[Soal Jawab] Siapa yang Berhak Mengurus Palestin?
Oleh: KH. Hafidz Abdurrahman
Soalan:
Siapa yang berhak mengurus dan mengelola tanah Palestin? Bolehkah pengurusan dan pengelolaan tanah Palestin diserahkan kepada orang kafir, seperti Tony Blair, mahupun yang lain?
Jawapan:
Pertanyaan ini dicetuskan oleh inisiatif Trump. Beliau memasukkan Tony Blair sebagai pemerintah sementara yang diberi kuasa untuk mengurus dan mengelola Gaza, pasca Perang Israel – Hamas. Oleh itu, untuk menjawab pertanyaan di atas, faktanya mesti dikembalikan kepada fakta yang ada, bukan fakta hipotetik (andaian).
Harus difahami, tanah Palestin termasuk Gaza, juga seluruh wilayah Syam—yang meliputi Palestin, Jordan, Syria dan Lubnan—adalah Tanah Kharajiyyah. Tanah Kharajiyyah adalah tanah yang dibebaskan oleh kaum Muslim melalui peperangan. Status tanah Kharajiyyah ini telah disepakati oleh para Sahabat pada zaman Kekhilafahan Umar bin al-Khattab RA. Sejak saat itu, tanah-tanah tersebut tidak dibahagikan kepada Mujahidin yang ikut berperang, tetapi ditetapkan sebagai milik kaum Muslim. Penduduk asalnya dibiarkan menetap di situ, namun mereka mesti membayar Kharaj setiap tahun bagi tanah produktif yang mereka kelola.
Status tanah Kharajiyyah itu ada dua:
Pertama, tanah yang ditetapkan melalui perjanjian damai, dengan klausa seperti berikut:
- Tanah tersebut ditetapkan melalui perjanjian damai. Tanah tersebut tetap menjadi milik penduduk asal, sementara kaum Muslim berhak atas Kharaj-nya. Status tanah tersebut tetap menjadi milik mereka.
- Tanah tersebut ditetapkan melalui perjanjian damai. Tanah tersebut menjadi milik kaum Muslim, sementara penduduk asalnya tetap dibenarkan untuk menetap di sana dengan syarat membayar Kharaj.
Kedua, tanah yang ditinggalkan oleh penduduknya tanpa peperangan, kerana takut terhadap pasukan kaum Muslim. Ini juga merupakan Tanah Kharajiyyah. Menurut Jumhur Mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali, statusnya adalah seperti wakaf untuk seluruh kaum Muslim, sebaik sahaja ia dikuasai oleh kaum Muslim. Alasannya adalah kerana status tanah tersebut merupakan Fai’, bukan Ghanimah. Meskipun dalam riwayat lain, mazhab Hanbali menyatakan bahawa tanah tersebut berstatus Kharaj Unwah, kerana ditakluki dengan paksa, sehingga tidak boleh dinyatakan sebagai wakaf bagi kaum Muslim, kecuali jika Khalifah mewakafkan tanah tersebut untuk kaum Muslim.
Palestin, termasuk Gaza, dan Syam secara umum, adalah tanah yang berstatus Tanah Kharajiyyah, bukan Tanah Usyriyyah. Ini bermakna, tanah tersebut adalah tanah milik seluruh kaum Muslim.
Dalam Mawsu’ah Fiqhiyyah disebutkan bahawa pelantikan petugas Kharaj, yang bertugas mengambil Kharaj, merupakan hak Imam (Khalifah) atau penggantinya. Oleh itu, melalui pelantikan ini, petugas Kharaj ini merupakan wakil daripada Imam (Khalifah) dalam memungut dan menunaikan Kharaj. Autoritinya untuk memungut dan menunaikannya juga ditentukan oleh Imam (Khalifah). Selain itu, dia tidak boleh membahagikan harta yang dikumpulkannya kepada sesiapapun tanpa keizinan Imam (Khalifah). Status petugas Kharaj ini, memandangkan tugasnya hanya memungut Kharaj, adalah seperti Wali az-Zakat. Dia hanya ditugaskan untuk mengumpulkan harta. Berbeza dengan Wali as-Shalat, yang diberikan tugas untuk menguruskan pemerintahan.
Seterusnya, petugas Kharaj tersebut disyaratkan harus/mestilah:
- Muslim: Kerana ini merupakan wilayah syar’iyyah (urusan pengurusan syariah). Para ulama sepakat bahawa urusan ini mestilah dipegang oleh kaum Muslim. Dasarnya ialah firman Allah:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ بِطَانَةٗ مِّن دُونِكُمۡ لَا يَأۡلُونَكُمۡ خَبَالٗا وَدُّواْ مَا عَنِتُّمۡ قَدۡ بَدَتِ ٱلۡبَغۡضَآءُ مِنۡ أَفۡوَٰهِهِمۡ وَمَا تُخۡفِي صُدُورُهُمۡ أَكۡبَرُۚ قَدۡ بَيَّنَّا لَكُمُ ٱلۡأٓيَٰتِۖ إِن كُنتُمۡ تَعۡقِلُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang di luar kalangan kamu menjadi teman kepercayaan. Mereka tidak henti-henti berusaha mendatangkan mudarat kepada kamu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka, manakala apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami terangkan kepada kamu ayat-ayat (Kami) jika kamu memahaminya.” [TQM Ali Imran (3): 118].
Imam Ahmad ketika ditanya, bolehkah menggunakan orang Yahudi atau Nasrani dalam menguruskan urusan kaum Muslim, seperti Kharaj ini? Beliau menjawab, “Jangan meminta bantuan kepada mereka sedikit pun (dalam urusan tersebut).” Al-Qurtubi, daripada mazhab Maliki, menyatakan bahawa melalui ayat ini [TQM Ali Imran (3): 118], Allah SWT telah melarang orang Mukmin mengambil orang Yahudi, Nasrani dan pengikut hawa nafsu untuk mencampuri urusan mereka, atau bertukar fikiran, serta menyerahkan urusan mereka kepada golongan tersebut. Alkiya al-Harasi menyatakan bahawa ayat ini mengharamkan tindakan meminta bantuan kepada Ahli Dzimmah dalam urusan kaum Muslim.
- Merdeka: Sebagaimana syarat wali secara umum, orang yang menguruskan Kharaj ini juga mestilah seorang yang merdeka.
- Amanah: Dalam hal ini, Allah SWT berfirman:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَخُونُواْ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ وَتَخُونُوٓاْ أَمَٰنَٰتِكُمۡ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan RasulNya dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepada kamu, sedang kamu mengetahui.” [TQM al-Anfal (8): 27].
Abu Yusuf (mazhab Hanafi) memberi nasihat kepada Khalifah Harun ar-Rasyid, “Saya berpendapat, anda harus mengambil orang yang baik, beragama kuat dan amanah. Jadikanlah mereka sebagai pengurus Kharaj.”
- Mampu: Mempunyai kemampuan, sama ada dalam aspek pengiraan, cara mengetahui produktiviti tanah, dan sebagainya. Oleh sebab itu, Umar bin al-Khattab memilih Uthman bin Hanif untuk menjadi petugas Kharaj.
- Ahli Fikah dan Alim: Syarat faqih dan alim ini ditetapkan agar petugas tersebut dapat mengambil dan memutuskan hukum syariah yang tepat mengikut fakta yang berlaku di lapangan.
Inilah syarat yang dibahas dan ditetapkan oleh para fuqaha’ ketika membicarakan tentang sosok petugas Kharaj. Jika Wali Kharaj sahaja syaratnya begini, apatah lagi jika orang itu dijadikan sebagai Wali Shalah wa Wali Shadaqah, yang tidak hanya ditugaskan untuk menguruskan harta kaum Muslim, tetapi juga perkara-perkara lain. Oleh itu, syarat bagi Wali Shalah wa Wali Shadaqah, sebagaimana syarat wali secara umum, mestilah Muslim, baligh, lelaki, berakal, merdeka, adil dan mampu.
Dengan demikian, urusan Palestin, termasuk Gaza, tidak boleh diserahkan kepada orang yang tidak memenuhi syarat sebagaimana yang ditetapkan di dalam Islam sebagai syarat wali. Selain itu, satu-satunya pihak yang berhak melantik pemerintah untuk menguruskan urusan tanah Kharajiyyah ini hanyalah Imam (Khalifah) kaum Muslim.
Jika ada yang berpendapat, bagaimana jika pada saat ini tidak ada Imam (Khalifah), bolehkah diadakan perjanjian damai dengan musuh secara kekal? Begitu juga, ada yang beralasan, jika tidak mungkin diraih semuanya, maka jangan ditinggalkan semuanya.
Perjanjian kekal antara kaum Muslim dengan kaum kafir itu jelas tidak dibenarkan. Ketika Nabi SAW mengadakan Perjanjian Hudaibiyyah, perjanjian tersebut dibatasi tempohnya selama 10 tahun. Ini menjadi Mafhum Mukhalafah, iaitu jika lebih daripada sepuluh tahun, maka ia tidak boleh. Jika kurang, atau maksimum 10 tahun, maka ia dibenarkan. Oleh itu, perjanjian kekal antara kaum Muslim dengan kaum kafir adalah jelas tidak dibenarkan menurut syariat Islam.
Adapun alasan “jika tidak boleh meraih semuanya, maka jangan ditinggalkan semuanya”, maka ini diambil daripada kaedah:
مَا لاَ يُدْرَكُ كُلُّهُ لاَ يُتْرَكُ جَلُّهُ
“Apa yang tidak boleh diraih semuanya, jangan ditinggalkan keseluruhannya.”
“Apa yang tidak boleh diraih semuanya” itu mengharuskan usaha yang maksimum. Contohnya, dengan berjuang menegakkan Khilafah, membina kekuatan ketenteraan dengan strategi industri beratnya, sehingga sampai ke tahap yang maksimum. Apabila semua itu telah dilakukan, kemudian terpaksa pula untuk berdamai, sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi SAW semasa Perjanjian Hudaibiyyah, atau rancangan Mu’ahadah Idhthirariyyah (Perjanjian Terpaksa) semasa Perang Khandaq walaupun tidak terjadi, maka barulah kaedah ini boleh digunakan dengan tepat. Namun, jika tidak melakukan apa-apa, lalu kaedah ini digunakan, sudah tentu ia tidak tepat.
Wallahu a’lam bissawab.
Nota Kaki:
- Lihat, Abu Yusuf, al-Kharaj, hlm. 24-27; Wizarat al-Auqaf wa as-Syu’un al-Islamiyyah, al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, Kuwait: Wizarat al-Auqaf wa as-Syu’un al-Islamiyyah, cet. II, 1410 H/1990 M, Juz XIX, hlm. 54.
- Lihat, Wizarat al-Auqaf wa as-Syu’un al-Islamiyyah, al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, Kuwait: Wizarat al-Auqaf wa as-Syu’un al-Islamiyyah, Juz XIX, hlm. 60.
- Lihat, Al-Qurtubi, al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, Juz IV, hlm. 178.
- Al-kiya al-Harasi, Ahkam al-Qur’an, Kaherah: Maktabah Hisan, Juz II, hlm. 68.
- Abu Yusuf, al-Kharaj, hlm. 106 dan 110.
- Lihat, Wizarat al-Auqaf wa as-Syu’un al-Islamiyyah, al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, Kuwait: Wizarat al-Auqaf wa as-Syu’un al-Islamiyyah, Juz XIX, hlm. 75-78.
- Lihat, al-‘Allamah al-Qadhi Syaikh Muhammad Taqiyuddin an-Nabhani, Nidzam al-Hukmi fi al-Islam, Beirut: Dar al-Ummah, cet. VI, 1422 H/2002 M, hlm. 167-168.
#Palestin #Gaza