Bagaimana Meraih Pertolongan Allah SWT?
Oleh: K.H. Hafidz Abdurrahman
Soalan:
Apa yang dimaksud dengan kemenangan Islam? Apakah sebab-sebab kemenangan tersebut? Apa hubungannya antara sebab kemenangan tersebut dengan ikhtiar manusia?
Jawapan:
Banyak orang yang salah ketika menilai kemenangan, khususnya dalam konteks Islam. Kemenangan dalam konteks Islam, bukan dengan naiknya orang Islam dalam tampuk kekuasaan, tetapi sampainya Islam pada kekuasaan itu sendiri. Mengapa?
Kerana kedaulatan dalam pandangan Islam itu di tangan syariat, bukan di tangan manusia. Syariatlah yang sepatutnya memimpin, bukan manusianya. Kerana itu, semua perilaku, ucapan dan kebijakan penguasa wajib tunduk pada syariat Islam. Bukan sebaliknya.
Kerana itu, ketika Nabi SAW mencari dukungan politik (nusrah), beliau mengambil langkah yang berbeza; antara nusrah untuk melindungi dakwah (himayah ad-da’wah) dari serangan kaum kafir dan nusrah untuk mendapatkan kekuasaan (istilam al-hukm) dalam rangka mendaulatkan Islam.
Pada konteks yang pertama, Nabi SAW menerima nusrah dari Muth’im bin ‘Adi, yang sudah diketahui masih kafir. Beliau tidak mempersoalkan agamanya. Namun, dalam konteks yang kedua, Nabi SAW sangat selektif dan memastikan tujuannya agar kedaulatan Islam boleh benar-benar diwujudkan.
Kerana itu beliau menolak nusrah dari orang kafir. Beliau menolak nusrah dari Bani ‘Amir bin Sha’sha’ah kerana syaratnya menyalahi tujuan untuk mendaulatkan Islam. Beliau pun menolak nusrah dari suku dan kabilah yang tidak memiliki kekuatan. Semuanya ini terkait dengan tujuan yang ingin diraih dan diwujudkan oleh Nabi SAW.[1]
Yang menarik, di satu sisi, selain ikhtiar yang dilakukan, sebagaimana yang dicontohkan oleh Nabi SAW di atas, ternyata kemenangan dan pertolongan Allah itu dinyatakan oleh Allah dengan menggunakan hashr (pembatasan), bahawa sebab kemenangan dan pertolongan Allah itu adalah Allah sendiri. Bukan yang lain.
Allah SWT berfirman,
وَمَا ٱلنَّصۡرُ إِلَّا مِنۡ عِندِ ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ ١٠
“Kemenangan itu tidak lain kecuali dari sisi Allah. Sungguh Allah Maha Perkasa dan Maha Bijaksana.”(TMQ Al-Anfal [8]: 10)
Ayat ini merupakan dalil qath’i bahawa kemenangan itu murni dari Allah, bukan dari yang lain. Di dalam ayat ini Allah menggunakan shighat al-hashr [bentuk pembatasan].[2] Ini dikuatkan oleh Allah dalam firman-Nya yang lain,
إِلَّا تَنصُرُوهُ فَقَدۡ نَصَرَهُ ٱللَّهُ ٤٠
“Jika kamu tidak menolong dia (Muhammad), maka sungguh Allah telah menolong dirinya.” (TMQ At-Taubah [9]: 40).
Kedua ayat ini memastikan bahawa kemenangan itu murni dari Allah. Bukan yang lain. Bahkan seolah menafikan peranan manusia, dengan menyatakan, “Illa tanshuru” (Jika kamu tidak menolong dia), agar kita menyedari bahawa kemenangan itu memang di tangan Allah, dan diberikan oleh Allah kepada siapa saja yang Dia kehendaki.
Siapa hamba-hamba Allah yang Dia kehendaki?
Dalam hal ini, Allah menjelaskan,
وَلَقَدۡ كَتَبۡنَا فِي ٱلزَّبُورِ مِنۢ بَعۡدِ ٱلذِّكۡرِ أَنَّ ٱلۡأَرۡضَ يَرِثُهَا عِبَادِيَ ٱلصَّٰلِحُونَ
“Kami telah menetapkan di dalam Zabur setelah Ummu al-Kitab [catatan Allah di Lauh al-Mahfudz], sungguh bumi ini akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh.” (TMQ al-Anbiya’ [21]: 105).
Ayat ini menyatakan bahawa yang akan mewarisi kekuasaan di muka bumi ini, menurut Ibn ‘Abbas ra., adalah umat Nabi Muhammad SAW.[3]
Siapa umat Muhammad yang berhak mendapatkan kekuasaan?
Ini dijelaskan oleh Allah,
وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّٰلِحَٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ كَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَهُمُ ٱلَّذِي ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنٗاۚ يَعۡبُدُونَنِي لَا يُشۡرِكُونَ بِي شَيۡٔٗاۚ وَمَن كَفَرَ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ ٥٥
“Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal soleh di antara kalian bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa; akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah Dia redhai untuk mereka; dan akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan, menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tidak mempersekutukan sesuatu apa pun dengan Aku. Siapa saja yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, mereka itulah orang-orang yang fasik.”(TMQ an-Nur [24]: 55).
Di dalam ayat ini Allah menjelaskan kriteria hamba-hamba-Nya yang soleh, yang layak mendapatkan kemenangan dan mewarisi bumi. Pertama, beriman. Kedua, melakukan amal soleh. Yang dimaksud amal soleh di sini adalah menerapkan syariat Islam. Ketiga, menyembah Allah. Keempat, tidak menyekutukan Allah dengan yang lain, baik dalam peribadatan, politik, ekonomi, sosial, pendidikan, budaya, hukuman perundangan, ataupun yang lain.
Mereka tidak sendiri. Tidak berjuang sendiri. Mereka berkelompok. Ini dijelaskan dalam sejumlah nas, baik Al-Quran mahupun Al-Hadis,
وَمَن يَتَوَلَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ فَإِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡغَٰلِبُونَ ٥٦
“Siapa saja yang setia kepada Allah, Rasul-Nya, dan orang-orang yang beriman, sungguh kelompok Allah itulah yang pasti menang.” (TMQ Al-Maidah [5]: 56).
Ayat ini menyatakan, dengan menggunakan ungkapan, “Hizb” (kelompok), yang bererti kelompok, bukan per orang/individu. Ini dikuatkan oleh firman Allah SWT yang lain,
وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ
“Hendaknya ada di antara kalian kelompok yang menyerukan kebaikan (Islam), memerintahkan kemakrufan dan mencegah kemungkaran. Mereka itulah orang-orang yang beruntung [menang].” (TMQ Ali ‘Imran [3]: 104).
Ertinya, kemenangan itu diberikan kepada kelompok. Bukan kepada individu. Bahkan dalam sebahagian kitab tafsir disebutkan, dengan penjelasan, “Jama’aah Mutakattilah” (kelompok yang terorganisasi).[4] Ini juga dikuatkan dengan hadis Nabi SAW,
لَنْ يَزَالَ قَوْمٌ مِنْ أُمَّتِي ظَاهِرِينَ عَلَى النَّاسِ حَتَّى يَأْْتِيَهُمْ أَمْرُ الله وَهُمْ ظَاهِرُونَ
“Akan tetap ada suatu kaum (kelompok) dari umatku. Mereka menang atas umat manusia hingga keputusan Allah datang kepada mereka dan mereka dalam keadaan menang.” (HR Bukhari dan Muslim).
Dalam riwayat Muslim, juga disebutkan dengan lafaz “Tha’ifah” (kelompok). Begitu juga dalam riwayat Abu Dawud dan Imam Ahmad.[5]
Oleh kerana itu, hendaklah difahami bahawa pertolongan dan kemenangan itu memang datang dari Allah. Allah memberikan kepada siapa saja yang Dia kehendaki. Namun, Allah menjelaskan kriteria mereka, iaitu hamba-hamba-Nya yang soleh, beriman, beramal soleh, menyembah-Nya, tidak menyekutukan-Nya dengan yang lain, berjuang berjemaah, dan tidak sendiri. Perjuangannya sepenuhnya terikat dengan Islam, baik dari aspek pemikiran, hukum, mahupun pandangan.
Pertanyaannya kemudian, bukankah semuanya ini sudah ada, tetapi mengapa kemenangan dan pertolongan-Nya belum juga datang? Jawapannya, semua itu terserah Allah, kerana ini hak prerogatif Allah. Bila, di mana, serta kepada siapa kemenangan dan pertolongan itu diberikan, terserah Allah.
Kadang kemenangan dan pertolongan itu diberikan, walaupun jumlah orangnya tidak banyak, sebagaimana dalam Perang Badar. Bahkan Allah memberikan pelajaran berharga dalam Perang Hunain. Jumlah yang banyak ternyata tidak ada gunanya. Sebabnya, kemenangan dan pertolongan itu di tangan Allah. Bukan ditentukan oleh kuantitinya.
Untuk memastikan kemenangan itu di tangan Allah dan diberikan kepada siapa saja yang Allah kehendaki, Allah memilih momentum pertolongan dan kemenangan itu,
حَتَّىٰٓ إِذَا ٱسۡتَيۡأَسَ ٱلرُّسُلُ وَظَنُّوٓاْ أَنَّهُمۡ قَدۡ كُذِبُواْ جَآءَهُمۡ نَصۡرُنَا فَنُجِّيَ مَن نَّشَآءُۖ وَلَا يُرَدُّ بَأۡسُنَا عَنِ ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡمُجۡرِمِينَ
“Sampai ketika para utusan itu merasa putus asa dan mereka mengira bahawa mereka telah didustakan, lalu datanglah kepada mereka pertolongan Kami. Lalu Kami menyelamatkan siapa saja yang Kami Kehendaki. Seksa Kami tidak akan boleh dielakkan dari kaum yang melakukan kejahatan.” (TMQ Yusuf [12]: 110).
Ini juga dijelaskan dalam surah Al-Baqarah (2) ayat 214, dan surah Al-Ahzab (33) ayat 11. Semuanya menjelaskan momentum datangnya kemenangan dan pertolongan Allah, yakni ketika jalan-jalan yang dilalui para pejuang, pengemban dakwah, dan kekasih Allah itu sudah buntu. Supaya tidak ada satu pun yang merasa, seolah kemenangan itu kerana mereka. Supaya mereka yakin, seyakin-yakinnya, bahawa kemenangan dan pertolongan itu memang murni dari Allah SWT.
Oleh kerana itu, dalam hal ini ada dua yang perlu dibezakan:
Secara i’tiqadi (akidah), kemenangan dan pertolongan itu di tangan Allah. Bukan di tangan manusia. Kerana itu sebab datangnya kemenangan dan pertolongan itu adalah Allah sendiri.
Secara i’tiqadi (akidah), kemenangan dan pertolongan itu sebahagian dari qadha dan qadar Allah, juga telah dinyatakan di Lauhulmahfuz; tentang bila, di mana, dan kepada siapa diberikan. Dengan kata lain, ini masalah ilmu Allah.
Secara syar’i (syariah), manusia wajib melakukan hukum sebab akibat sebagai ikhtiar mewujudkan halat [keadaan] sehingga melayakkan diri menjadi orang-orang dan kelompok yang layak diberikan kemenangan dan pertolongan oleh Allah. Melayakkan diri, baik secara peribadi mahupun kelompok.
Sebagaimana bekerja dalam mencari rezeki hanyalah halat (keadaan), bukan sebab datangnya rezeki, kerana sebabnya rezeki adalah Allah, maka hukum sebab akibat dalam perjuangan untuk mendapatkan kemenangan dan pertolongan oleh Allah itu tetap bukan penentu. Meski tetap perlu dilakukan dengan sebaik mungkin, dengan secepat mungkin, dan semaksima mungkin. Kerana penentunya adalah Allah.
Maka dari itu, Allah SWT menegaskan,
وَقُلِ ٱعۡمَلُواْ فَسَيَرَى ٱللَّهُ عَمَلَكُمۡ وَرَسُولُهُۥ وَٱلۡمُؤۡمِنُونَۖ
“Katakanlah (Muhammad), ‘Berjuanglah. Allah pasti akan menyaksikan perjuanganmu. Begitu juga Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman.’” (TMQ At-Taubah [9]: 105).
Wallahualam.