[Nafsiyah] Tanda – tanda Kebodohan
Ketika seorang muslim dengan bangga menjelaskan konsep para ahli falsafah, bahkan meyakinkan orang lain untuk mengambilnya sebagai penyelesaian dalam kehidupan, tetapi dia tidak mampu menjelaskan maksud dari kalam Allah SWT dan tidak mengajak muslim lain untuk menjadikannya sebagai penyelesaian kehidupan, Allah SWT akan memberikannya ancaman.
Oleh kerana itu, penting bagi setiap muslim untuk mentadabbur al-Quran. Syeikh Al-Utsaimin rahimahullah mendefinisikan ‘tadabbur’ iaitu merenungkan lafaz-lafaz untuk sampai kepada kandungan-kandungan maknanya. Dengan demikian, orang yang bertadabbur adalah orang yang memperhatikan suatu perkara secara berulang-ulang atau dari pelbagai sisi.
Mentadabbur al-Quran dilakukan setelah memahami maknanya. Ini bermaksud dia mestilah berusaha untuk memahami tafsir al-Quran, kemudian barulah dia boleh merenungi pelbagai pengajaran yang diambil dari Kitab Allah. Dengan demikian, menjadi hal yang penting bagi setiap muslim untuk mempelajari tafsir. Mempelajarinya dapat melembutkan hati dan mentadabbur al-Quran dapat menjadi pelita untuk kehidupannya.
Di dalam al-Quran terdapat perintah untuk bertadabbur pada empat ayat yang agung. Dua ayat diturunkan terkait dengan kaum munafik. Firman Allah SWT, “Maka apakah mereka tidak merenungkan al-Quran? Kalau kiranya al-Quran itu bukan dari sisi Allah, tentulah mereka mendapat pertentangan yang banyak di dalamnya.” [TMQ an-Nisa: (4): 82].
Kemudian firmanNya, “Maka apakah mereka tidak merenungkan al-Quran ataukah hati mereka terkunci?” [TMQ Muhammad: (47): 24].
Dua ayat berikutnya diturunkan terkait dengan kaum kafir. FirmanNya, “Maka apakah mereka tidak merenungkan perkataan (Kami), atau apakah telah datang kepada mereka apa yang tidak pernah datang kepada nenek moyang mereka dahulu?” [TMQ al- Mukminun: (23): 68].
Dan firman Allah SWT, “Ini adalah sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka merenungkan ayat-ayatnya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran (yang baik).” [TMQ Shad (38): 29].
Mentadabbur al-Quran sangat bermanfaat bagi setiap muslim. Allah SWT berfirman, “Dan apabila diturunkan suatu surah, maka di antara mereka (orang-orang munafik) ada yang berkata, ‘Siapakah di antara kamu yang bertambah imannya dengan (turunnya) surah ini?’ Adapun orang-orang yang beriman, maka surah ini menambah imannya dan mereka merasa gembira.” [TMQ at-Taubah (9): 124].
Terdapat beberapa tanda seorang muslim yang mentadabbur al-Quran mempengaruhi keimanannya.
Pertama, hati dan fikirannya ikut serta ketika membaca Kitab Allah, ditandai dengan perasaan takjub dan mengagungkan ayat-ayat yang dibacanya.
Kedua, menangis kerana takut kepada murka Allah SWT disebabkan perbuatan dosa.
Ketiga, bertambah kekhusyukan hati.
Keempat, bertambah keimanan dengan banyak membaca ayat-ayat al-Quran.
Kelima, menjadi bahagia dengan khabar gembira.
Keenam, takut kepada azab Allah SWT dan rasa berharap kepada keampunan serta rahmatNya.
Ketujuh, bersujud kepada Allah SWT dengan mengagungkan Allah SWT sesuai dengan yang disyariatkan.
Kelapan, bertambah kecintaannya terhadap al-Quran.
Tahukah saudariku, salah satu tanda kebodohan ialah seseorang membaca al-Quran, tetapi tidak mengetahui atau memahami apa yang dibacanya.
Sebagaimana yang dikatakan oleh Syaikhul Islam, “Seluruh orang-orang yang berakal sepakat bahawa jika sekelompok manusia membaca suatu disiplin ilmu, tetapi tidak mengetahui apa yang dibacanya, dia disebut bodoh. Lalu bagaimana mungkin ada seorang muslim yang membaca kalam Allah SWT, tetapi tidak mengetahui isi dari kalam Allah SWT. Padahal kalam Allah SWT merupakan jawapan atas pelbagai pertanyaan, mencegah seseorang dari kebinasaan, menunjukkan jalan kejayaan dan kebahagiaan, serta menunjukkan jalan keselamatan di dunia dan di akhirat. Inilah merupakan salah satu tanda kebodohan.”
Tahukah saudariku, kesan beriman kepada Kitab Allah SWT ialah memahami maknanya. Al-Quran merupakan jawapan dari pelbagai permasalahan kehidupan, tetapi dia tidak pernah mengetahui makna yang terkandung di dalamnya. Padahal kitab yang dibacanya itu merupakan petunjuk jalan menuju keselamatan.
Sehinggakan Imam Syafie mengatakan, “Ketika seseorang tidak mengetahui bahasa arab, dia mengalami kerugian di dunia dan di akhirat.” Ini kerana dia tidak mampu memahami isi al-Quran yang berbahasa arab. Sungguh kasihan seorang muslim yang tidak memahami bahasa arab, dia tidak mengetahui bahasa untuk mengenali Tuhannya. Astaghfirullah.
Sumber: muslimahnews id