BOLEHKAH DUA PEREMPUAN ATAU LEBIH DENGAN PEMANDU LELAKI DALAM SATU KERETA?
Oleh : KH. M. Shiddiq Al-Jawi
Soalan :
Ustaz, saya pernah mendengar pendapat yang membolehkan naik Grab, bukan taxi, bus dll, walaupun tanpa mahram dengan disertai beberapa (lebih dari satu) perempuan dengan pemandu seorang lelaki di dalamnya. Hanya saja dua hari lalu kami mendapat maklumat dari seorang Ustaz yang berpendapat bahawa tindakan tersebut itu tidak boleh. Maka atas kekeliruan itu, kami meminta pencerahan dan penjelasan daripada Ustaz. (Liza Burhan)
Jawapan :
Terdapat khilāfiyah (perbezaan pendapat) ulama mengenai boleh atau tidaknya situasi yang ditanyakan di atas, iaitu adanya satu orang pemandu bersama dua perempuan muslimah atau lebih, yang bukan mahramnya, di dalam satu kereta. Dalam kitab-kitab fiqih yang khusus membahas hukum khalwat, situasi tersebut disebut dengan istilah “khalwatnya seorang lelaki dengan lebih dari satu orang perempuan ajnabi (bukan mahram atau bukan isteri),” (khalwat al-rajuli bi aktsara min imra`atin ajnabiyyatin. (‘Umar Jamīl Ahmad Tsābit, Aḥkām Al-Khalwat wa Ātsāruhā fī Al-Fiqh Al-Islāmi, hlm. 27; ‘Abdullāh bin ‘Abdul Muḥshin Al-Tharīqī, Al-Khalwat wa Ahkāmuhā fī Al-Fiqh Al-Islāmi, hlm. 13)
Khalwat sendiri definisinya adalah pertemuan antara lelaki dengan perempuan yang bukan mahramnya di suatu tempat yang tidak memungkinkan ada orang lain yang bergabung dengan keduanya, kecuali dengan izin keduanya, misalnya pertemuan lelaki dan perempuan di sebuah rumah, atau di suatu tempat yang sepi yang jauh dari jalan dan keramaian manusia. (Taqiyuddin An-Nabhani, Al-Nizhām Al-Ijtimā’i fī Al-Islām, hlm. 96).
Dalam kes khalwat seorang lelaki dengan lebih dari satu orang perempuan ajnabi ini, terdapat dua pendapat ulama.
Pertama, mengharamkan, ini adalah pendapat ulama Hanafiyah dan Hanabilah. Kedua, membolehkan, ini adalah pendapat ulama Malikiyah dan Syafi’iyyah. (Al-Mausū’ah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyah, Juz XIX, hlm. 267-268; ‘Umar Jamīl Ahmad Tsābit, Aḥkām Al-Khalwat wa Ātsāruhā fī Al-Fiqh Al-Islāmi, hlm. 27-30; Abdullāh bin ‘Abdul Muḥshin Al-Tharīqī, Al-Khalwat wa Ahkāmuhā fī Al-Fiqh Al-Islāmi, hlm. 13-14; Samar Muhammad Abu Yahya, Ahkām Al-Khalwat fī Al-Fiqh Al-Islāmi,
hlm. 29-37; Aḥmad Maḥmūd Muḥammad ‘Āsyūr, Ahkām Al-Khalwat fī Al-Fiqh A-Islāmi, hlm. 54-56).
Dalil pendapat pertama yang mengharamkan, adalah hadis yang mengharamkan khalwat, walaupun ada orang ketiga, selama orang ketiga bukan mahram atau suami daripada perempuan tersebut.
Rasulullah SAW telah bersabda :
لَا يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بامْرَأَةٍ إلَّا وَمَعَهَا ذُوْ مَحْرَمٍ
“Janganlah sekali-kali seorang lelaki berkhalwat dengan seorang perempuan, kecuali perempuan itu disertai mahramnya.” (HR. Muslim, no. 1341; Al-Bukhari, no. 3006).
Adapun dalil pendapat kedua yang membolehkan, adalah hadis yang membolehkan khalwat asalkan ada orang ketiga, meskipun orang ketiga ini adalah sesama perempuan. Jadi, menurut pendapat kedua ini, jika seorang lelaki dan dua perempuan berada di satu tempat, hukumnya boleh, tidak haram. Dalilnya hadis Jabir bin ‘Abdillah RA berikut ini :
عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللهِ، قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلىَّ اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمِ : مَنْ كَانَ يُؤمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ اْلآخِرِ فَلاَ يَخْلُوَنَّ بِامْرَأةٍ لَيْسَ مَعَهَا ذُوْ مَحْرَمٍ مِنْهاَ ، فَإِنَّ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ
Dari Jabir bin ‘Abdillah RA, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir, maka janganlah sekali-kali dia berkhalwat dengan seorang perempuan yang tidak disertai mahramnya, kerana sesungguhnya yang ketiganya adalah syaitan.” (HR Ahmad, Al-Musnad, no. 14651).
Pendapat yang rājih (lebih kuat) adalah pendapat yang menbolehkan, kerana terdapat hadis yang layak menjadi dalil, iaitu hadis dari Jabir bin ‘Abdillah RA di atas yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hambal, raḥimahullāh. Hadis ini telah diberi syarah (penjelasan) oleh Imam Ash-Shan’ani, raḥimahullāh, dalam kitabnya Subulus Salām, sebagai berikut :
وَقَدْ وَرَدَ فِيْ حَدِيْثٍ: فَإِنَّ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ، وَهَلْ يَقُوْمُ غَيْرُ الْمَحْرَمِ مَقَامَهُ فِيْ هَذَا بِأَنْ يَكُوْنَ مَعَهُمَا مَنْ يُزِيْلُ مَعْنَى الْخَلْوَةِ؟ اَلظَّاهِرُ أَنَّهُ يَقُوْمُ لِأّنَّ الْمَعْنىَ الْمُنَاسِبَ لِلنَّهْيِ إِنَّمَا هُوَ خَشْيَةَ أَنْ يُوْقِعَ بَيْنَهُمَا الشَّيْطَانُ اْلفِتْنَةَ. اْلإِمَامُ الصَّنْعَانِيُّ. سبل السلام ج 2 ص 183
“Telah terdapat dalam satu hadis,”…kerana sesungguhnya yang ketiganya adalah syaitan.” Apakah keberadaan orang bukan mahram dapat menggantikan kedudukan mahram dalam hal ini, iaitu orang [ketiga] yang keberadaannya bersama dua orang itu (lelaki dan perempuan) dapat menghilangkan keharaman khalwat? Yang zhāhir (nampak jelas) bahawa orang ketiga yang bukan mahram itu dapat menggantikan kedudukan mahram, kerana makna yang sesuai dengan hadis yang melarang [khalwat], adalah adanya kekhawatiran bahawa syaitan akan dapat menjerumuskan dua orang itu (lelaki dan perempuan) ke dalam maksiat (“fitnah”).” (Imam Ash-Shan’ani, Subulus Salām, Juz II, hlm. 183).
Pendapat yang membolehkan inilah dianggap rājih oleh Imam Nawawi dalam kitabnya Syarah Muslim dan Al-Majmū’ Syarah Al-Muhadzdzab, dan juga oleh Syeikh Sulaiman Al-Jamal dalam kitabnya Hāsyiyah Al-Jamal. Imam Nawawi, raḥimahullāh, dalam kitab Syarah Muslim mengatakan :
وَأَمَّا إِذَا خَلاَ اْلأَجْنَبِيُّ بِاْلأَجْنَبِيَّةِ مِنْ غَيْرِ ثَالِثٍ مَعَهُمَا فَهُوَ حَرَامٌ بِاتِّفَاقِ الْعُلَمَاءِ، بِخِلاَفِ مَا لَوِ اجْتَمَعَ رَجُلٌ بِنِسْوَةٍ أَجَانِبَ، فَإِنَّ الصَّحِيْحَ جَوَازُهٌ. اْلإِمَامُ النَّوَوِيٌّ، شرح مسلم ج 9 ص 109
“Adapun jika seorang lelaki ajnabi [bukan mahram] dan perempuan ajnabi [bukan mahram] berkhalwat, tanpa ada orang yang ketiga, maka hukumnya haram menurut kesepakatan ulama [tak ada khilafiyah]. Ini berbeza dengan situasi kalau seorang lelaki berkhalwat dengan beberapa orang perempuan, [maka ada khilafiyah], dan pendapat yang benar, adalah pendapat yang membolehkannya.” (Imam Nawawi, Syarah Muslim, Juz IX, hlm. 109).
Imam Nawawi, dalam kitabnya Al-Majmū’ Syarah Al-Muhadzdzab, menegaskan hukum yang sama, dengan berkata :
إِنَّ الْمَشْهُوْرَ جَوَازُ خَلْوَةِ رَجُلٍ بِنِسْوَةٍ لاَ مَحْرَمَ لَهُ فِيْهِنَّ، لِعَدَمٍ الْمَفْسَدَةِ غَالِباً، لِأَنَّ النِّسَاءَ يَسْتَحْيِيْنَ مِنْ بَعْضِهِنَّ بَعْضاً فِيْ ذَلِكَ. اْلإِمَامُ النَّوَوِيٌّ. المجموع شرح الهذب ج ٧ ص٨٧
“Sesungguhnya pendapat yang masyhur, adalah bolehnya seorang lelaki berkhalwat dengan beberapa perempuan yang tidak disertai mahramnya, kerana pada umumnya keadaan tersebut tidak menimbulkan mafsadat (kerosakan), dan kerana para perempuan itu [biasanya] saling merasa malu antara yang satu dengan sebahagian yang lainnya.” (Imam Nawawi, Al-Majmū’ Syarah Al-Muhadzdzab, Juz VII, hlm. 87).
Syeikh Sulaiman Jamal (ulama mazhab Syafi’i) dalam kitabnya Ḥasyiyah Jamal mengatakan :
يَجُوْزُ خَلْوَةُ رَجُلٍ بِامْرَأَتَيْنِ ثِقَتَيْنِ يَحْتَشِمُهُمَا، وَهُوَ الْمُعْتَمَدُ. الشيخ سليمان الجمل, حاشية الجمل على شرح المنهج ج 4 ص 466
“Boleh hukumnya seorang lelaki berkhalwat dengan dua orang perempuan yang tsiqah (terpercaya), yang lelaki itu merasa segan kepada keduanya. Inilah pendapat yang menjadi pegangan (al-mu’tamad).” (Syeikh Sulaiman Jamal, Ḥasyiyah Al-Jamal ‘Alā Syarah Al-Manhaj, Juz IV, hlm. 466).
Kesimpulannya, seorang lelaki yang berkhalwat dengan dua perempuan atau lebih di satu tempat, hukumnya khilāfiyah di antara para ulama, ada yang mengharamkan dan ada yang membolehkan. Pendapat yang rājih (lebih kuat) adalah pendapat yang membolehkan, sehingga dengan demikian, boleh hukumnya kes yang ditanyakan di atas, iaitu boleh hukumnya ada lebih dari satu perempuan muslimah dengan seorang pemandu lelaki di dalam sebuah kereta. Wallāhu a’lam.