[KELUARGA] Keluarga Muslim Memburu Pahala di Sepuluh Hari Terakhir Ramadhan
Penulis: Najmah Saiidah
Kita kini telah memasuki sepuluh hari terakhir di penghujung Ramadhan. Ayuh keluarga muslim, kita bersama-sama menyempurnakan segala amalan kebaikan pada sisa sepuluh hari terakhir Ramadhan ini dengan penuh kesungguhan. Kerana pada sepuluh hari terakhir ini terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan, iaitu malam lailatul qadar. Rasulullah memberi contoh kepada kita untuk memperbanyakkan amal kebaikan pada sepuluh hari terakhir Ramadhan ini, “Apabila Nabi SAW. memasuki sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan, beliau mengetatkan sarungnya, menghidupkan malam-malam tersebut dan membangunkan keluarganya.” (HR Bukhari dan Muslim).
Keutamaan Sepuluh Hari Terakhir Ramadhan
Sepuluh hari terakhir Ramadhan memang mempunyai keutamaan, sebagaimana diriwayatkan dalam sebuah hadis. Dari Aisyah ra., “Rasulullah SAW. sangat bersungguh-sungguh (beribadah) pada sepuluh hari terakhir (bulan Ramadhan), melebihi kesungguhan beribadah pada selain (malam) tersebut.” (HR Muslim).
Hadis ini menunjukkan keutamaan semangat beribadah pada sepuluh hari terakhir Ramadhan. Hadis ini menceritakan tentang sosok baginda Nabi Muhammad SAW. sebagai manusia yang paling giat dalam mencapai redha Allah SWT dengan bersungguh-sungguh memanfaatkan masa yang penuh keutamaan dengan meningkatkan kualiti ketaatan, beribadah, bertaqarub, beriktikaf, dan mengajak ahli keluarga untuk beribadah. Kesungguhan beliau beribadah pada sepuluh hari terakhir Ramadhan melebihi kesungguhan beribadah pada waktu yang lain.
Kalimat “bersungguh-sungguh (beribadah) pada sepuluh hari terakhir” menunjukkan anjuran untuk tidak bermalas-malasan dalam beribadah pada akhir Ramadhan sebagaimana fakta dalam masyarakat. Hadis ini menunjukkan keistiqamahan beliau dalam giat beribadah sepanjang Ramadhan. Semua hari pada bulan Ramadhan sangat istimewa dan semua umat Islam dinasihatkan untuk menunaikan ibadah dengan baik. Namun, sepuluh hari terakhir Ramadhan sangat istimewa. Terdapat banyak keutamaan pada sepertiga bulan terakhir itu sehingga Rasulullah juga memperketatkan ibadahnya.
Malah, beliau memberikan contoh kepada umatnya agar tidak terlena dalam kesibukan menyiapkan keperluan hari raya sehingga lupa akan keutamaan beribadah di sepuluh hari terakhir. Kalimat “melebihi kesungguhan beribadah pada selain (malam) tersebut” sebagai anjuran dan k
teladan Rasulullah SAW. dalam memotivasikan umatnya untuk meningkatkan giat beribadah di sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.
Amalan yang Boleh Dilakukan
Seperti yang dijelaskan dalam hadis-hadis Rasulullah, nampak jelas bahawa apabila memasuki sepuluh hari terakhir Ramadhan, banyak keutamaan yang dapat diraih oleh keluarga muslim. Oleh itu, kita seharusnya tidak mensia-siakan kesempatan yang telah Allah berikan kepada kita semua. Lalu, apakah amalan yang boleh dilakukan oleh keluarga muslim?
1. Memanjangkan Solat Malam
Pada sepuluh malam terakhir, Rasulullah SAW. sangat sedikit bahkan tidak tidur. Perut beliau dan para sahabat sangat jauh dari tempat tidur. Beliau menghidupkan malam-malam tersebut untuk beribadah, solat, zikir, dan lain-lain sehingga waktu fajar. Kebiasaan beribadah pada sepuluh malam terakhir ditularkan kepada seluruh ahli keluarga beliau untuk sama-sama menikmati kesyahduan beribadah sepanjang malam.
Seperti yang diceritakan oleh Aisyah ra., “Rasulullah SAW. kebiasaannya ketika memasuki sepuluh Ramadhan terakhir, beliau ketatkan ikat pinggang (bersungguh-sungguh dalam ibadah), menghidupkan malam-malam tersebut dengan ibadah, dan membangunkan isteri-isterinya untuk beribadah.” (HR Al-Bukhari dan Muslim).
2. Tilawah Al-Quran
Memperbanyakkan membaca al-Quran merupakan salah satu ibadah utama pada sepuluh hari terakhir Ramadhan. Tidak sedikit umat Islam yang larut dalam tilawah al-Quran sepanjang malam, baik di masjid mahupun di rumah. Tilawah al-Quran adalah ibadah ringan dan mempunyai keutamaan yang besar. Oleh itu, tidak boleh dilepaskan.
Kebiasaan baik mengejar khatam al-Quran pada akhir Ramadhan menjadi kebahagiaan tersendiri bagi individu muslim terutama mereka yang setiap hari bergelut dengan aktiviti pekerjaan sehingga khatam al-Quran sebanyak satu kali menjadi target yang realiti. Apa pun bentuk motivasi, tilawah al-Quran harus lebih digiatkan pada sepuluh hari terakhir Ramadhan. Lebih-lebih lagi jika kita melakukannya bersama-sama dengan ahli keluarga yang lain maka pasti lebih bersemangat. Meraih pahala sunah bersama-sama, yang pada bulan Ramadhan setimpal dengan pahala wajib.
3. Memburu Lailatul Qadar
Lailatulqadar adalah malam turunnya Al-Quran dari lauhulmahfuz ke Baitul Izzah (langit) dunia. Malam lailatul qadar mempunyai kebaikan setara dengan seribu bulan. Ini seperti yang disebutkan dalam Surah Al-Qadr ayat 1-5. Meskipun malam lailatul qadar tidak diketahui bila akan tiba, tetapi umat Islam diminta untuk mencarinya pada sepuluh hari terakhir Ramadhan. Hal ini seperti sabda Rasulullah, “Carilah malam lailatul qadar pada malam ganjil dari sepuluh terakhir bulan Ramadhan.” (HR Imam Bukhari).
Dalam hadisnya, Nabi Muhammad bersabda, “Carilah lailatul qadar pada sepuluh malam terakhir dari bulan Ramadhan, pada baki malam kesembilan, baki malam yang ketujuh, baki malam yang kelima,” (HR Bukhari).
Oleh itu, umat Islam amat disarankan untuk beribadah terutama ibadah malam, pada sepuluh hari terakhir Ramadhan bagi memenuhi keutamaan tersebut.
4. Perbanyakkan Sedekah
Memperbanyakkan sedekah merupakan salah satu amalan utama pada sepuluh hari terakhir Ramadhan sebagai tanda kesyukuran atas nikmat bertemu Ramadhan dan sebagai pelengkap ibadah puasa dan ibadah individu yang lain. Kerana iman dan kualiti ibadah seseorang itu tidak sempurna kecuali jika ada keseimbangan antara ibadah ritual dan ibadah sosial. Sebagaimana firman Allah SWT.,
“Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya, mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan penuh harap, dan mereka menginfakkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.” [TMQ As-Sajdah (32): 16].
Bersedekah pada sepuluh hari terakhir bukan sahaja diterjemahkan kepada sedekah wajib berupa zakat fitrah dan zakal mal, tetapi juga dianjurkan untuk memperbanyakkan sedekah sunah demi berkongsi kebahagiaan dan menyediakan bekalan makanan untuk hari raya Aidilfitri kepada fakir miskin. Sedekah boleh berupa harta, makanan, pakaian, bungkusan sedekah untuk yatim dan fakir miskin dan sebagainya.
5. Iktikaf
Iktikaf bermaksud tinggal di masjid dalam rangka beribadah kepada Allah SWT. Tidaklah seseorang keluar dari masjid kecuali untuk memenuhi keperluannya sebagai manusia. Iktikaf mempunyai tempat dan aktiviti khusus iaitu di dalam masjid dengan aktiviti ibadah mendekatkan diri kepada Allah dengan berzikir, berdoa, membaca Al-Quran, salat sunat, berselawat, bertaubat, beristighfar, dan lain-lain. Iktikaf digalakkan setiap masa tetapi lebih ditekankan memasuki sepuluh malam terakhir Ramadhan. Ini sepatutnya sebagaimana Abdullah bin Umar ra. menceritakan, “Rasulullah SAW. beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan.” (HR Muttafaq ‘alaih).
Hukum iktikaf adalah sunah, baik bagi lelaki mahupun perempuan, berdasarkan hadis-hadis Rasulullah SAW.. Aisyah ra. menyatakan “Nabi SAW beriktikaf pada sepuluh hari terakhir Ramadhan sehingga kewafatan baginda kemudian isteri-isteri beliau juga beriktikaf setelah pemergian beliau.” (HR Imam Al-Bukhary no. 2026).
Daripada Abu Said al-Khudzri berkata, Rasulullah SAW. bersabda, “Aku beriktikaf sepuluh hari pertama mencari malam ini (lailatul qadar). Lalu aku beriktikaf sepuluh hari pertengahan. Kemudian aku didatangi dan diberitahu kepadaku bahawa ia adalah dalam sepuluh hari terakhir. Oleh itu, siapa di antara kalian yang suka (ingin) beriktikaf, hendaklah dia beriktikaf.” Abu Said berkata, “Lalu orang-orang beriktikaf bersama beliau.” (HR Muslim, al-Bukhari, Ahmad, Abu Dawud, an-Nasai, dan Malik).
Dalam kesempatan di sepuluh hari terakhir ini, maka keluarga muslim boleh melakukan iktikaf bersama-sama di masjid berhampiran rumah contohnya, ataupun di masjid besar di sekitar tempat tinggal. Pada masa ini, banyak masjid-masjid besar menyediakan kemudahan iktikaf yang mencukupi supaya kita boleh melakukan iktikaf di masjid bersama suami dan anak-anak kita. Aktiviti ini akan melatih anak-anak kita melakukan banyak amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah, selain sudah tentu mendapat pahala yang banyak. Dan lebih daripada itu, ini akan mengeratkan hubungan kekeluargaan kita.
6. Perbanyakkan doa
Amalan seterusnya yang dapat dan mudah dilakukan ialah memperbanyakkan doa kepada Allah SWT.. Rasulullah SAW. juga memerintahkan Ummul Mukminin Aisyah untuk berdoa pada malam-malam tersebut. Aisyah berkata, “Wahai Rasulullah, apa pendapatmu jika aku mendapat malam lailatul qadar, apa yang harus aku ucapkan?” Beliau menjawab: “Katakanlah, Allahumma innaka ‘afuwwun tuhibbul ‘afwa fa’fu anna” (Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf mencintai kemaafan, maka maafkanlah aku).” (HR Ibnu Majah).
7. Menggiatkan menuntut ilmu dan mendakwahkannya
Pada bulan Ramadhan, umumnya umat berada pada tahap yang tinggi terhadap Islam sehingga mudah untuk kita mengajak keluarga dan umat untuk mengkaji Islam, sudah tentu kita tidak boleh melepaskan peluang ini. Pada sepuluh hari terakhir Ramadhan, kita mesti menguatkan lagi semangat mereka untuk mempelajari Islam.
Inilah masa yang sangat menyokong untuk mengajak keluarga kita memuliakan agama-Nya. Kita boleh mengajak anak-anak kita menghadiri majlis-majlis ilmu atau mempelajari buku tertentu bersama suami dan anak-anak.
Selain itu, aktiviti dakwah kita juga mesti dijalankan malah diperbanyakkan pada sepuluh hari terakhir. Menyedarkan umat tentang masalah besar yang dialami oleh umat Islam iaitu tidak menerapkan syariat Islam secara menyeluruh dan ketiadaan perisai umat iaitu Khilafah adalah agenda penting kita.
Menyeru manusia ke jalan Islam, menentang dasar penguasa yang bertentangan dengan syariat Islam, dan mengajak umat dan tentunya keluarga kita untuk lebih giat beramar makruf nahi mungkar. Apabila kemungkaran berleluasa di hadapan kita, dakwah adalah aktiviti penting yang mesti dipergiatkan.
Demikianlah, banyak aktiviti yang boleh kita dan keluarga lakukan untuk memburu pahala pada sepuluh hari terakhir Ramadhan. Semua ini kita lakukan untuk menguatkan lagi ketaatan kita kepada Allah, di samping melatih anak-anak dan mengeratkan tali silaturahmi keluarga kita. Mari kita manfaatkan dengan sebaik- baiknya kerana detik-detik sepuluh hari terakhir Ramadhan sangatl berharga. Wallahualam bissawab.
Sumber:
https://muslimahnews.net/2023/04/12/19256/
#Keluarga #Ramadhan #LailatulQadar #KeluargaMuslim