[TARIKH KHULAFA] Jawatan Penting pada Zaman Khalifah Abu Jaafar al-Manshur
Penulis: Nabila Ummu Anas
Sistem yang digunakan untuk menjalankan roda pemerintahan dalam Daulah Abbasiyah tidak jauh berbeza dengan sistem pemerintahan yang dilaksanakan oleh Daulah Umayyah. Setiap wilayah mempunyai pemimpin yang disebut sebagai Wali kota. Kemudian terdapat lima jawatan yang mempunyai posisi penting dalam pemerintahan Khalifah Al-Manshur, iaitu Al-Wazir, Al-Hajib (penjaga pintu gerbang), Al-Qadhi (hakim), Al-Katib (setiausaha), dan Shahib Asy-Syurthah (penjaga keselamatan).
Wali Kota
Wali kota (zaman sekarang Datuk Bandar) adalah pemimpin suatu wilayah yang dilantik oleh khalifah. Wali kota bertugas mendirikan solat berjemaah bersama umat Islam, berjihad melawan musuh, memungut kharaj, menjaga keselamatan, dan menyelesaikan persengketaan atau konflik antara rakyat dalam negara.
Jumlah Wali kota tidak perlu sepadan dengan jumlah wilayah atau daerah yang dimiliki. Ia bukan perkara biasa bagi seorang Wali kota untuk mengawasi dua daerah atau lebih. Kadang-kadang kedua-duanya dipisahkan, bergantung kepada dasar khalifah dan pandangannya terhadap kecekapan wali kota yang dilantik.
Sebahagian besar wali kota semasa pemerintahan Abu Jaafar al-Manshur dilantik daripada ahli keluarganya dan pengikut setia mereka dari kalangan orang Arab. Khalifah Bani Abbasiyah tidak mahu jika seorang wali kota berkhidmat dalam tempoh yang lama dalam sebuah wilayah. Terutama di wilayah hujung sempadan seperti Mesir dan Khurasan.
Ini kerana mereka bimbang wilayah tersebut akan memisahkan diri dari khalifah. Kejadian seperti ini sering berlaku di Khurasan dan Al-Manshur berusaha menghadapinya dengan pelbagai cara dan kekuatan.
Lima Jawatan Penting
Semua jawatan dalam pemerintahan membawa kepada khalifah yang mempunyai kuasa tertinggi, mesti ditaati, dan yang menilai pengawai. Jawatan-jawatan tersebut termasuk:
1- Al-Wazir. Nama al-wazir belum dikenali pada zaman khalifah Bani Umayyah. Orang pertama yang menyebut dengan nama al-wazir pada zaman Abul Abbas as-Saffah ialah Abu Salamah al-Khalal, seorang tokoh Bani Abbasiyah di Kufah. Ketika itu beliau dikenali sebagai Wazir Al-Muhammad.
Semasa Abu Jaafar Al Manshur menjadi khalifah, wazir dalam pemerintahannya tidak mempunyai pengaruh dan kuasa besar kerana Al-Manshur lebih dominan dalam menjalankan pemerintahan. Mereka yang pernah menjadi wazir semasa Khalifah Al-Manshur ialah Abu Ayyub Sulaiman bin Abu Sulaiman Mukhalid dan Ar-Rabi bin Yunus.
2- Al–Hajib ( Penjaga pintu gerbang). Al-hajib adalah pengawai tinggi yang tiada sesiapa boleh mendekati khalifah kecuali dengan izinnya. Al–hajib dibentuk sejak zaman pemerintahan Daulah Umayyah. Mereka membentuk jawatan ini kerana bimbang dengan keselamatan nyawa mereka daripada penyerang setelah melihat tindakan kaum khawarij terhadap Ali bin Abi Thalib ra., Amr bin Ash, dan Muawiyah bin Abi Sufyan. Al-hajib juga bertanggungjawab membuka pintu gerbang apabila berlaku keramaian.
Tugas dan tanggungjawab khalifah yang padat membuat mereka sibuk sehingga memerlukan orang yang memberikan laporan kepada mereka tentang semua itu. Orang tersebut mereka namakan sebagai al-hajib.
Diriwayatkan bahawa Abdul Malik berkata kepada penjaga pintu gerbangnya, “Aku telah melantikmu sebagai penjaga pintu gerbangku, kecuali dari tiga orang, petugas azan yang mengumandangkan azan untuk solat kerana dia menyeru kepada Allah, petugas pos maka surat-surat yang dibawanya diperlukan dan pembawa makanan supaya tidak basi.”
Al-hajib mempunyai kuasa untuk mengutamakan dan menamatkan pemberian permit dengan mengambil kira kedudukan dan darjat seseorang. Penjaga pintu pada zaman Daulah Abbasiyah merupakan jawatan tinggi dan sering menjadi teman perunding dalam pelbagai urusan khalifah.
3- Al-Katib (Setiausaha). Al-katib ialah pegawai yang mengendalikan surat-menyurat dan surat-surat yang diterima oleh penguasa, khalifah dan lain-lain. Selalunya jawatan ini dipegang oleh khalifah sendiri. Hal ini seperti Khalifah Abu Jaafar al-Manshur apabila menerima surat daripada Muhammad bin Abdullah. Setiausahanya berkata, “ Biarkan aku yang menjawabnya,” Abu Jaafar berkata, “Tidak, aku sendiri yang akan menjawabnya…” Kadang-kadang jawatan ini dipegang oleh wazir.
4- Shahib asy-Syurthah (penjaga keselamatan), iaitu orang yang bertugas menjaga keamanan. Al-Manshur memilih ketua keselamatan daripada orang yang boleh dipercayai dan tegas. Pegawai ini mempunyai kuasa besar ke atas semua orang yang mencurigakan dan penjahat.
5- Al-Qadhi (Hakim). Hakim ini bertugas menyelesaikan pelbagai masalah di pusat kota pemerintahan sahaja. Ia tidak mempunyai kuasa ke atas pengadilan di seluruh daerah. Antara hakim-hakim yang terkenal pada zaman pemerintahan Al-Manshur ialah Muhammad bin Abdurrahman bin Abu Laila.
Inilah kelima-lima jawatan penting dalam pemerintahan Al-Manshur. Sedangkan jawatan yang lain tertakluk dibawahnya. Setiap wilayah mempunyai struktur jawatan seperti ini.
Sumber:
Syeikh Muhammad Al Khudari, Bangkit dan Runtuhnya Khilafah Bani Abbasiyah, Puncak Keemasan dan Kejayaan Kekhilafahan Islam, Pustaka Al-Kautsar
#TarikhKhulafa #KhalifahAlManshur #JawatanPenting #SistemKhilafahIslam