[Politik Syawal] Kepimpinan Islam
Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّمَا الْإِمَامُ جُنَّةٌ يُقَاتَلُ مِنْ وَرَائِهِ وَيُتَّقَى بِهِ، فَإِنْ أَمَرَ بِتَقْوَى اللَّهِ وَعَدَلَ، فَإِنَّ لَهُ بِذَلِكَ أَجْرًا، وَإِنْ قَالَ بِغَيْرِهِ فَإِنَّ عَلَيْهِ مِنْهُ
Nabi ﷺ bersabda: “Sesungguhnya seorang imam itu [laksana] perisai. Dia akan dijadikan perisai, di mana orang akan berperang di belakangnya, dan digunakan sebagai perisai. Jika dia memerintahkan takwa kepada Allah ‘Azza wa Jalla, dan adil, maka dengannya, dia akan mendapatkan pahala. Tetapi, jika dia memerintahkan yang lain, maka dia juga akan mendapat dosa/azab kerananya.” [HR. Bukhari dan Muslim]
Penjelasan Hadis
Hadis ini menjelaskan bahawa fungsi seorang Khalifah, Imam atau Amirul Mukminin adalah sebagai pelindung yang menjaga agama, kehormatan, darah dan harta umat Islam. Dia akan menjaga kesatuan ummah dan keutuhan setiap inci wilayah umat Islam. Sebagai pemimpin, dia bertanggungjawab melaksanakan perintah dan larangan yang terkandung dalam wahyu-Nya, termasuk menegakkan ketakwaan dan keadilan. Bukan sebaliknya.
Kepentingan Kepimpinan Islam
- Sebagai Perisai Umat
Khalifah mempunyai kuasa politik yang mampu mempertahankan agama dan umat daripada sebarang ancaman dan memenuhi keperluan hidup mereka. Hari ini kita melihat Islam dihina, manakala umatnya menghadapi kebiadaban musuh mereka tanpa pembelaan daripada pemimpin sekular mereka. Muslim Palestin, India, Uyghur, Rohingya dan ramai lagi dibiarkan menderita kerana pemimpin ummah dibelenggu oleh ikatan nasionalisme palsu yang direka oleh Barat. Malah, kecintaan mereka kepada kehidupan dunia telah menggelapkan hati dan membutakan mata mereka terhadap nasib malang umat di tangan musuh mereka, malah mengabaikan keperluan hidup dan kebajikan umat.
- Memerintahkan Supaya Bertakwa
Khalifah bertanggungjawab untuk menanamkan ketakwaan bukan sahaja kepada dirinya, tetapi juga kepada kepimpinannya. Takwa akan menghalangnya daripada menzalimi rakyatnya. Lebih penting lagi, ia akan membuatkan dia sentiasa berpegang pada perintah dan larangan Allah. Takwa adalah seperti imuniti tubuh yang dapat membentenginya dari serangan virus berbahaya. Bagi umat, mereka boleh dibentengi daripada serangan jahat pemikiran sekular-liberal Barat.
- Menegakkan Keadilan
Khalifah juga dituntut untuk menegakkan keadilan dalam pemerintahannya. Keadilan yang sebenar hanya wujud dalam Islam. Allah memberi amaran dengan azab-Nya jika pemimpin itu mengkhianati dan menipu rakyat. Khalifah akan menegakkan hukum-hukum Islam untuk memastikan keadilan terpelihara. Sedangkan undang-undang buatan manusia seperti demokrasi-kapitalisme dan seumpamanya tidak menyebelahi keadilan yang sebenar, malah ia hanya mengutamakan kepentingan golongan kapitalis yang memiliki kekayaan yang tidak lain hanya membawa kemusnahan di muka bumi.
Muhasabah Syawal
Umat Islam perlu sedar bahawa mereka memerlukan perisai yang akan melindungi mereka dan agama mereka. Ketakwaan dan keadilan juga akan ditegakkan. Kesemuanya ini adalah merealisasikan bentuk kepimpinan Islam. Oleh itu, di bulan Syawal yang mulia ini, marilah kita bersatu mengembalikan kepimpinan Islam yang telah lenyap sekian lama. Kembalinya kepimpinan Islam memerlukan umat Islam yang tidak jemu memperjuangkannya dengan dakwah dan jihad. Islam tidak memerlukan kepimpinan lain yang jelas tidak menjaga ummah dan tidak menyebelahi kemenangannya. Hanya kepimpinan Islam yang terbukti berjaya membawa umat keluar dari kegelapan menuju cahaya kegemilangan.