Momentum Aidilfitri
Penulis: dr. Muh. Amin (Pengarah Poverty Care)
Aidilfitri sering disebut sebagai Hari Kemenangan. Maknanya, kaum muslim yang telah berjaya melaksanakan ibadah shaum (puasa) sepanjang Ramadhan dianggap sebagai kaum yang meraih kemenangan. Persoalannya, shaum seperti apa yang boleh membawa kaum muslim menjadi kaum yang menang? Tentu shaum yang berkualiti sebagaimana yang diteladankan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat.
Shaum Rasulullah SAW dan para sahabat tidak hanya memberikan kemenangan kepada diri mereka secara individual dalam melawan hawa nafsu dan syaitan sepanjang Ramadhan, melainkan juga memberikan kemenangan kepada kaum muslim secara kolektif dalam melawan musuh-musuh Islam.
Mereka dan generasi sesudahnya justeru sering mencatat prestasi gemilang disepanjang bulan Ramadhan. Beberapa peperangan yang dimenangkan kaum muslim adalah seperti Perang Badar, Futûhât Makkah (Penaklukan Mekah), ataupun Pembebasan Andalusia, semua berlaku ketika Ramadhan.
Kemenangan Perang Badar telah memperkuat posisi kaum muslim di dunia antarabangsa ketika itu, terutama di Jazirah Arab, bahawa negara baru yang dibangun kaum muslim, yakni Daulah Islam, adalah negara kuat yang tidak boleh diremehkan. Keadaan ini tentu memberikan rasa aman kepada seluruh warga negara Daulah Islam.
Perang Badar juga secara internal telah membuat pihak-pihak di dalam negeri Daulah Islam—orang-orang Yahudi, musyrik, dan munafik—takut untuk berbuat macam-macam terhadap Daulah Islam.
Futûhât juga telah memberikan kebaikan yang luar biasa bagi umat manusia. Melalui futûhât ini, dakwah Islam diterima dengan mudah oleh manusia. Futûhât ini juga telah menjadi jalan bagi penerapan syariat Islam di seluruh kawasan dunia. Menerusi penerapan syariat Islam inilah, seluruh warga Daulah Islam, muslim mahupun non-muslim, mendapat kebahagiaan, kesejahteraan, dan keamanan. Peradaban Islam pun kemudian menjadi peradaban unggul.
Oleh kerana itu, ada beberapa hal yang wajib kita teladani dari shaum generasi para sahabat ini:
Pertama, para sahabat tidak hanya melakukan tadarus Al-Quran, baik saat Ramadhan mahupun di luar itu, tetapi juga mengamalkannya. Mereka sangat menyedari bahawa Al-Quran mesti menjadi dasar perlembagaan kaum muslim.
Kedua, para sahabat tidak hanya menahan lapar dan haus, tetapi juga menahan diri dari segala hal yang diharamkan oleh Allah. Mereka tidak seperti kaum muslim saat ini yang sebaliknya masih berhukum pada perundangan dan sistem kufur yang bersumber dari sekularisme.
Ketiga, para sahabat telah jelas menjadikan Ramadhan sebagai bulan taubat. Taubat mereka adalah taubat nasuhah, taubat yang sebenar-benarnya. Sepatutnya, saat ini pun kaum muslim tidak lagi melakukan maksiat walaupun Ramadhan telah berlalu. Maksiat terbesar adalah ketika mereka tidak menerapkan hukum-hukum Allah dalam seluruh aspek kehidupan akibat ketiadaan Khilafah Islam di tengah mereka. Ketiadaan Khilafah juga bererti umat ini tidak memiliki pelindung dari musuh-musuh Allah.
Oleh sebab itu, dalam momentum Aidilfitri ini, yang bererti kembali ke fitrah, sudah selayaknya kaum muslim segera kembali menerapkan semua aturan-aturan Islam (syariat)—yang memang sesuai fitrah manusia—dalam semua aspek kehidupan. Selayaknya pula kaum muslim segera meninggalkan berbagai aturan kufur yang berasal dari sekularisme yang sudah jelas bertentangan dengan fitrah manusia dan terbukti banyak menyengsarakan umat manusia. Wallahualam.
Sumber artikel: Al-Wa’ie.