LUPA BAYAR ZAKAT FITRAH
Oleh: Ust M Shiddiq Al Jawi
Soalan :
Kalau lupa bayar zakat fitrah, hukumnya apa? Apakah boleh diganti?
Jawapan :
- Batas Waktu Akhir Zakat Fitrah
Sebelumnya perlu difahami dulu batas waktu akhir zakat fitrah, sehingga akan menjadi jelas bahawa orang yang lupa membayar zakat fitrah bermaksud, adalah lupa membayar sehingga melewati batas akhir (tempoh tamat) itu.
Batas waktu terakhir (nihayatu waqtin) mengeluarkan zakat fitrah menurut kami adalah solat Aidilfitri, bukan tenggelamnya matahari pada hari Aidilfitri. Barangsiapa mengeluarkan zakat fitrah sebelum solat Aidilfitri, zakatnya diterima. Sedangkan barangsiapa mengeluarkan zakat fitrah setelah solat Aidilfitri, maka itu hanya dianggap sedekah, tidak dianggap zakat fitrah. (Mahmud Abdul Lathif Uwaidhah, Al-Jami’ Li Ahkam Ash-Shiyam, hal. 319; Ibnu Hazm, Al-Muhalla, Juz 2, hal. 339, mas`alah no. 718).
Dalilnya adalah apa yang diriwayatkan dari Ibnu Abbas RA, bahawasanya:
فرض رسول الله صلى الله عليه وسلم زكاة الفطر طُهْرَةً للصائم من اللغو والرَّفَث وطُعْمةً للمساكين ، من أداها قبل الصلاة فهي زكاة مقبولة ، ومن أداها بعد الصلاة فهي صدقة من الصدقات
“Rasulullah SAW telah memfardhukan zakat fitrah sebagai pembersih bagi orang yang berpuasa dari perbuatan sia-sia dan perkataan kotor dan juga sebagai makanan untuk orang-orang miskin. Barangsiapa menunaikan zakat fitrah itu sebelum solat [Aidilfitri] maka itu zakat yang diterima. Dan barangsiapa menunaikan zakat fitrah itu setelah solat [Aidilfitri] maka itu satu sedekah dari sedekah-sedekah.” (HR Abu Dawud, no 1609; Ibnu Majah, Ad-Daruquthni, dan Al-Baihaqi. Juga diriwayatkan dan disahihkan oleh Al-Hakim (1/409), dan dipersetujui oleh Adz-Dzahabi). (Lihat Mahmud Abdul Lathif Uwaidhah, Al-Jami’ Li Ahkam Ash-Shiyam, hal. 317; Imam Ash-Shan’ani, Subulus Salam, 2/139).
Berdasarkan dalil di atas, jelaslah bahawa batas waktu pembayaran zakat fitrah adalah pelaksanaan solat Aidilfitri. Barangsiapa yang belum membayar zakat fitrah tanpa uzur hingga solat Aidilfitri, dia berdosa dan kewajipan zakat fitrah itu tidak gugur dari orang tersebut. Zakat fitrah itu menjadi hutang yang tetap wajib dibayar sesudah itu. Dengan kata lain, orang tersebut wajib meng-qadha’ zakat fitrahnya walau pun telah lewat dari waktu yang ditentukan.
Pendapat yang kami anggap kuat (rajih) dalam hal batas akhir zakat fitrah ini memang berbeza dengan pendapat jumhur (Malikiyah, Hanabilah, Syafi’iyah), iaitu batas akhir zakat fitrah adalah tenggelamnya matahari pada hari raya Aidilfitri. Jadi, menurut jumhur zakat fitrah tetap sah walaupun dibayar sesudah solat Aidilfitri hingga datangnya waktu Maghrib pada hari Aidilfitri atau pada tanggal 1 Syawal. Hanya saja, ulama Hanabilah dan Syafi’iyah memandang makruh mengeluarkan zakat fitrah sesudah solat Aidilfitri. (Wahbah Az-Zuhaili, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, 2/906-908; Abdurrahman Al-Jaziri, Al-Fiqh’ Ala Al-Madzahib Al-Arba’ah, 1/425; Muhammad bin Abdurrahman Ad-Dimasyqi, Rahmatul Ummah fi Ikhtilaf Al-A`immah, hal. 62).
Namun pendapat jumhur ini tidak dapat diterima, kerana dalilnya lemah. Dalil ulama jumhur adalah hadis riwayat Ibnu Umar bahawa Nabi SAW bersabda :
أغنوهم عن الطلب في هذا اليوم
Aghnuuhum ‘an ath-thalab fi haadza al-yaum
“Cukupilah mereka [orang-orang miskin] dari minta-minta pada hari ini [Aidilfitri].” (HR Ad Daruquthni, 2/153, Al-Baihaqi, 4/175). (Lihat Wahbah Az-Zuhaili, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, 2/908; Mahmud Abdul Lathif Uwaidhah, Al-Jami’ Li Ahkam Ash-Shiyam, hal. 317).
Menurut Syaikh Nashiruddin Al-Albani hadis tersebut lemah (dhaif), kerana dalam sanad hadis tersebut ada perawi yang lemah, iaitu perawi bernama Abu Ma’syar (dalam riwayat Ad-Daruquthni dan Al-Baihaqi) dan Muhammad bin Umar al-Waqidi (dalam riwayat Ibnu Sa’ad dalamThabaqah-nya). (Nashiruddin Al-Albani Mukhtashar Irwa` Al-Ghalil, 1/62, hadis no 844; Irwa’ Al-Ghalil, 3/332, hadis no 844). Al-Hafizh Ibnu Hajar Al-Asqalani telah menegaskan kedhaifan isnad hadis Ibnu Umar dalam riwayat Ad-Daruquthni, kerana ada perawi bernama Muhammad bin Umar Al-Waqidi. (Imam Ash-Shan’ani, Subulus Salam, 2/138). Dalam kitab Al-Majmu’ (6/126), Imam An-Nawawi juga telah menjelaskan kedhaifan hadis di atas dengan berkata :
(و(أما) حديث (اغنوهم عن الطلب في هذا اليوم) فرواه البيهقي باسناد ضعيف
“Adapun hadis “Cukupilah mereka [orang-orang miskin] dari minta-minta pada hari ini“, ia diriwayatkan oleh Al-Baihaqi dengan isnad dhaif.” (Imam An-Nawawi, Al-Majmu’ Syarah Al-Muhadzdzab, 6/126).
Dengan demikian, jelaslah bahawa hadis di atas adalah dhaif sehingga tidak layak menjadi hujjah (dasar hukum) bagi jumhur ulama bahawa batas akhir zakat fitrah adalah tenggelamnya matahari pada hari Aidilfitri. Yang benar, batas akhir zakat fitrah adalah solat Aidilfitri, bukan tenggelamnya matahari pada hari Aidilfitri.
Dari sini dapat diketahui, bahawa lupa membayar zakat fitrah ertinya adalah lupa membayar hingga terlangkaunya batas akhir zakat fitrah, iaitu solat Aidilfitri, bukan tenggelamnya matahari pada hari Aidilfitri atau datangnya waktu Maghrib pada hari Aidilfitri.
2. Wajib Meng-qadha’ Zakat Fitrah Bagi Orang Yang Lupa
Orang yang lupa melaksanakan zakat fitrah tidak berdosa, kerana lupa (an-nisyan) merupakan salah satu uzur syarie yang menggugurkan dosa. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW :
إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ
“Sesungguhnya Allah telah memaafkan dari umatku [dosa kerana] tersalah (tidak sengaja), lupa, dan apa-apa yang dipaksakan atas mereka.”(HR Ibnu Majah, no 2033; Ibnu Hibban, no 7342; Ath-Thabrani, dalam Al-Mu’jam Al-Kabir, no 1414).
Namun kewajipan zakat fitrah itu tidak gugur dari orang yang lupa membayarnya dan dia tetap wajib meng-qadha’ zakat fitrah itu. (Wahbah Az-Zuhaili, Al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, 2/908). Kewajipan meng-qadha’ zakat fitrah itu didasarkan pada kaedah fikih berikut sebagaimana dikemukakan Imam Ash-Shan’ani :
الجاهل والناسى حكمها في الترك حكم العامد
Al-Jaahilu wa an-naasi hukmuhaa fi at-tarki hukm al-‘aamid
“Orang yang tidak tahu hukum, atau orang yang lupa, hukumnya dalam meninggalkan [kewajipan] sama dengan orang yang sengaja.” (Lihat Imam Ash-Shan’ani, Subulus Salam, 1/55).
Kaedah di atas mengandung pengertian bahawa dalam hal meninggalkan suatu kewajipan (tarkul wajib), orang yang lupa atau tak tahu hukum, sama hukumnya dengan orang yang sengaja meninggalkan kewajipan itu. Sama hukumnya di sini maksudnya adalah sama dalam hal tidak gugurnya suatu kewajipan yang ditinggalkan. Jadi, suatu kewajipan tidaklah gugur, baik bagi orang yang lupa mengerjakannya, atau yang tidak tahu hukum, atau yang sengaja meninggalkannya.
Kerana itu, orang yang lupa berzakat fitrah, wajib meng-qadha’-nya, yakni kewajipannya tidak gugur dan tetap wajib membayarnya walaupun sudah lewat dari waktu yang ditentukan.
Contoh lainnya, orang yang lupa solat, wajib meng-qadha’-nya. Demikian pula orang yang lupa membayar hutang, atau lupa memberi nafkah kepada isteri-anak, atau lupa membayar gaji pegawainya, tetap diwajibkan membayar kewajipan-kewajipan itu. Demikian pula orang yang lupa membasuh kaki dalam wudhuk dan baru ingat setelah selesai solat, maka dia wajib mengulangi wudhuk dan solatnya. Perempuan yang lupa menutup rambutnya secara sempurna sehingga tak tertutup sempurna, dan baru tahu setelah selesai solat, wajib menutup rambutnya secara sempurna dan mengulangi solatnya. Demikian seterusnya.
Kaedah fikih yang semakna dengan kaedah di atas dikemukakan pula oleh Imam Izzuddin bin Abdis Salam sebagai berikut :
من نسي مأمورا به لم يسقط بنسيانه مع إمكان التدارك
Man nasiya ma`muuran bihi lam yasquth bi-nisyaanihi ma’a imkaan at-tadaaruk
“Barangsiapa lupa akan sesuatu yang diperintahkan, tidaklah gugur perintah itu kerana dia lupa jika masih memungkinkan untuk dapat dikerjakan secara susulan.” (Izzuddin bin Abdis Salam, Qawa’idul Ahkam fi Mashalih Al-Anam, 2/3, Beirut : Darul Kutub Al-Ilmiyah, 1999).
Imam Izzudin bin Abdis Salam menerangkan, bahawa sesuatu yang diperintahkan (kewajipan/kesunnahan) yang ditinggalkan kerana lupa itu ada dua macam: Pertama, yang tidak dapat disusul (laa yaqbal at-tadaaruk), seperti jihad, solat Jumaat, solat gerhana, solat rawatib, dan solat jenazah. Kewajipan atau kesunnahan jenis pertama ini, gugur dengan terlepasnya/melewati waktu. Kedua, yang dapat disusul (yaqbal at-tadaaruk), seperti solat, zakat, puasa, nazar, hutang, kafarah, dan nafkah kepada isteri. Kewajipan jenis kedua ini tidak gugur dengan berakhirnya waktu. (Izzuddin bin Abdis Salam, Qawa’idul Ahkam fi Mashalih Al-Anam, 2/3).
Berdasarkan kaedah fikih di atas, orang yang lupa membayar zakat fitrah tetap wajib membayar zakatnya walaupun sudah melewati batas akhir yang ditentukan.
Kesimpulan
Orang yang lupa membayar zakat fitrah, tidak berdosa namun wajib meng-qadha’ zakatnya itu. Dengan kata lain, kewajipan zakat fitrah itu tidak gugur darinya dan tetap wajib dibayarkan walaupun sudah melewati batas waktu akhir yang ditentukan (iaitu solat Aidilfitri). Wallahu a’lam.
Sumber: fissilmi kaffah