada komitmen bersama antara ibu bapa dan anak dalam memanfaatkan dua fasiliti tersebut agar target Ramadhan yang dipenuhi dengan ibadah dan taqarub ilallah dapat dicapai.
#keluarga #ramadhan #persiapanramadhan #taqarrubilallah #muslimparenting