[TARIKH KHULAFA] Politik Luar Negara Khalifah Al-Manshur
Penulis: Nabila Ummu Anas
Seperti khalifah Islam terdahulu, hubungan luar negara Khilafah ialah dalam rangka menyebarluaskan Islam ke negara-negara yang lain dengan dakwah dan jihad. Politik luar negara Khilafah mensasarkan Islam tersebar ke seluruh penjuru dunia dengan meluasnya wilayah dan pengaruh kuasa negara Islam. Penyebaran Islam ini diiringi oleh penduduk yang memeluk Islam atau tetap dengan agama mereka cuma mereka diwajibkan membayar jizyah sebagai bukti ketundukan mereka kepada khalifah Islam.
Peperangan yang Sentiasa Berlaku
Empayar Rom adalah sebuah negara besar yang masih dihadapi oleh khalifah Islam pada masa itu. Khilafah Islam memerangi empayar Rom pada musim panas sehingga ia dikenali sebagai Ash-Shawa’if. Peperangan dan penghantaran tentera tersebut tidak pernah berhenti kecuali ada halangan.
Pertempuran pertama semasa pemerintahan Khalifah Abu Ja’far al-Manshur berlaku apabila empayar Rom di bawah pimpinan maharaja mereka melancarkan serangan pada tahun 138 H ke atas Malthiyah. Malthiyah termasuk dalam kawasan sempadan negara Islam. Tentera Rom memasukinya dengan kekerasan dan memaksa penduduknya untuk tunduk kepada mereka serta memusnahkan kubu-kubu mereka.
Apabila Al-Manshur mengetahui hal ini, dia segera menugaskan bapa saudaranya, Shaleh bin Ali bersama saudaranya, Al-Abbas bin Muhammad bin Ali untuk berangkat ke Tha’ifah. Sebelum melakukan penyerangan, mereka membina kubu dan rumah yang dimusnahkan oleh tentera Rom di Malthiyah. Tentera Islam tinggal di sana sehingga 139 H. Kemudian mereka menyerang Tha’ifah dari Darb Al Hadats dan terus menyerang ke dalam wilayah Rom. Ja’far bin Hanzalah Al Bahrani juga menyerang dari pintu gerbang Malthiyah.
Pada tahun ini , situasi dan keadaan mula normal dan stabil antara Khalifah Al-Manshur dan Maharaja Rom sehingga kedua-duanya melakukan penebusan tawanan perang. Al-Manshur menebus beberapa tawanan perang umat Islam dari penjara empayar Rom.
Pada tahun 140 H, Al-Hasan bin Quhthubah bersama Abdul Wahhab bin Ibrahim ditugaskan untuk menyerang Ash-Sha’ifah. Menghadapi serangan tersebut, Maharaja Rom Konstantin, menyediakan tentera dalam jumlah yang besar dan membina pangkalan tentera di Jihun. Namun, apabila beliau mendapat maklumat bahawa jumlah tentera umat Islam sangat ramai, maka dia lebih memilih untuk berundur. Setelah itu serangan terhadap Ash-Sha’ifah tidak diteruskan sehingga 146 H kerana Khalifah Al-Manshur sedang menumpukan perhatian untuk menyelesaikan pemberontakan Muhammad dan Ibrahim , yang kedua-duanya adalah anak kepada Abdullah.
Kemudian terjadi serangan berturut-turut terhadap Sha’ifah sehingga tahun 155 H. Selama perang tersebut, empayar Rom meminta berdamai dengan bersedia untuk membayar jizyah kepada negara Islam.
Peperangan demi peperangan antara kedua-dua belah pihak terus berterusan, tetapi belum mencapai penaklukan Rom secara keseluruhan. Masing-masing dari kedua-dua belah pihak memanfaatkan kesempatan untuk menyerang sehingga melepasi sempadan negara lawan . Perjanjian damai yang disepakati biasanya tidak bertahan lama, melainkan segera berlaku pertempuran kembali seperti sebelumnya.
Tentera Khalifah Al–Manshur
Antara faktor penting untuk kemajuan pemerintahan ialah tentera yang menjaga wilayah dan mempertahankan pemerintahan Daulah Abbasiyah. Ketika Daulah Abbasiyah berkuasa, maka sebahagian besar tentera yang mencapai jawatan tinggi dalam ketenteraan berasal dari Khurasan. Oleh itu, diwan ketenteraan pada tempoh pertama Daulah Abbasiyah terdiri daripada dua kelompok, iaitu tentera Khurasan dan tentera Arab.
Di setiap sempadan wilayah kekuasaan pemerintahan Islam dari beberapa arah yang lain biasanya menjadi pusat konflik. Namun, kemelut tersebut mampu dihentikan seketika oleh Khalifah Al-Manshur dengan menghantar tenteranya ke sana. Ini adalah kerana pengalaman dan pengetahuan yang teliti dari khalifah.
Di setiap wilayah sempadan atau kubu terdapat tentera negara yang sentiasa berjaga-jaga untuk menghadapi serangan atau menyusupnya pihak musuh. Pengawal sempadan ini dibayar daripada diwan ketenteraan.
Khalifah Al-Manshur adalah termasuk orang yang melantik panglima tentera dalam jumlah yang sangat ramai. Khalifah Al-Manshur juga mempunyai tentera Islam dari kalangan sukarelawan. Mereka adalah orang Islam yang tergerak untuk berjuang di jalan Allah demi mendapatkan keredhaan-Nya semata-mata.
Sumber:
Syeikh Muhammad Al-Khudari. “Bangkit dan Runtuhnya Khilafah Bani Abbasiyah, Puncak Keemasan dan Kejayaan Kekhilafahan Islam”. Pustaka Al-Kautsar
#TarikhKhulafa #KhalifahAlManshur #PolitikLuarNegara #KhilafahIslam