[Tarikh Khulafa] Khalifah Harun ar-Rasyid Melaksanakan Dasar Ekonomi Islam
Penulis: Nabila Ummu Anas
Harun ar-Rasyid adalah seorang khalifah yang disenangi kerana menegakkan keadilan di kalangan rakyatnya. Oleh sebab itu, Khalifah Harun ar-Rasyid komited untuk melaksanakan dasar dalam bidang ekonomi sesuai dengan tuntunan syariah.
Justeru, seluruh warga Khilafah akan dipenuhi segala keperluan mereka, bahkan merasai kemakmuran dan kesejahteraan. Baitulmal benar-benar berfungsi sebagaimana yang dicontohkan oleh Rasulullah SAW dan khulafaurrasyidin.
Kitab Al-Kharaj Abu Yusuf Menjadi Rujukan
Pada zaman Khalifah Harun Ar-Rasyid, terdapat Abu Yusuf Ya’qub bin Ibrahim al-Ansari yang dilantik oleh khalifah sebagai hakim agung. Khalifah meminta Abu Yusuf membincangkan kewangan negara dan memintanya menjawab soalan berkaitan sumber pendapatan baitulmal dan pengurusannya.
Abu Yusuf memenuhi permintaan Khalifah Harun ar-Rasyid dengan menulisnya dalam sebuah kitab yang dikenali sebagai Kitab Al-Kharaj. Kitab ini menjadi rujukan khalifah dalam pelbagai dasar ekonomi yang dijalankan oleh negara.
Khalifah Harun ar-Rasyid mahu sumber pendapatan baitulmal itu mengikut syariat sebagaimana yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW dan para khalifah yang mendapat petunjuk sesudah baginda SAW. Khalifah mengatur kharaj dan beberapa sumber pendapatan negeri lain untuk mengisi baitulmal.
Abu Yusuf juga sentiasa mengingatkan para pemimpin berkaitan dengan kekayaan negara dan menyeru supaya menegakkan keadilan dengan harta tersebut. Abu Yusuf juga menyampaikan kepada para pemimpin agar bersegera menerapkan dan melaksanakan kebenaran dalam menguruskan harta baitulmal.
Abu Yusuf juga menjelaskan cara pelaksanaannya agar selamat di sisi Allah Yang Maha Agung dan menjadi jaminan kesejahteraan, serta pemenuhan hak-hak rakyat.
Harta Kekayaan untuk Kemaslahatan Islam dan Kaum Muslim
Dasar ini dijalankan oleh Khalifah Harun ar-Rasyid supaya tidak berlaku kesewenangan terhadap rakyat sehingga jenayah meningkat dalam masyarakat akibat kemiskinan. Baitulmal juga terus wujud dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab dalam merealisasikan kemaslahatan rakyat termasuk di kawasan sempadan.
Tiga perkara penting dari Kitab Al-Kharaj yang menjadi dasar ekonomi Harun ar-Rasyid ialah:
Pertama, penjelasan tentang pelbagai sumber pendapatan baitulmal berdasarkan peraturan syariah dan pembahagiannya.
Kedua, penjelasan mengenai tatacara yang ideal untuk menarik kharaj dan harta.
Ketiga, penjelasan mengenai beberapa kewajipan yang mesti ditunaikan oleh baitulmal yang banyak pemimpin lalai dan enggan melaksanakannya.
Negara dan Rakyat Kaya dengan Sumber-Sumber Pendapatan Baitulmal
Sumber pendapatan baitulmal menurut Kitab Al-Kharaj terdiri daripada tiga bahagian penting berdasarkan pembahagiannya iaitu seperlima ghanimah, al-kharaj, dan zakat.
Ghanimah atau harta rampasan perang ialah semua harta yang diperolehi oleh orang Islam daripada tentera musuh dan musyrikin dengan pelbagai jenis harta. Boleh jadi dalam bentuk senjata, kuda, barang logistik yang dibawa oleh tentera musuh, dan lain-lain. Abu Yusuf juga memasukkan jenis-jenis mineral yang diperolehi oleh orang Islam daripada musuh, sedikit atau banyak termasuk emas dan perak yang tersembunyi di dalam perut bumi dalam wilayah musuh.
Menurut Abu Yusuf, satu perlima daripada ghanimah menjadi hak khalifah manakala empat perlima diagihkan kepada mereka yang terlibat dalam peperangan supaya mereka mendapat ghanimah.
Sumber pendapatan kedua bagi Khalifah Abbasiyah di Baghdad ialah al-Kharaj. Al-Kharaj meliputi tiga perkara utama iaitu tanah yang terkena kharaj, pungutan bagi jiwa penduduk kafir zimmi (jizyah), dan pungutan sepersepuluh oleh pemungut cukai terhadap peniaga dari penduduk kafir zimmi dan ahl al-harb yang meminta tempat berlindung dan jaminan keselamatan.
Khalifah Harun ar-Rasyid mengikut dasar Umar bin Khattab RA dalam menguruskan pendapatan kedua ini. Semakin hebat peperangan dan penaklukan yang dilakukan oleh umat Islam, semakin luas wilayah yang dikuasai Khilafah Islamiah dan semakin besar pendapatan baitulmal dari ghanimah dan kharaj. Termasuk pungutan daripada penduduk kafir zimmi yang kemudiannya dikenali sebagai jizyah.
Ketiga, zakat merupakan kewajipan bagi umat Islam yang mampu. Harta zakat tersebut dikeluarkan oleh baitulmal setiap tahun, baik zakat pertanian, zakat ternak, zakat perdagangan, zakat fitrah, dan zakat harta(simpanan). Dana zakat dikeluarkan kepada lapan golongan yang berhak menerima zakat. Tiada dana zakat disalurkan kepada selain daripada lapan kumpulan tersebut.
Agihan zakat ini selaras dengan firman Allah SWT, “Sesungguhnya zakat itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang miskin, amil zakat, orang yang dilunakkan hatinya (mualaf), untuk (memerdekakan) hamba sahaya, untuk (membebaskan) orang yang berhutang, untuk fisabilillah, dan untuk orang-orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai kewajipan dari Allah, Allah Maha Mengetahui Maha Bijaksana.” [TMQ at-Taubah(9): 60].
Sumber :
Syekh Muhammad al-Khudari, Bangkit dan Runtuhnya Khilafah Bani Abbasiyah, Puncak Keemasan dan Kejayaan Kekhilafahan Islam, Pustaka Al-Kautsar