Indahnya Ramadhan pada Masa Kekhilafahan Uthmaniyyah
Bulan Ramadhan merupakan bulan yang paling agung dan suci. Dengan semua keistimewaan yang terdapat di dalamnya, maka wajar jika Ramadhan merupakan salah satu bulan yang amat dirindukan kehadirannya oleh kaum muslim.
Bulan Ramadhan akan mendapatkan perhatian dari Khilafah. Semasa Khilafah Uthmaniyyah, menjelang bulan Ramadhan, hakim Istanbul akan mengirimkan ramai pakar ke pelbagai tempat untuk mencari kemunculan bulan sabit. Jika muncul, maka berita itu akan disebarkan ke seluruh negara.
Bahkan, orang pertama yang dapat melihat hilal Ramadhan akan diberikan hadiah khas dari negara, kerana dia telah menjadi orang pertama yang memberi khabar gembira bahawa bulan mulia telah datang.
Lima belas hari sebelum Ramadhan, khalifah akan membentuk satu kumpulan khusus untuk mengawal makanan dan mengatur harga barangan di pasar.
Pada waktu yang sama, ketua astronomi istana telah menyiapkan dan memberi jadual waktu imsak kepada Sultan atau Khalifah.
Sebelum tiba bulan Ramadhan, Sultan biasanya akan mengeluarkan satu dokumen yang mengandungi beberapa peraturan sebagai peringatan kepada masyarakat.
Di antara peringatan dalam dokumen tersebut ialah penceramah perlu mengingatkan orang ramai untuk senantiasa solat berjemaah di masjid. Selain itu, bagi orang yang sedang jalan-jalan, agar tidak menziarahi rumah seseorang tanpa memberitahu terlebih dahulu kepada tuan rumah. Kemudian, tidak mengambil makanan atau minuman di jalan pada waktu tengah hari di bulan Ramadhan serta meminta masyarakat untuk mendoakan keberadaan Kekhilafahan Uthmaniyyah selama berpuasa.
Pelaksanaan solat tarawih di istana juga dihadiri oleh Sultan. Pada malam Lailatul Qadar pula, Sultan & Menteri akan melaksanakan solat dan berdoa di Hagia Sophia.
Mereka meminta untuk menyalakan lampu dan hiasan berwarna-warni di jalanan atau lapangan terbuka yang luas dan berumput seperti di Medan Toubkhana, Istanbul.
Termbihname
Khilafah Uthmaniyyah sangat menghormati penduduk non-muslim. Oleh kerana itu, menjelang bulan Ramadhan, Khalifah akan menerbitkan Termbihname iaitu surat peringatan kepada setiap muslim untuk menghargai mereka yang bukan beragama Islam selama bulan puasa.
Pemerintah Uthmaniyyah sendiri memang sangat meninggikan darjat non-muslim. Oleh kerana itu, pemerintah turut mengeluarkan satu surat yang bertujuan untuk mengingatkan bagaimana untuk berperilaku dengan menghargai antara satu sama lain pada bulan Ramadhan ini.
Zimem Defteri
Terdapat suatu tradisi atau kebiasaan menarik yang biasa dilakukan oleh orang-orang kaya Uthmaniyyah sepanjang bulan Ramadhan, iaitu membayarkan hutang-hutang saudara muslim yang kesusahan. Kebiasaan ini dinamakan dengan Zimem Defteri (buku hutang).
Diceritakan bahawa para orang kaya Uthmaniyyah biasanya akan mendatangi siapa saja, bahkan orang yang mereka tidak kenal sekali pun untuk membayarkan semua hutang yang ditanggung oleh saudara tersebut.
Kebiasaan lain yang dilakukan oleh masyarakat Turki Uthmaniyyah ketika bulan Ramadhan ialah membiarkan pintu rumah terbuka sewaktu berbuka puasa (iftar).
Pintu rumah tersebut sengaja dibiarkan terbuka supaya mereka yang tidak mampu dapat masuk dan ikut bersama untuk menikmati juadah berbuka puasa bersama.
Para pemilik rumah biasanya akan berlumba-lumba untuk menyiapkan makanan bagi sesiapa sahaja yang ingin datang. Malah, mereka sering memberi bantuan kepada saudara seIslam.
Orientalis dan penulis Inggeris Dorina Nive yang menghabiskan 26 tahun hidupnya di Istanbul menegaskan bahawa semua kebiasaan ini berlangsung selama bulan Ramadhan di kota itu sehingga akhir abad ke-19 pada masa pemerintahan Sultan Abdul Hamid II.
Demikianlah Ramadhan pada masa Kekhilafahan Uthmaniyyah. Kesungguhan Khilafah dalam menyambut Ramadhan dan melaksanakan amal kebaikan sepanjang bulan Ramadhan merupakan bukti wujudnya ketakwaan yang hakiki, baik dari individu, masyarakat mahupun negara.