Kriteria Ulul amri yang Wajib Ditaati oleh Umat Islam
Oleh: K.H. M. Shiddiq al-Jawi
Soalan :
Mohon maaf ustaz. Apabila ada pemahaman bahawa apabila menghadapi sebuah ikhtilaf yang berhak mengambil keputusan hukum dan mesti diikuti fatwanya adalah seorang Ulul amri (imam, amirul mukminin). Sedangkan titik permasalahannyakan siapa Ulul amri yang sah sesuai dengan Al-Quran dan As-Sunah itu? Bila presiden yang dianggap sebagai Ulul amri, lalu apakah presiden-presiden itu menggunakan dasar hukum Al-Quran As-Sunah dalam memerintah? Presiden dengan jumlah banyak itu apakah tidak menyalahi dalil, “Apabila ada dua khalifah, maka bunuhlah yang satunya.” Dan apakah tidak menyalahi contoh-contoh Rasulullah dan sahabat bahawa Ulul amri itu tunggal? Apakah presiden itu dalam memerintah mengutamakan umat Islam? Inilah sumber masalah itu. Mohon pencerahannya, Ustaz. (Hamba Allah).
Jawapan:
Terdapat ayat yang memerintahkan umat Islam untuk mentaati Ulul amri, iaitu firman Allah Swt.,
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْٓا اَطِيْعُوا اللّٰهَ وَاَطِيْعُوا الرَّسُوْلَ وَاُولِى الْاَمْرِ مِنْكُمْۚ فَاِنْ تَنَازَعْتُمْ فِيْ شَيْءٍ فَرُدُّوْهُ اِلَى اللّٰهِ وَالرَّسُوْلِ اِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُوْنَ بِاللّٰهِ وَالْيَوْمِ الْاٰخِرِۗ ذٰلِكَ خَيْرٌ وَّاَحْسَنُ تَأْوِيْلًا
“Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul (Muhammad), dan Ulul amri (pemegang kekuasaan) di antara kamu. Kemudian, jika kamu berbeza pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (sunahnya), jika kamu beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (TMQ An-Nisa’: 59).
Ayat tersebut jelas menunjukkan kewajipan mentaati Ulul amri(pemegang kekuasaan) di antara umat Islam. Namun, kemudian ada yang menafsirkan ketaatan kepada penguasa dalam ayat tersebut bersifat mutlak dan umum untuk setiap pemegang kekuasaan (penguasa), tidak dilihat lagi apakah Ulul amri itu khalifah dalam sistem pemerintahan Islam (Khilafah), ataukah penguasa dalam sistem pemerintahan sekular, seperti presiden dalam sistem republik, atau raja dalam sistem kerajaan (monarki). (Muhammad bin Abdullah Al-Mas’ari, Thâ’at Ulil Amri Hudûduhâ wa Quyûduhâ, hlm. 8-9).
Padahal pemahaman yang sahih terhadap ayat tersebut bahawa Ulul amri yang dimaksud bukanlah sembarang penguasa, melainkan penguasa dalam sistem pemerintahan Islam (Khilafah), iaitu imam (khalifah) dan para wakilnya (al-imâm wa nuwâbuhu). (Muhammad bin Abdullah Al-Mas’ari, Thâ’at Ulul amri Hudûduhâ wa Quyûduhâ, hlm. 17).
Yang dimaksud para wakilnya, disebut juga para penguasa (al-hukkâm), iaitu para pemegang kekuasaan di bawah khalifah, seperti gabenor (wali), para amil (setaraf ketua daerah /datuk bandar), mu’ âwin tafwîdh (pembantu khalifah dalam bidang kekuasaan), dan lain-lain (Abdul Qadim Zallum, Nizhâm Al-Hukm fi Al-Islâm, hlm. 250).
Dan ketaatan kepada imam (khalifah) dan para wakilnya (al-imâm wa nuwâbuhu) tersebut juga terbatas pada perkara yang makruf (yang dibenarkan syariat Islam), tidak ada ketaatan pada segala perkara yang mungkar atau maksiat (Muhammad bin Abdullah Al-Mas’ari, Thâ’at Ulul amri Hudûduhâ wa Quyûduhâ, hlm. 17)
Ikhtilaf Ulama Seputar Makna Ulul amri
Para ulama dan mufasir berbeza pendapat mentafsirkan apa yang dimaksudkan Ulul amri dalam ayat tersebut, menjadi 5 (lima) pendapat, iaitu:
Pertama, Ulul amri adalah para pemimpin (al-umarâ`). Ini pendapat Abu Hurairah dan Ibnu Abbas ra.. Ini pendapat yang dirajihkan oleh Imam Thabari dan merupakan pendapat jumhur ulama salaf dan khalaf, sebagaimana penjelasan Imam Nawawi.
Kedua, Ulul amri adalah para ulama. Ini pendapat Jabir bin Abdillah ra., Al-Hasan Al-Bashri, An-Nakha’i, dll..
Ketiga, Ulul amri adalah para sahabat Nabi saw.. Ini pendapat Mujahid (ulama tabiin).
Keempat, Ulul amri adalah pemimpin dan ulama, demikian pendapat Imam Ibnu Katsir, Imam Ibnu ‘Arabi, Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah, Imam Syaukani, dan Syekh Abdurrahman bin As-Sa’di.
Kelima, Ulul amri adalah istilah yang lebih umum daripada pemimpin dan ulama (al-umarâ` wa al-’ulamâ`), iaitu setiap pemimpin dan tokoh yang diikuti, atau yang disebut dengan istilah ahlul halli wal ’aqdi (Muhammad bin Abdullah Al-Mas’ari, Thâ’at Ulul amri Hudûduhâ wa Quyûduhâ, hlm. 14-15).
Pendapat yang rajih (lebih kuat) menurut Imam Taqiyuddin an-Nabhani, Ulul amri dalam surah An-Nisa`: 59 adalah penguasa (al-hâkim) dalam sistem pemerintahan Islam (Khilafah), baik khalifah sebagai pemimpin tertingginya, mahupun pegawai-pegawai penguasa (al-hukkâm) di bawah Khalifah, seperti para gabenor (wali), Qadhi Qudhât (pemimpin para hakim), Qadhi Mazhâlim (hakim yang mengadili sengketa negara dengan rakyat), para mu’âwin tafwidh (pembantu khalifah dalam urusan kekuasaan), dan sebagainya (Abdul Qadim Zallum, Nizhâm Al-Hukm fi Al-Islâm, hlm. 247).
Pendapat Imam Taqiyuddin an-Nabhani ini sesungguhnya sejalan dengan pendapat jumhur ulama salaf dan khalaf yang mengartikan Ulul amri sebagai umara, iaitu para pemimpin (dalam sistem pemerintahan Islam).
Tiga Kriteria Ulul amri
Ulul amri yang wajib ditaati dalam surah An-Nisa`: 59 adalah penguasa (al-hâkim) dalam sistem pemerintahan Islam (Khilafah), baik khalifah sebagai pemimpin tertingginya, mahupun pegawai-pegawai penguasa lainnya (al-hukkâm) di bawah khalifah.
Terdapat 3 (tiga) kriteria (syarat) agar seseorang dapat disebut sebagai Ulul amri, iaitu:
Pertama, orang tersebut telah dibaiat oleh umat Islam dengan baiat yang sah secara syarie.
Kedua, orang tersebut memenuhi syarat-syarat baiat in’iqad sebagai khalifah.
Ketiga, orang tersebut menerapkan syariat Islam secara kaffah (menyeluruh) dalam segala bidang kehidupan (Syeikh Abu Nizar Asy-Syami, Fashlul Kalâm fi Masyrû’iyyat al-Hukkâm) (http://www.al-waie.org/archives/article/13778).
Penjelasan dalil-dalil untuk tiga syarat tersebut adalah :
Pertama, orang tersebut telah dibaiat oleh umat Islam dengan baiat yang sah secara syarie. Dalilnya adalah hadis-hadis yang menjelaskan tentang baiat, iaitu kontrak politik antara umat Islam dan imam (khalifah) yang berkonsekuensi adanya kewajipan taat dari rakyat kepada imam (khalifah) yang dibaiat itu, misalnya sabda Rasulullah saw.,
مَن بايَعَ إمامًا فأعطاهُ صَفقةَ يَدِهِ وثَمَرةَ قَلبِه، فليُطِعْه ما استَطاعَ، فإنْ جاءَ آخَرُ يُنازِعُه فاضرِبوا عُنُقَ الآخَرِ
“Barang siapa yang membaiat seorang imam (khalifah), lalu memberikan genggaman tangannya kepadanya, dan memberikan buah hatinya kepadanya, maka wajiblah dia mentaati imam itu sekuat kemampuan dia. Kemudian jika datang orang lain yang hendak merebut kekuasaan imam itu, maka penggallah orang tersebut.” (HR Muslim no. 1844).
Kedua, orang tersebut memenuhi syarat-syarat baiat in’iqad sebagai khalifah.
Perlu diketahui, baiat ada dua, (1), baiat in’iqad (atau disebut juga baiat khashash), iaitu baiat untuk mengangkat seseorang untuk menjadi Khalifah. (2), baiat taat (atau disebut juga baiat ‘aammah), iaitu baiat dari umat Islam secara umum sebagai janji setia untuk mentaati khalifah (imam) yang sudah dibaiat.
Syarat-syarat baiat in’iqad ada 7 (tujuh), iaitu:
(1) Muslim,
(2) Lelaki,
(3) Baligh (Dewasa),
(4) Akil (Berakal),
(5) Merdeka (Bukan hamba),
(6) Adil (Bukan fasik),
(7) Mampu (rincian dalil-dalil ketujuh syarat-syarat ini lihat Abdul Qadim Zallum, Nizhâmul Hukm fi Al-Islâm, hlm. 50-53; Ajhizah Daulat Al-Khilâfah, hlm. 22-27).
Ketiga, orang tersebut menerapkan syariat Islam secara kaffah (menyeluruh) dalam segala bidang kehidupan. Dalilnya adalah ayat-ayat yang memerintahkan para penguasa (al-hukkâm) untuk menerapkan syariat Islam secara menyeluruh (kaffah) dalam segala aspek kehidupan, bukan hanya syariat Islam dalam bidang ibadah (rukun Islam) saja, seperti solat, zakat, atau haji misalnya. Ayat yang mewajibkan menerapkan syariat Islam secara kaffah misalnya firman Allah Swt.,
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوا ادْخُلُوْا فِى السِّلْمِ كَاۤفَّةً ۖوَّلَا تَتَّبِعُوْا خُطُوٰتِ الشَّيْطٰنِۗ اِنَّهٗ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِيْنٌ
“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan (kaffah), dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan . Sungguh, ia musuh yang nyata bagimu.” (TMQ Al-Baqarah: 208).
Demikianlah tiga kriteria untuk penguasa yang disebut Ulul amri, iaitu : (1) telah dibaiat; (2) memenuhi tujuh syarat baiat in’iqad, dan (3) menerapkan syariat Islam secara kaffah dalam segala aspek kehidupan.
Mereka yang disebut Ulul amri itu hakikatnya adalah khalifah, sebagai pemimpin tertinggi dalam negara Khilafah, termasuk para wakil khalifah, yang disebut dengan istilah pegawai-pegawai penguasa (al-hukkâm) di bawah khalifah, seperti para gabenor (wali), Qadhi Qudhât (pemimpin para hakim), Qadhi Mazhâlim (hakim yang mengadili persengketaan negara dengan rakyat), para mu’âwin tafwidh (pembantu khalifah dalam urusan kekuasaan), dan sebagainya (Abdul Qadim Zallum, Nizhâm Al-Hukm fi Al-Islâm, hlm. 247).
Oleh sebab ini, para presiden dalam sistem republik, atau para raja dalam sistem kerajaan (monarki), sesungguhnya tidak termasuk Ulul amri yang wajib ditaati oleh umat Islam, kerana mereka tidak memenuhi satu atau lebih dari tiga kriteria Ulul amri yang telah kami sebutkan di atas. Wallahualam.