TIGA CIRI KADER DAKWAH
Sebutan “rajul” (bentuk tunggal) atau jamaknya “rijal” (yang bermaksud manusia) mengandungi makna yang membayangkan tugas mulia dan keazamannya yang tinggi. Seseorang itu digelar “rijal” kerana sifat yang melekat padanya sebagai seorang kesatria.
Dalam Al-Quran, penggunaan perkataan “rijal”, “rajul”, atau perkataan yang satu akar dengannya, sangat banyak. Jika kita perhatikan, ertinya identik dengan kebaikan. Antaranya berkaitan dengan ketaatan, kepimpinan, tanggungjawab nafkah, pemakmur masjid, orang yang sentiasa berzikir, kepahlawanan dan sebagainya. Dalam konteks dakwah, erti kata “rijal” yang terbaik ialah kader. Jika dimaknakan dengan perkataan “kesatria” maka lebih terkesan aspek sejarahnya. Namun, jika ia dimaknakan sebagai “kader”, maka ia nampak lebih tepat dan dekat dengan realiti.
Ya, kita memerlukan kader untuk meneruskan tanggungjawab dakwah ini.
Dengan mentadabburi al-Quran yang menyebut perkataan “rijal/rajul”, ciri-ciri kader dakwah antara lain:
Pertama, kader-kader dakwah tidak boleh sibuk dengan urusan dunia.
Allah SWT berfirman,
رِجَالٌ لَا تُلْهِيهِمْ تِجَارَةٌ وَلا بَيْعٌ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ يَخَافُونَ يَوْمًا تَتَقَلَّبُ فِيهِ الْقُلُوبُ وَالأبْصَارُ (37) لِيَجْزِيَهُمُ اللَّهُ أَحْسَنَ مَا عَمِلُوا وَيَزِيدَهُمْ مِنْ فَضْلِهِ وَاللَّهُ يَرْزُقُ مَنْ يَشَاءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ (38)
“(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (Mereka mengerjakan semuanya itu) supaya Allah membalas mereka dengan sebaik-baik balasan bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahi mereka lagi dari limpah kurniaNya; dan sememangnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terhitung.” [TMQ An-Nur: 37-38].
Ayat di atas selaras dengan firman-Nya yang lain:
{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلا أَوْلادُكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ}
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya).” [TMQ Al-Munafiqun: 9]
Allah SWT berfirman bahawa dunia dan kemegahannya tidak dapat menyibukkan mereka. Mereka mengetahui pahala di sisi Allah lebih baik dan lebih bermanfaat bagi mereka daripada harta yang ada di tangan mereka kerana harta yang ada di tangan mereka pasti habis, sedangkan pahala di sisi Allah adalah kekal. Mereka mengutamakan ketaatan kepada Allah dan perintah Allah serta apa yang disukai-Nya.
Hasyim telah meriwayatkan daripada Syaiban; dia menceritakan hadis dari Ibnu Mas’ud bahawa dia melihat suatu kaum dari kalangan ahli pasar, ketika azan dikumandangkan untuk menunaikan solat fardhu. Kemudian mereka meninggalkan jual beli mereka, lalu bangun ke tempat solat untuk menunaikan solat.
Abdullah ibn Mas’ud berkata bahawa mereka termasuk golongan yang disebut oleh Allah SWT melalui firman-Nya,
“(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah.” [TMQ An-Nur: 37].
Kedua, kader dakwah ialah orang yang bergegas memberi pertolongan dan menyampaikan kebenaran.
Allah SWT berfirman,
وَجَاءَ مِنْ أَقْصَى الْمَدِينَةِ رَجُلٌ يَسْعَى قَالَ يَا قَوْمِ اتَّبِعُوا الْمُرْسَلِينَ (20) اتَّبِعُوا مَنْ لَا يَسْأَلُكُمْ أَجْرًا وَهُمْ مُهْتَدُونَ (21)
“Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya: “Wahai kaumku! Ikutilah Rasul-rasul itu, ikutilah orang-orang yang tidak meminta kepada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang yang mendapat petunjuk’.” [TMQ Yasin: 20-21]
Ibn Ishaq dalam riwayatnya daripada Ibn Abbas, Ka’bul Ahbar, dan Wahb ibn Munabbih telah berkata bahawa sebenarnya penduduk negeri itu hampir membunuh utusan-utusan mereka, tetapi datang seorang lelaki dari pinggir bandar yang datang berlari dengan cepat untuk membantu rasul-rasul itu dari ancaman kaumnya.
Menurut mereka bertiga, lelaki itu bernama Habib, seorang penenun dan menghidap penyakit. Penyakit yang dihidapinya ialah kusta. Dia seorang yang banyak bersedekah, separuh daripada hasil kerjanya selalu dia sedekahkan, dan dia adalah orang yang berfikiran lurus.
Umar ibnul Hakam berkata bahawa Habib adalah seorang uskup. Qatadah berkata, dia seorang ahli ibadah yang menghabiskan hidupnya dengan beribadat di salah sebuah gua di pinggir negeri tersebut. {قَالَ يَا قَوْمِ اتَّبِعُوا الْمُرْسَلِينَ} “Dia berkata, ‘Wahai kaumku, ikutilah Rasul-rasul itu’.” [TMQ. Yasin: 20]. Dia menasihati kaumnya supaya mengikut rasul-rasul yang datang memberi peringatan kepada mereka. {اتَّبِعُوا مَنْ لَا يَسْأَلُكُمْ أَجْرًا} “Ikutilah orang yang tidak meminta balasan kepadamu.” [TMQ Yasin: 21], iaitu upah sebagai ganjaran kerana menyampaikan risalah kepada mereka. {وَهُمْ مُهْتَدُونَ} “Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” [TMQ Yasin: 21]. Mereka mendapat hidayah dari Allah SWT. Oleh itu, mereka menyeru kamu supaya menyembah Allah semata-mata, tidak ada sekutu bagi-Nya.
Ketiga, kader dakwah ialah orang yang menepati janji dan sentiasa sabar dalam perjuangan.
Allah SWT berfirman,
{مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ فَمِنْهُمْ مَنْ قَضَى نَحْبَهُ وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلا (23) لِيَجْزِيَ اللَّهُ الصَّادِقِينَ بِصِدْقِهِمْ وَيُعَذِّبَ الْمُنَافِقِينَ إِنْ شَاءَ أَوْ يَتُوبَ عَلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَحِيمًا (24) }
“Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun. (Berlakunya yang demikian) supaya Allah membalas orang-orang yang benar disebabkan kebenaran mereka, dan menyeksa orang-orang yang munafik jika Ia kehendaki, atau Ia menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [TMQ Al-Ahzab: 23-24]
Setelah menceritakan tentang orang-orang munafik; mereka telah melanggar janji mereka sendiri yang telah mereka ikrarkan kepada Allah bahawa mereka tidak akan lari dari medan perang. Kemudian Allah menyebut ciri-ciri orang mukmin iaitu mereka berpegang teguh pada ikrar dan janji mereka. Sebahagian ahli tafsir mengatakan bahawa “nahbahu” bermaksud ajalnya, manakala menurut Imam Bukhari: janjinya.
Pemahaman ini merujuk kepada maksud pertama di atas. {وَمِنْهُمْ مَنْ يَنْتَظِرُ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلا} “Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka tidak mengubah (janji) sedikit pun.” [TMQ Al-Ahzab: 23], iaitu mereka tidak mengubah janji mereka kepada Allah, tidak merosakkan atau menggantikannya.
Imam Bukhari telah menyebutkan riwayat dari Kharijah bin Zaid bin Sabit, dari ayahnya yang berkata, “Ketika kami menyalin Mushaf, kami kehilangan satu ayat dari Surah al-Ahzab, padahal aku pernah mendengarnya dari Rasulullah SAW ketika beliau membacanya. Ayat itu tidak ada pada seseorang melainkan ada pada (hafalan) Khuzaimah ibn Sabit al-Ansari RA yang persaksiannya dijadikan oleh Rasulullah SAW sama dengan persaksian dua orang lelaki.”
,
Ayat tersebut adalah firman Allah SWT,
“Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam);” [TMQ Al-Ahzab: 23]
Imam Ahmad meriwayatkannya dalam kitab musnadnya. Begitu juga dengan Imam Tirmidzi dan Imam Nasa’i dalam kitab tafsir sebahagian dari kitab sunnah masing-masing melalui hadis Az-Zuhri dengan sanad yang sama. Imam Tirmidzi mengatakan bahawa hadis ini hasan shahih. Imam Ahmad meriwayatkan hadis yang mengatakan bahawa sahabat Anas pernah memberitahu bahawa bapa saudaranya (iaitu Anas ibn Nadr RA yang namanya sama dengannya) tidak ikut bersama Rasulullah SAW dalam Perang Badar sehingga dia mengalami tekanan batin kerananya.
Kemudian Anas bin Nadr berkata, “Aku tidak ikut berperang bersama Rasulullah SAW pada awal perang yang diikuti olehnya. Sesungguhnya jika Allah SWT memberiku peluang dalam peperangan yang lain setelah perang ini, aku akan ikut dengan Rasulullah SAW dan sesungguhnya Allah akan menyaksikan apa yang akan aku lakukan dalam peperangan itu.”
Berkenaan firman Allah SWT {وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلا} “Dan mereka tidak mengubah (janji) sedikit pun.” [TMQ Al-Ahzab: 23], mereka sama sekali tidak mengubah janjinya dan tidak mengkhianatinya, bahkan mereka tetap berpegang teguh kepada janji mereka kepada Allah. Mereka tidak merosakkannya, tidak seperti apa yang dilakukan oleh orang-orang munafik, iaitu mereka yang berkata: {إِنَّ بُيُوتَنَا عَوْرَةٌ وَمَا هِيَ بِعَوْرَةٍ إِنْ يُرِيدُونَ إِلَا فِرَةٌ وَمَا هِيَ بِعَوْرَةٍ إِنْ يُرِيدُونَ إِلا فِرَا إِنَّا لَا فِرَاء . “Sesungguhnya rumah-rumah kami memerlukan perlindungan”, pada hal ia tidak memerlukan perlindungan. Mereka hanya bertujuan hendak melarikan diri (dari berjuang menegakkan Islam).” [TMQ Al-Ahzab: 13] sehingga firman-Nya: {وَلَقَدْ كَانُوا عَاهَدُوا اللَّهَ مِنْ قَبْلُ لَا يُوَلُّونَ الأدْبَ اللَّهِ وَاللَّهُ مِنْ يُوَلُّونَ الأدْبِ ( ke belakang).” [TMQ Al-Ahzab: 15]
Justeru, ciri-ciri kader dakwah ialah mereka yang tidak lalai dengan urusan dunia yang bergegas memberi pertolongan dan menyampaikan kebenaran kepada umat dan mereka yang menepati janji serta sentiasa sabar dalam perjuangan.
Selain itu, hendaklah menjadi qa’id (pemimpin). Ciri utama seorang pemimpin adalah bertindak dengan matlamat yang jelas.
Sesungguhnya Allah hendak menguji hamba-hamba-Nya yang beriman dengan rasa takut dan goncangan (gentar) agar Dia membezakan antara orang yang berhati buruk dan orang yang berhati baik sehingga nampak apa yang ada dalam hati mereka berupa sikap dan perbuatan. Inilah watak (sajiyyah) yang mesti dilekatkan pada kader-kader dakwah.