[Tarikh Khulafa] Pengelolaan Tanah Al-Qatha’i dan Tanah Mati pada Zaman Khalifah Harun ar-Rasyid
Penulis: Nabila Ummu Anas
Pada zaman Khalifah Harun ar-Rasyid terdapat kitab Al-Kharaj yang dikarang oleh hakim agung khalifah iaitu Abu Yusuf Ya’qub bin Ibrahim al-Ansari. Buku ini menjadi rujukan dasar ekonomi Khalifah Harun ar-Rasyid. Buku ini juga mengandungi cara-cara mengurus tanah al-Qatha’i dan tanah mati. Khalifah juga merujuk kepada buku dalam dasar pengurusan tanah.
Tanah Al-Qatha’i
Menurut Abu Yusuf, al-qatha’i adalah bentuk jamak dari kata qati’ah, iaitu tanah yang diberikan oleh ketua negara kepada pegawai atau penduduk yang berpotensi memakmurkan tanah tersebut. Pengurusan tanah al-qatha’i pada zaman Khalifah Harun ar-Rasyid dilaksanakan oleh Khalifah Umar bin Khattab.
Dalam Al-Kharaj, Abu Yusuf berkata, “Pada awalnya setelah khalifah Umar bin Khattab menakluk Iraq, dia memilih tanah dari Kisra dan Al-Murazabah atau Satrapen beserta ahli keluarganya. Tanah itu bukan milik sesiapa atau milik seseorang yang terkorban di medan perang atau dikategorikan sebagai tanah milik orang musyrik atau kafir yang menentang orang Islam. Keluasan tanah yang dipilih ialah 4 juta jarib. Khalifah Umar bin Khattab memberikan tanah-tanah ini kepada orang-orang tertentu sepertimana yang telah ditentukan.
Menurut Abu Yusuf, seorang ketua negara yang adil hendaklah memberikan tanah kepada orang yang berpotensi untuk memakmurkan dan meletakkannya mengikut peruntukannya. Khalifah tidak berhak mengambil milik orang itu sedikit pun, melainkan hak orang itu ditarik balik dan kemudian diberikan kepada orang lain.
Ketua negara memberikan tanah tersebut kerana dikategorikan oleh Abu Yusuf sebagai tanah di bawah pengurusan baitulmal. Khalifah akan memberikan tanah kepada orang yang menyumbang kepada Islam dan mengukuhkan pertahanan negara daripada serangan musuh agar tanah ini bermanfaat kepada umat Islam dan membawa kebaikan.
Tanah Mati (Mawat al-Ardh)
Abu Yusuf menjelaskan, jika sesuatu kawasan itu ditakluki dengan cara peperangan atau perdamaian, sedangkan di beberapa kawasan terdapat banyak tanah kosong tanpa tumbuhan atau bangunan milik sesiapa pun dan tidak digabungkan pada satu kampung atau kawasan tertentu, maka ia disebut, mawat al-ardh (tanah mati). Sesiapa yang menghidupkannya, maka tanah itu menjadi miliknya. Khalifah juga boleh memberikan tanah mati kepada penduduk untuk diusahakan.
Jika tanah mati adalah tanah usyriyyah, maka wajib dibayar dengan jumlah satu persepuluh hasil. Jika tanah kharaj, maka hendaklah dibayar kharajnya. Sekiranya dia menggali perigi atau mengalirkan parit untuk tanah itu, maka ia termasuk dalam tanah.
Imam Muslim meriwayatkan dari Jabir RA, yang mengatakan bahawa Nabi SAW pernah bersabda, “Bagi mana-mana tanaman yang diairi dengan air sungai dan air hujan, satu persepuluh (tanaman) diambil. Untuk apa-apa yang diairi oleh kincir air, satu perdua puluh (daripada tanaman) diambil.” [HR Muslim].
Abu Yusuf berkata, “Apabila suatu kaum di suatu kawasan peperangan mengalami kepupusan sehingga tanah mereka kosong tanpa diketahui pemiliknya dan tidak ada yang menuntutnya lalu diambil oleh seseorang lalu dimakmurkan atau dihidupkan kembali dan dibayar sepersepuluh dari hasil tanaman mereka atau membayar cukai mereka (kharaj), maka tanah itu menjadi miliknya. Ketua negara tidak mempunyai hak untuk mengeluarkannya daripada pemiliknya.”
Dari Imam Bukhari dari Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, “Sesiapa yang telah menguruskan sebidang tanah, yang bukan hak orang lain, maka dia lebih berhak ke atas tanah itu.” [Riwayat Bukhari].
Dari Umar RA dari Rasulullah SAW yang juga pernah berkata, “Sesiapa yang menghidupkan sebidang tanah yang mati, maka tanah itu adalah miliknya.“ [Riwayat Bukhari].
Dasar pengurusan kedua-dua tanah ini sangat membantu kehidupan rakyat. Mereka hanya perlu mempersiapkan diri untuk mengusahakan tanah al-Qatha’i dan tanah mati supaya dapat memberi pendapatan kepada rakyat. Keperluan asas masyarakat juga akan dipenuhi dengan hasil tanah pertanian mereka.
Jika terdapat lebihan hasil pengurusan kedua-dua tanah tersebut, maka di atas tanah usyriyyah mereka wajib membayar usyur dan di atas tanah kharajiyyah ada kewajipan membayar kharaj. Usyur dan kharaj menjadi pendapatan baitulmal yang akan dikeluarkan kepada mustahik zakat jika dari usyur, manakala kharaj akan diagihkan kepada orang ramai mengikut pandangan khalifah untuk kepentingan Islam dan umat Islam.
Sumber : Syeikh Muhammad al-Khudari. Bangkit dan Runtuhnya Khilafah Bani Abbasiyah, Puncak Keemasan dan Kejayaan Kekhilafahan Islam. Pustaka Al-Kautsar