[SOAL JAWAB]
Bilakah Allah SWT. Menghancurkan Kezaliman?
Oleh: K.H. Hafidz Abdurrahman
Soalan:
Di saat kezaliman berleluasa di kalangan umat. Ketika aktivis dan ulama ditangkap serta organisasi mereka difitnah dan dijadikan jenayah, banyak persoalan, bilakah kezaliman ini akan dihancurkan oleh Allah?
Jawapan:
Sejarah umat manusia tidak terlepas dari kezaliman yang dilakukan oleh manusia. Allah mencatat peristiwa itu dalam Al-Quran,
أَلَمۡ تَرَ كَيۡفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ ٦ إِرَمَ ذَاتِ ٱلۡعِمَادِ ٧ ٱلَّتِي لَمۡ يُخۡلَقۡ مِثۡلُهَا فِي ٱلۡبِلَٰدِ ٨ وَثَمُودَ ٱلَّذِينَ جَابُواْ ٱلصَّخۡرَ بِٱلۡوَادِ ٩ وَفِرۡعَوۡنَ ذِي ٱلۡأَوۡتَادِ ١٠ ٱلَّذِينَ طَغَوۡاْ فِي ٱلۡبِلَٰدِ ١١ فَأَكۡثَرُواْ فِيهَا ٱلۡفَسَادَ ١٢ فَصَبَّ عَلَيۡهِمۡ رَبُّكَ سَوۡطَ عَذَابٍ ١٣ إِنَّ رَبَّكَ لَبِٱلۡمِرۡصَادِ ١٤
“Apakah kamu tidak memerhatikan bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap kaum ‘Ad? (Iaitu) penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi, yang belum pernah dibina (suatu kota) seperti itu, di negeri-negeri lain; kaum Tsamud yang memotong batu-batu besar di lembah; juga kaum Firaun yang menguasai bangunan-bangunan yang handal kukuh(tentera yang banyak), yang melakukan sewenang-wenang dalam negeri, lalu mereka melakukan banyak kerosakan dalam negeri. Kerana itu, Tuhanmu menimpakan kepada mereka paluan azab. Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mengawasi.” [TMQ Al-Fajr (89): 6—14]
Catatan peristiwa ini adalah untuk memberi gambaran kepada kita bahawa semua kezaliman yang mereka lakukan akan berakhir. Semuanya dilihat oleh Allah. Allah juga tidak pernah lupa. Semua dicatat dan dibalas. Ada yang dibalas segera. Ada yang ditangguhkan. Allah SWT. berfirman,
وَسَيَعۡلَمُ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوٓاْ أَيَّ مُنقَلَبٖ يَنقَلِبُونَ
“Orang-orang yang zalim itu kelak akan mengetahui ke mana tempat mereka akan kembali.” [TMQ Asy-Syu’ara’ (26): 227].
Cuma, ramai yang beranggapan bahawa hukuman Allah kepada orang yang zalim mestilah cepat dan langsung sebaik sahaja mereka melakukan kezaliman. Sebenarnya tidak demikian. Ini jelas keliru. Sebaliknya, Allah membiarkan orang-orang yang zalim itu melakukan amalan kezaliman mereka.
Pertama. Fasa pengabaian dan penangguhan. Allah SWT. membiarkan dan menangguhkan kezaliman mereka, untuk memberi mereka peluang untuk bertaubat dan kembali ke jalan yang benar.
وَأُمۡلِي لَهُمۡۚ إِنَّ كَيۡدِي مَتِينٌ ١٨٣
“Aku akan memberikan tempoh waktu kepada mereka. Sesungguhnya rencana-Ku amat teguh dan terancang, kuat, dan tidak ada yang dapat menandinginya.” [TMQ Al-A’raf (7): 183]
Kedua. Istidraj. Istidraj daripada kata daraja. Ertinya, naik sedikit demi sedikit, dari bawah ke atas. Sebaliknya daraka, iaitu turun dari atas ke bawah. Istidraj maksudnya ditarik ke atas, dengan diberi nikmat, kemudahan dan pelbagai kemewahan. Namun, semuanya itu melalaikan mereka sehingga bukannya mensyukuri Zat yang memberi nikmat malah sebaliknya.
Allah SWT. berfirman,
فَلَمَّا نَسُواْ مَا ذُكِّرُواْ بِهِۦ فَتَحۡنَا عَلَيۡهِمۡ أَبۡوَٰبَ كُلِّ شَيۡءٍ حَتَّىٰٓ إِذَا فَرِحُواْ بِمَآ أُوتُوٓاْ أَخَذۡنَٰهُم بَغۡتَةٗ فَإِذَا هُم مُّبۡلِسُونَ ٤٤
“Tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka sehingga jika mereka bergembira dengan apa Yang telah diberikan kepada mereka, Kami menyeksa mereka dengan secara mengejut. Ketika itu mereka terdiam berputus asa.” [TMQ Al-An’am (6): 44]
Oleh itu, Allah SWT. berfirman,
سَنَسۡتَدۡرِجُهُم مِّنۡ حَيۡثُ لَا يَعۡلَمُونَ
“Kami akan biarkan mereka beransur-ansur (ke arah kebinasaan) dengan cara yang tidak mereka ketahui.” [TMQ Al-A’raf (7): 182]
Maksudnya, dunia ini bukan menjadi tempat yang sempit bagi orang yang zalim. Namun, dunia dibukakan untuknya, kedudukan diangkat, segala kenikmatan dunia dilapangkan, diberi kejayaan dan kemenangan. Allah memberikan apa sahaja yang dia inginkan.
Ketiga. Tazyin, diperindahkan perbuatan buruk mereka. Mereka tidak merasakan bahawa perbuatan zalim dan jahat mereka adalah perbuatan buruk. Sebaliknya, mereka merasakan bahawa perbuatan zalim dan jahat mereka semuanya adalah baik. Malah, mereka menuduh perbuatan baik sebagai perbuatan jahat.
Allah SWT. berfirman,
وَزَيَّنَ لَهُمُ ٱلشَّيۡطَٰنُ أَعۡمَٰلَهُمۡ ٣٨
“Syaitan telah menjadikan mereka terasa indah bagi perbuatan (buruk) mereka.” [TMQ Al-’Ankabut (29): 38].
Dalam fasa ini, hati orang yang zalim itu benar-benar telah mati. Dia melihat segala perbuatannya baik, malah dia melihat perkara yang dipandangnya wajib dilakukan. Kehidupan di hatinya tidak kembali lagi. Kehidupan (hati) yang boleh mencela kejahatan yang dia lakukan, semuanya telah mati. Dia menikmati kezaliman dan kejahatan yang dia lakukan. Tanpa rasa bimbang dan bermasalah.
Keempat. Akhdz, seksa dan azab. Setelah ketiga-tiga fasa di atas, tetap tidak sedar, maka Allah akan mengazab mereka. Sebagaimana firman Allah SWT.,
وَكَذَٰلِكَ أَخۡذُ رَبِّكَ إِذَآ أَخَذَ ٱلۡقُرَىٰ وَهِيَ ظَٰلِمَةٌۚ إِنَّ أَخۡذَهُۥٓ أَلِيمٞ شَدِيدٌ
“Demikianlah azab Tuhanmu apabila Dia menyeksa (penduduk) negeri-negeri yang berbuat zalim. Sesungguhnya, azab-Nya sangat pedih, sangat berat.” [TMQ Hud (11): 102]
Pada tahap ini, azab Allah SWT. turun secara beransur-ansur kepada orang yang zalim dan azabnya amat pedih. Bagi Allah SWT. sangat mudah untuk membinasakan mereka.
Oleh itu, Allah SWT. mengingatkan,
فَلَا تَعۡجَلۡ عَلَيۡهِمۡۖ إِنَّمَا نَعُدُّ لَهُمۡ عَدّٗا ٨٤
“Janganlah engkau (Muhammad) tergesa-gesa (memintakan azab) atas mereka kerana Kami menghitung dengan hitungan teliti (datangnya hari seksaan) untuk mereka.” [TMQ Maryam (19): 84]
Imam Al-Qurthubi memberi penjelasan tentang azab yang diberikan oleh Allah SWT. kepada orang yang zalim,
وَكَذَٰلِكَ نُوَلِّي بَعۡضَ ٱلظَّٰلِمِينَ بَعۡضَۢا بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ
“Demikianlah Kami menjadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menjadi teman bagi sebahagian yang lain disebabkan apa yang mereka usahakan.” [TMQ Al-An’am (6): 129]
Maksud “Nuwalli” di sini adalah “Kami menimpakan kepada mereka yang zalim itu orang zalim yang lain sehingga ia membinasakan dan menghinakannya.”
Ini merupakan ancaman bagi orang yang zalim. Jika dia tidak menghentikan kezalimannya, Allah akan menimpakan kepada mereka orang zalim yang lain. Berkuasa dan memerintah mereka. Termasuk di dalam ayat ini adalah semua orang yang mezalimi diri dan keluarganya. Kezaliman itu sama dengan mengundang murka Allah, atau mezalimi rakyat, atau peniaga menzalimi orang dengan perniagaannya, atau majikan menzalimi buruh yang bekerja untuknya.
Itulah maksud “Nuwalli”, iaitu “Kami timpakan kepada orang-orang yang zalim itu sesama orang yang zalim.” Jadi, ini juga sebahagian daripada azab Allah SWT.. Wallahualam.
Sumber:
https://muslimahnews.net/2023/01/21/16896/
#SoalJawab #Orangzalim #HukumanAllah