Bersama Anak Remaja Kita, Istiqamah dalam Takwa
Penulis: Nabila Ummu Anas
Takwa adalah buah yang diraih kaum mukmin selepas melaksanakan ibadah di bulan suci Ramadhan. Takwa merupakan amal ketaatan melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi seluruh yang dilarang-Nya. Setelah Ramadhan berlalu, amal takwa ini hendaklah senantiasa melekat pada setiap mukmin, ibu bapa, keluarga, dan remaja sehingga perlu ada usaha bersama dalam keluarga agar istiqamah di jalan takwa.
Dengan Takwa, Kita Akan Bahagia
Allah Taala berfirman, “Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya.” (TMQ At-Talaq: 2—3).
Banyak sekali persoalan kehidupan di dunia ini. Baik masalah di dalam keluarga, dalam masyarakat, serta dalam kehidupan remaja. Bagi orang yang bertakwa, Allah telah menjanjikan jalan keluar bagi permasalahan hidupnya, bahkan akan memberi rezeki dari arah yang tidak terduga sebelumnya.
Ini baru urusan di dunia, sedangkan untuk kehidupan akhirat, Allah Taala berjanji akan memberi pengampunan, penghapusan dosa, dan melipatgandakan pahala orang yang bertakwa. Bahkan, orang yang senantiasa bertakwa akan dihadiahkan syurga dengan segala kenikmatannya.
Dalam surah Maryam ayat 63, Allah Taala berfirman, “Itulah syurga yang akan Kami wariskan kepada hamba-hamba Kami yang selalu bertakwa.”
Juga dalam surah At-Talaq ayat 5, “Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan menghapus kesalahan-kesalahannya dan akan melipatgandakan pahala baginya.”
Oleh kerana itu, ibu bapa dan seluruh keluarga, termasuk anak remaja perlu berusaha untuk mampu istiqamah dalam ketakwaan kepada Allah Taala.
Agar Mampu Istiqamah dalam Takwa
Pertama, memperbanyak istighfar. Allah Taala berfirman, “Katakanlah (Muhammad), ’Aku ini hanyalah seorang manusia seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu adalah Tuhan Yang Maha Esa. Oleh kerana itu, tetaplah kamu (beribadah) kepada-Nya dan mohonlah ampunan kepada-Nya. Dan celakalah bagi orang-orang yang mempersekutukan-Nya.’.” (TMQ Fushshilat: 6).
Orang yang senantiasa beristighfar atau memohon ampun kepada Allah akan bersih hatinya sehingga mudah melakukan ketaatan. Istighfar bagaikan api yang membersihkan karat-karat diri. Istighfar hendaklah menjadi kebiasaan atau amalan rutin dalam keluarga. Bukan hanya selepas solat fardhu, tetapi dalam setiap kesempatan senantiasa memperbanyak memohon ampun kepada Allah Taala.
Kedua, selalu mendatangi taman syurga (majlis ilmu). Dengan mengaji ilmu agama, maka ibu bapa dan remaja akan menjadi tahu tentang hukum syariat dan berbagai amal takwa. Ketaatan juga dilakukan kerana sudah mendapatkan ilmunya. Ibu bapa dan remaja bersama-sama mengaji Islam kaffah agar faham bagaimanakah masuk Islam secara kaffah tersebut.
Dengan mengaji akidah dan syariat Islam, hamba yang bertakwa terhindar dari aktiviti taklid buta. Taklid buta hanya akan menyebabkan aktiviti ibadah mudah rapuh, rajin ibadah ketika banyak teman, tetapi malas ketika sendirian. Jadinya, ketaatan hanya dilakukan ketika terdapat banyak orang, tetapi ketika sendirian tidak takut melakukan kemaksiatan. Rasulullah SAW mengibaratkan ilmu seperti air hujan yang membasahi apa pun yang kering.
Ketiga, berinteraksi dengan orang-orang soleh. Berkumpul dengan orang-orang yang soleh dan solehah akan memotivasi kita untuk memperbaiki diri. Ibu bapa boleh mengajak anak remaja mereka untuk berkunjung kepada para alim ulama, meminta nasihat, serta doa dari mereka. Dengan mengunjungi orang-orang yang bertakwa, keluarga akan mendapat banyak pelajaran dalam menjalani kehidupan dalam ketaatan dan kesabaran.
Menjadi kebiasaan para ulama dahulu jika merasa imannya melemah, maka mereka akan mengunjungi orang-orang soleh dan meminta nasihatnya agar menjadi peribadi yang lebih baik lagi. Ini kerana orang soleh terkadang mampu melihat titik lemah kita yang kita sendiri tidak mampu melihatnya.
Keempat, agar boleh terus istiqamah dalam takwa, keluarga sepatutnya senantiasa menggunakan harta yang halal saja. Ibu bapa perlulah menjauhkan harta yang haram dari keluarga mereka.
Allah Taala berfirman, “Wahai para Rasul! Makanlah dari (makanan) yang baik-baik dan kerjakanlah kebajikan. Sungguh, Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (TMQ Al-Mukminun: 51).
Dengan memakan makanan halal lagi toyyib akan menjadikan kita ringan dalam mengerjakan ketaatan dan segala ibadah.
Kelima, melakukan amal dakwah berjemaah. Mendakwahkan Islam kaffah secara berjamaah akan menguatkan satu sama lain para pengemban dakwah. Baik ibu bapa mahupun anak remaja perulah bersama-sama berdakwah. Ketika kita menyampaikan Islam kepada orang lain tentu dengan maksud agar orang tersebut menjadi peribadi atau masyarakat yang bertakwa.
Ketika senantiasa berada dalam barisan perjuangan Islam kaffah, maka keluarga dan remaja akan senantiasa terjaga dalam ketaatan kepada Allah dan takut melakukan kemaksiatan. Ini kerana dalam perjuangan tersebut, mereka sangat mengharapkan pertolongan Allah dan pertolongan itu tidak akan diberikan kepada orang-orang yang tidak bertakwa kepada-Nya.
Sumber: muslimahnewsid