WANITA MUSLIMAH TIDAK MAHU DIJODOHKAN OLEH AYAHNYA, BAGAIMANAKAH HUKUMNYA?
Oleh: KH. M. Shiddiq Al-Jawi
Soalan:
Ustaz, terdapat seorang anak gadis yang mahu dijodohkan oleh bapanya. Tetapi anak gadis ini tidak mahu dengan lelaki pilihan bapanya itu. Mohon penjelasan hukum dalam masalah ini menurut syariat Islam.
Jawapan:
Terdapat khilafiyah (perbezaan pendapat) dalam masalah ini, iaitu bolehkah seorang ayah menikahkan anak gadisnya yang sudah dewasa (baligh) tanpa keizinan anak gadisnya. Terdapat dua pendapat ulama:
Pertama, pendapat yang membolehkan seorang ayah untuk menikahkan anak gadisnya yang sudah dewasa (baligh) meskipun tanpa keizinan anak gadisnya. Ini merupakan pendapat ulama Malikiyyah, Syafi’iyyah, dan Hanabilah. [Imam Malik, Al-Mudawwanah Al-Kubra, 2/100; Imam Syafi’i, Al-Umm, 5/19; Imam Ibnu Qudamah, Al-Mughni, 9/399].
Dalilnya adalah sabda Nabi SAW:
الْأَيِّمُ أَحَقُّ بِنَفْسِهَا مِنْ وَلِيِّهَا، وَالْبِكْرُ تُسْتَأْمَرُ، وَإِذْنُهَا سُكُوْتُهَا
“Seorang janda lebih berhak atas dirinya daripada walinya. Seorang gadis diminta izin atas dirinya dan izinnya adalah diamnya” [HR. Muslim, no. 1421].
Wajhul istidlal (aspek pendalilan hukum) daripada hadis ini, apabila Nabi SAW bersabda bahawa seorang perempuan janda lebih berhak ke atas dirinya daripada walinya, maka mafhum mukhalafah (pengertian sebaliknya) daripada hadis ini bermaksud bagi anak gadis, yang lebih berhak ke atas dirinya adalah bapanya, bukan anak gadis itu sendiri. Adapun isti’mar (permintaan izin oleh wali kepada anak gadisnya untuk menikahkan) hanya difahami sebagai satu sunnah, bukan kewajipan. [Imam Ibnu Qudamah, Al-Mughni, 9/399-400].
Kedua, pendapat yang tidak membolehkan seorang ayah untuk menikahkan anak gadisnya yang sudah dewasa (baligh), kecuali dengan keizinan anak gadisnya itu. Ini merupakan pendapat ulama Hanafiyah. [Imam Al-Sarakhsi, Al-Mabsuth, 5/2; Imam Al-Kasani, Bada’i’ Al-Shana’i’ fi Tartib Al-Syara’i’, 2/241].
Dalilnya antara lain adalah hadis daripada Ibnu Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
وَالْبِكْرُ يَسْتَأْذِنُهَا أَبُوْهَا
“…manakala seorang gadis diminta izin atas dirinya (untuk berkahwin) oleh bapanya.” [HR. Muslim, no. 1421].
Dalil yang lain, hadis daripada Ibnu Abbas RA seperti berikut:
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ رضي الله عنهما، أَنَّ جَارِيَةً بِكْرًا أَتَتِ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم فَذَكَرَتْ أَنَّ أَبَاهَا زَوَّجَهَا وَهِيَ كَارِهَةٌ فَخَيَّرَهَا النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم
“Daripada Ibnu Abbas RA bahawa ada seorang anak gadis datang kepada Nabi SAW. Lalu perempuan itu menyebutkan bahawa bapanya telah menikahkannya (dengan seorang lelaki) sedangkan perempuan itu membenci (lelaki tersebut). Maka Nabi SAW lalu memberikan pilihan kepada perempuan itu (sama ada untuk meneruskan atau membatalkan perkahwinan).”[HR. Abu Dawud, no. 2096; Ibnu Majah, no. 1875; Ahmad, Al-Musnad, 1/273].
Pendapat yang rajih (lebih kuat) menurut Imam Taqiyuddin An-Nabhani, adalah pendapat kedua yang tidak membolehkan wali menikahkan anak gadisnya kecuali dengan keizinannya. Imam Taqiyuddin An-Nabhani berkata:
وَلَيْسَ لِأَحَدٍ مِنْ أَوْلِيَائِهَا وَلَا مِنْ غَيْرِهِمْ تَزْوِيْجُهَا بِغَيْرِ إِذْنِهَا
“Tidak berhak bagi salah seorang wali daripada wali-wali seorang perempuan gadis (dewasa), begitu juga pihak-pihak yang lain, untuk menikahkan anak gadis itu tanpa keizinan daripadanya.” [Taqiyuddin An-Nabhani, Al-Nizham Al-Ijtima’i fi Al-Islam, hlm. 120].
Dalilnya adalah hadis daripada Ibnu Abbas RA di atas, dan juga hadis-hadis lain, seperti hadis daripada Khansa’ binti Khadam Al-Anshariyyah RA seperti berikut:
عَنْ خَنْسَاءَ بِنْتِ خَدَّامٍ الْأَنْصَارِيَّةُِ أَنَّ أَبَاهَا زَوَّجَهَا وَهِيَ ثَيِّبٌ فَكَرِهَتْ ذَلِكَ فَأَتَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَدَّ نِكَاحَهُ
“Daripada Khansa’ binti Khadam Al-Anshariyyah RA bahawa, “Bapanya telah menikahkannya sedangkan dia adalah seorang janda dan dia membenci perkara ini. Lalu dia mendatangi Nabi SAW dan baginda membatalkan pernikahan tersebut.” [HR. Al-Bukhari, no. 5138].
Adapun dalil ulama yang membolehkan wali menikahkan tanpa keizinan anak gadisnya, tidak dapat diterima. Hal ini kerana mafhum mukhalafah yang dijadikan dalil tidak dapat diamalkan, kerana ia bertentangan dengan mantuq (makna tersurat/terucap) daripada nas hadis yang secara jelas tidak membolehkan wali menikahkan anak gadisnya kecuali dengan keizinan anak gadisnya [HR. Muslim, no. 1421]. Kaedah usuliah menetapkan:
لَا يُعْمَلُ بِمَفْهُوْمِ الْمُخَالَفَةِ إِذَا وَرَدَ نَصٌّ فِي الْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ يُعَطِّلُهُ
“Tidak dapat diamalkan mafhum mukhalafah jika terdapat suatu nas dalam Al-Quran atau Al-Sunnah yang membatalkannya.” [Taqiyuddin An-Nabhani, Al-Syakhshiyyah Al-Islamiyyah, 3/202].
Wallahu a’lam.
#FikihNikah #Nikah #Kahwin #Perwalian