[Tarikh Khulafa] Khalifah Harun ar-Rasyid Wafat dalam Perjalanan Mulia
Penulis: Nabila Ummu Anas
Khalifah Harun ar-Rasyid wafat pada Jamadil Akhir 193 H pada usia 48 tahun. Penyakitnya semakin parah dalam perjalanan menuju Khurasan bagi menghadapi pemberontakan Rafi’ bin Al-Laits. Sakit tersebut mengantarkan Harun ar-Rasyid kembali kepada Rabb-Nya di Kota Thus. Masa pemerintahannya berlangsung selama 23 tahun dengan meninggalkan era kegemilangan dan kesejahteraan bagi rakyat Kekhalifahan Bani Abbasiyah.
Pesan Terakhir Khalifah untuk Wali Khurasan
Setelah mendapatkan pengaduan tentang pecah amanah Wali Khurasan, Ali bin Isa, terhadap rakyat, Khalifah Harun ar-Rasyid kemudian menggantinya dengan Hartsamah bin A’yun, seorang komandan tentera yang berani.
Kemudian Khalifah Harun ar-Rasyid berpesan kepada Hartsamah, “Inilah pesan yang disampaikan Harun ar-Rasyid, Amirul Mukminin, kepada Hartsamah bin A’yun ketika mengangkatnya sebagi wali benteng Khurasan dan daerah sekitarnya, serta pemungut kharaj, memerintahkan kepadanya agar sentiasa bertakwa kepada Allah dan patuh kepada-Nya, menjaga perintah Allah dan selalu merasa diawasi-Nya. Hendaklah menjadikan Kitabullah sebagai petunjuk dalam semua urusan perjuangan di jalannya, menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram, tidak melakukan perkara-perkara yang tidak jelas, juga agar memiliki pemahaman yang mendalam terhadap agama Allah dan mendalami kitab suci.”
Khalifah juga memerintahkan Hartsamah untuk mengesahkan berkaitan dengan tidak amanahnya wali sebelumnya, Ali bin Isa, bersama anak lelaki, Setiausaha, dan pegawainya. Hartsamah juga diminta untuk bersikap tegas kepada mereka serta menyita semua harta benda yang bukan hak mereka, seperti kharaj yang sepatutnya dibayar ke baitul mal umat Islam.
Di akhir pesannya, Khalifah Harun ar-Rasyid menyampaikan, “Oleh kerana itu, wahai Abu Hatim, kerjakanlah apa yang ku pesankan kepadamu kerana sesungguhnya aku lebih mengutamakan Allah dan agamaku atas hawa nafsu dan kehendak peribadiku. Hendaknya kamu pun begitu dengan tugas dan tanggungjawabmu. Hendaklah segala urusan disandarkan kepada-Nya. Perhitungkan dan perhatikanlah para pegawai daerah yang kamu temui dengan segenap harta benda yang kamu bawa yang membuat mereka merasa curiga dan ketakutan terhadap perkara-perkara yang kamu lakukan. Realisasikanlah harapan-harapan sederhana penduduk benteng Khurasan, berikanlah keamanan, dan ampuni kesalahan mereka. Setelah itu lakukan tindakan dan kebijakan yang membuat Allah, pemimpin, dan orang yang melimpahkan tugas dan tanggungjawab kepadamu—dengan izin Allah—meredhaimu. Inilah pesan dan suratku yang ku tulis sendiri. Aku bersaksi kepada Allah dan para malaikat-Nya, penjaga Arsy dan penduduk langit, dan cukuplah Allah sebagai saksi.”
Sesampainya di Marwu, Hartsamah menemui Ali bin Isa dan menyampaikan surat Khalifah Harun ar-Rasyid kepadanya. Setelah selesai membaca surat tersebut, Hartsamah menangkap Ali bin Isa, anak lelakinya, setiausaha, dan para pegawainya. Setelah itu Hartsamah pergi ke Masjid Agung untuk berpidato sebagai Wali Khurasan yang baru dan merealisasikan harapan-harapan rakyat khurasan.
Hartsamah menyita seluruh harta Ali bin Isa untuk dilaporkan kepada Khalifah Harun ar-Rasyid. Para ahli sejarah menganggarkan harta benda Ali bin Isa yang disita sangat banyak kerana dibawa oleh lebih kurang 1,500 ekor unta.
Wafat dalam Tugas Melindungi Rakyat dari Perpecahan sebab Pemberontakan
Hartsamah bin A’yun sangat memperhatikan pergerakan Rafi’ bin al-Laits. Akan tetapi, pengaruh dan kekuasaan Rafi’ bin al-Laits makin melebar di wilayah Transoxania. Hal ini memaksa Hartsamah melaporkan dan meminta Khalifah Harun ar-Rasyid untuk memimpin perang secara langsung membasmi pemberontakan Rafi’ ini.
Khalifah Harun ar-Rasyid keluar dari Baghdad pada Syaaban 193 H menuju Khurasan. Khalifah menyerahkan pemerintahan Baghdad kepada anak lelakinya, Muhammad al-Amin. Harun ar-Rasyid sendiri didampingi anak lelakinya, Abdullah al-Makmun. Khalifah terus bergerak bersama pasukannya hingga tiba di Kota Thus.
Di sanalah penyakitnya semakin parah hingga menemui kematiannya pada Jamadil Akhir 193 H. Jenazahnya disolatkan oleh anak lelakinya yang lain bernama Shaleh kerana Abdullah al-Makmun ketika itu telah berangkat ke Marwu, yang merupakan ibu kota Khurasan. Khalifah Harun ar-Rasyid dimakamkan di kota Thus.
Khalifah Harun ar-Rasyid memiliki dua belas anak lelaki dan empat anak perempuan. Harun ar-Rasyid menikah dengan enam isteri dan empat di antaranya meninggal dunia ketika khalifah masih hidup.
Sumber: Syekh Muhammad al-Khudari, Bangkit dan Runtuhnya Khilafah Bani Abbasiyah, Puncak Keemasan dan Kejayaan Kekhilafahan Islam, Pustaka Al-Kautsar.
#tarikhkhulafa #harunarrashid #khalifah