[Soal Jawab] Mengapa Penetapan Waktu Ramadhan dan Aidilfitri Menggunakan Kaedah Rukyat sedangkan Penetapan Waktu Solat Menggunakan Kaedah Hisab?
Oleh: K.H Muhammad Shiddiq Al-Jawi
Soalan:
Ustaz, bagaimana menjawab pertanyaan jika kita menentukan awal bulan Ramadhan dengan kaedah rukyat, sementara waktu solat kita menggunakan matahari, jika mendung kita tetap azan, sementara dalam penetapan awal bulan Ramadhan, kita menggenapkan Syaaban menjadi 30 hari (jika mendung)? Saya bertanyakan soalan ini kerana dikatakan yang berpegang pada kaedah rukyatul hilal dianggap tidak konsisten. Dengan kata lain, kita menggunakan ilmu hisab untuk waktu solat, tapi kita tidak mahu menggunakan kaedah hisab dalam penetapan awal bulan Ramadhan.
Jawapan:
Penetapan awal bulan Ramadhan dan juga Aidilfitri, sandarannya memang wajib dengan rukyatul hilal (pengamatan bulan sabit oleh kaum muslimin), bukan dengan kaedah hisab (perhitungan astronomi), kerana dalil syarie yang ada memang mewajibkan kita menggunakan kaedah rukyatul hilal. Sedangkan waktu solat sandarannya memang bukan rukyat (melihat matahari secara langsung), melainkan cukup dengan mengetahui masuknya waktu solat (dukhūl al-waqti), kerana tidak ada dalil syarie yang mewajibkan kita menggunakan rukyat untuk melihat matahari secara langsung. Jadi kita boleh berpegang dengan kaedah hisab untuk penetapan waktu-waktu solat.
Jadi adanya perbezaan kaedah untuk menentukan awal Ramadhan dan kaedah untuk menentukan waktu solat tersebut, bukan kerana tidak konsisten, melainkan kerana ada perbezaan dalil syarie untuk masing-masingnya.
Mari kita perhatikan dalil-dalil syarie yang berkaitan dengan penetapan awal Ramadhan dan penetapan Aidilfitri. Perhatikanlah hadis Nabi SAW yang telah dikeluarkan oleh Imam Al-Bukhari RA sebagai berikut:
عن أَبَي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ: قَالَ النَّبِيُّ ﷺ أَوْ قَالَ: قَالَ أَبُو الْقَاسِمِ ﷺ: «صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ فَإِنْ غُبِّيَ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا عِدَّةَ شَعْبَانَ ثَلَاثِينَ» رواه البخاري، 1776
Daripada Abu Hurairah RA, dia mengatakan, bahawa Nabi SAW atau Abul Qasim SAW telah bersabda, “Berpuasalah kamu [di bulan Ramadhan] kerana telah melihat hilal, dan berbukalah kamu [beraidilfitri] kerana telah melihat hilal. Kemudian jika hilal hilang dari penglihatan kamu maka sempurnakanlah bilangan Syaaban sampai tiga puluh hari.” (HR Bukhari, no. 1776)
Kemudian perhatikan juga hadis yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal RA, berikut ini:
عن أَبَي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ: إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ قَالَ: «لَا تَصُومُوا حَتَّى تَرَوْا الْهِلَالَ وَلَا تُفْطِرُوا حَتَّى تَرَوْا الْهِلَالَ، وَقَالَ: صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ فَإِنْ غَبِيَ عَلَيْكُمْ فَعُدُّوا ثَلَاثِينَ» رواه أحمد، 9505
Daripada Abu Hurairah RA, dia mengatakan, “Rasulullah SAW telah bersabda, “Janganlah kamu berpuasa [di bulan Ramadhan] hingga kamu melihat hilal, dan janganlah kamu berbuka [berAidilfitri] hingga kamu melihat hilal.” Dan Rasulullah SAW telah bersabda, “Berpuasalah kamu [di bulan Ramadhan] kerana telah melihat hilal, dan berbukalah kamu [berAidilfitri] kerana telah melihat hilal. Kemudian jika hilal hilang dari penglihatan kamu, maka sempurnakanlah bilangan sampai tiga puluh hari.” (HR Ahmad, Al-Musnad, no. 9505)
Berdasarkan hadis-hadis tersebut, jelaslah bahawa andai kata hilal Syawal tertutup awan, misalnya, sehingga hilal itu tidak dapat dirukyat oleh kaum muslimin, padahal hilal itu secara faktanya telah maujūd (ada) di sebalik awan menurut hisab, maka berdasarkan dalil-dalil syarie tersebut, kita tetap tidak boleh berbuka (berAidilfitri) keesokan harinya, sebaliknya wajib hukumnya kita istikmāl, iaitu menggenapkan puasa Ramadhan tiga puluh hari, kerana kita tidak dapat merukyat (melihat) hilal Syawal tersebut.
Cuba perhatikan sekali lagi hadisnya, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
«…غُبِّيَ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا عِدَّةَ شَعْبَانَ ثَلَاثِينَ»
“…Kemudian jika hilal hilang dari penglihatan kamu, maka sempurnakanlah bilangan Syaaban sampai tiga puluh hari.” (HR Bukhari, no. 1776)
Berdasarkan dalil tersebut, jelaslah bahawa ketika hilal Ramadhan tidak dapat terlihat, misalnya tertutup awan, atau asap, dsb, maka kita diperintahkan oleh Rasulullah SAW untuk istikmāl, iaitu menyempurnakan bilangan bulan Syaaban sebanyak tiga puluh hari, walaupun secara faktanya, menurut hisab, hilal itu sudah benar-benar maujūd (ada) di langit di sebalik awan yang menutupi pandangan kita.
Jadi, dalam penetapan awal Ramadhan, dan juga penetapan Aidilfitri, kaedah yang menjadi sandaran hanyalah rukyatul hilal (perbuatan muslim melihat hilal), kerana nas hadis Nabi SAW memang hanya menunjukkan kaedah rukyatul hilal itu. Dengan kata lain, sandaran wajib untuk mengetahui masuknya bulan Ramadhan, hanyalah dengan kaedah rukyatul hilal, iaitu perbuatan muslim melihat hilal di langit, bukan fenomena alamnya itu sendiri, iaitu telah maujūd-nya, atau telah adanya hilal itu sendiri di langit secara faktanya, menurut hisab (perhitungan astronomi). (https://www.hizb-ut-tahrir.info/ar/index.php/ameer-hizb/ameer-cmo-site/81999.html).
Adapun penetapan waktu solat, mengapa kita tidak menggunakan kaedah rukyat, dan sebaliknya menggunakan kaedah hisab (perhitungan astronomi), ini bukan kerana tidak konsisten, melainkan kerana sesuai dengan dalil syarie yang terkait dengan perintah solat.
Dalil-dalil syarie mengenai perintah solat, telah jelas menunjukkan bahawa sandaran waktu solat itu adalah fenomena alam-nya itu sendiri, iaitu pergerakan matahari di langit, yang menjadi tanda (sebab) masuknya waktu solat (dukhūl al-waqti), dan tidak terdapat dalil syarie yang mewajibkan kita untuk merukyat matahari secara langsung untuk mengetahui waktu solat. Perhatikan nas-nas berikut ini, misalnya firman Allah SWT:
﴿أَقِمِ الصَّلَاةَ لِدُلُوكِ الشَّمْسِ﴾
“Tegakkanlah solat sejak matahari tergelincir (dulūk al-syams).” [TMQ Al-Isrāk: 78]
Perhatikan juga sabda Nabi SAW berikut ini:
«فَإِذَا زَالَتْ فَارَقَهَا فَصَلُّوا»
“Maka jika matahari telah tergelincir, iaitu ketika matahari telah berpisah [dengan dua tanduk syaitan], maka solatlah kamu.” (HR Ahmad, Al-Musnad, no. 18290)
Walhasil, yang menjadi penentu bila kita solat, adalah masuknya waktu solat (dukhūl al-waqti), berdasarkan pergerakan matahari di langit, yang dapat diketahui dengan cara apa pun, baik itu kita mengetahuinya melalui melihat (merukyat) matahari secara langsung di langit, mahupun dengan cara melihat bayang-bayang suatu benda, sebagaimana terdapat dalam hadis-hadis mengenai waktu-waktu solat, atau pun dengan cara-cara lain, misalnya dengan anda melihat jam tangan atau di HP, yang menginformasikan jadual waktu-waktu solat yang dihitung berdasarkan hisab (perhitungan astronomi). Semuanya sah menurut syariah, walaupun anda tidak merukyat matahari secara langsung di langit, kerana hal ini memang tidak diwajibkan oleh syarak.
Kesimpulannya, ketika kita menggunakan kaedah hisab untuk mengetahui waktu solat, sedangkan kita menggunakan kaedah rukyat untuk mengetahui masuknya bulan Ramadhan, ini bukanlah suatu sikap yang tidak konsisten, melainkan kerana memang terdapat dalil syarie yang berbeza antara tanda masuknya bulan Ramadhan, dengan tanda masuknya waktu-waktu solat. (https://www.hizb-ut-tahrir.info/ar/index.php/ameer-hizb/ameer-cmo-site/81999.html).
Wallāhu a’lam.
Muhammad Shiddiq Al-Jawi
(Jogjakarta, Indonesia – 20 April 2023)
#soaljawab #hukumfikh #soaljawabfikih #ramadhan #kaedahrukyat #kaedahhisab #waktusolat #penetepanramadhan #aidilfitri #hukumsyarak
