HUKUM SOLAT GHAIB
Oleh: KH. M. Shiddiq Al-Jawi
Soalan:
Assalamu’alaikum wbt Ustaz. Ibu kepada isteri saya telah meninggal dunia dan sudah dikebumikan pada hari Khamis minggu lepas di Bengkulu. Saya mahu bertanya kepada Ustaz, bolehkah jika sahabat kepada isteri saya yang berada di Jogja mengadakan solat ghaib buat arwah ibu mertua saya? Sekiranya tidak boleh, adakah syariat ibadah lainnya, atau cukup dengan mendoakan sahaja? Syukran, jazakallahu khayran kasiran Ustaz. (Hamba Allah).
Jawapan:
Wa’alaikumussalam wbt.
Boleh hukumnya sahabat isteri anda mengadakan solat ghaib di Jogja, Indonesia untuk arwah ibu mertua anda yang telah meninggal dunia di Bengkulu. Inilah hukum syarak yang paling kuat (rajih) dalam masalah ini, iaitu pendapat ulama Hanabilah dan ulama Syafi’iyyah.
Dalilnya adalah hadis sahih sebagai berikut:
عن أبي هريرة رضي الله عنه: “أنَّ رسولَ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ علَيهِ وسلَّمَ نعَى للنَّاسِ النَّجاشيَّ في اليومِ الَّذي ماتَ فيهِ وخرجَ بِهِم إلى المصلَّى فَصفَّ بِهِم وَكَبَّرَ أربعَ تَكْبيراتٍ” متفقٌ عليه
Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata,”Bahawa Rasulullah SAW telah menyampaikan berita duka meninggalnya Najasyi kepada orang-orang pada hari kematiannya. Lalu Rasulullah SAW bersama orang-orang keluar ke musolla (tempat lapang untuk solat), lalu Rasulullah SAW mengatur saf mereka, dan melaksanakan solat ghaib dengan empat kali takbir.” (HR Al-Bukhari 1333; Muslim 951; Abu Dawud 3204).
Imam Nawawi dalam kitabnya Syarah Sahih Muslim menjelaskan hadis di atas dengan berkata:
فيه -أي حديث النجاشي السابق- دليلٌ للشافعي ومُوَافِقِيهِ في الصلاة على الميت الغائب] اهـ.
“Dalam hadis ini — iaitu hadis Najasyi sebelumnya– terdapat dalil bagi Imam Al-Syafie dan ulama-ulama yang sependapat dengan beliau, mengenai bolehnya melakukan solat ghaib.” (Imam Nawawi, Syarah Sahih Muslim, 7/21).
Dalam kitabnya Al-Muhadzdzab, Imam Nawawi (ulama mazhab Syafie) menegaskan:
مذهبنا جواز الصلاة على الغائب عن البلد ، ومنعها أبو حنيفة . دليلنا حديث النجاشي وهو صحيح لا مطعن فيه وليس لهم عنه جواب
صحيح
“Mazhab kami (mazhab Syafie) membolehkan solat untuk orang yang ghaib (tidak di tempat) yang tidak berada di negeri (kita), sementara Imam Abu Hanifah melarangnya. Dalil kami (ulama mazhab Syafie) adalah hadis tentang Najasyi, hadisnya sahih tidak ada cacatnya, sedang mereka (yang melarangnya) tidak mempunyai jawapan yang sahih.” (Imam Nawawi, Al-Majmu’ Syarah Al-Muhadzdzab, 5/211).
Imam Ibnu Qudamah (ulama mazhab Hanbali) mengatakan:
وتجوز الصلاة على الغائب في بلدٍ آخر بالنية؛ فيستقبل القبلة، ويُصَلِّي عليه كصلاته على حاضر، وسواء كان الميت في جهة القبلة أو لم يكن، وسواء كان بين البلدين مسافة القصر أو لم يكن، وبهذا قال الشافعي
“Boleh melakukan solat ghaib untuk mayit yang ada di negeri lain disertai dengan niat. Maka orang yang melakukannya (harus) menghadap kiblat, dan menyembahyangkan mayit ghaib itu caranya sama sebagaimana solat untuk mayit yang hadir (ada di tempat), baik mayit itu berada di arah kiblat mahupun tidak, dan baik jarak di antara dua negeri itu sudah memenuhi jarak qasar mahupun tidak. Ini pula pendapat daripada Imam Al-Syafie.” (Ibnu Qudamah, Al-Mughni, 2/382).
Memang ada sebahagian ulama yang tidak memperbolehkan solat ghaib, iaitu ulama Malikiyah dan Hanafiyah, dengan alasan bahawa solat ghaib itu adalah khususiyat (hukum khusus) untuk Nabi SAW saja, bukan yang lain. Jadi bagi umat Islam tidak boleh melaksanakan solat ghaib. Imam Al-Khurosyi (ulama mazhab Maliki), misalnya, berkata:
وصلاته عليه الصلاة والسلام على النجاشي من خصوصياته
“Solat yang dilakukan Nabi SAW untuk Najasyi adalah termasuk khususiyat Nabi SAW.” (Imam Al-Khurosyi, Hasyiyah Al-Khurosyi, 2/384).
Namun pendapat yang rajih (lebih kuat) adalah pendapat ulama yang mengatakan solat ghaib bukanlah khususiyat Nabi SAW. Oleh sebab itu siapapun Muslim diperbolehkan secara syariah untuk melakukan solat ghaib, bukan hanya diperbolehkan bagi Nabi Muhammad SAW semata.
Imam Al-Lakhmi, walaupun bermazhab Maliki, justeru menguatkan pendapat bolehnya solat ghaib. Beliau menyatakan:
القول بجواز الصلاة على الغائب أحسن؛ للحديث في النجاشي، ولو كان ممنوعًا لم يفعله النبي صلى الله عليه وآله وسلم، ولو كان جائزًا له خاصةً لأبانه لأمته
“Pendapat yang membolehkan solat ghaib merupakan pendapat yang lebih baik (rajih), berdasarkan hadis Najasyi. Jika solat ghaib itu dilarang, pasti Nabi SAW tidak akan melakukannya dan jika solat ghaib itu hanya khusus dibolehkan bagi Nabi SAW saja, pasti baginda akan menjelaskannya kepada umatnya.” (Imam Al-Lakhmi, At-Tabshirah, 2/674)
Kesimpulannya, boleh hukumnya sahabat-sahabat isteri anda melakukan solat ghaib di Jogja, Indonesia untuk ibu mertua anda yang telah meninggal dunia di Bengkulu. Inilah hukum syarak yang kami rajihkan.
Wallahu a’lam.
Rujukan:
#soaljawab #solatghaib #solatjenazah