[Berita] Penderitaan Rakyat Yaman Kerana Sesuap Nasi, Aktivis: Menjadi Simbol Kelaparan
Hari ini, berpuluh-puluh aktivis, peguam dan wartawan Yaman menuntut siasatan bebas dan menyeluruh terhadap insiden maut di Yaman ketika utusan dunia ke negara itu, organisasi bantuan dan kumpulan hak asasi manusia melahirkan rasa terkejut dan takziah.
Ini berkaitan dengan kejadian di mana sekurang-kurangnya 85 orang maut dan ratusan lagi cedera kerana saling mendesak untuk mendapatkan zakat Ramadhan daripada seorang peniaga di kota Sana, Yaman, Khamis (20-4-2023) seperti yang dilaporkan dari Arab News.
Setiap orang akan mendapat lima ribu rial Yaman, yang bersamaan dengan sembilan dolar. Tragedi ini menunjukkan sejauh mana penderitaan rakyat Yaman demi mendapatkan sesuap nasi.
Simbol Kelaparan
Aktivis dakwah, Dr. Abdullah Badzib kesal dengan keadaan Yaman yang dahulunya digelar “Yaman yang Berbahagia”, tetapi kini menjadi simbol kelaparan, kemiskinan, kehinaan dan penindasan.
“Penduduk Yaman mati kerana kelaparan, penyakit atau menembak sesama sendiri. Rakyat menjadi mangsa militer bersenjata yang ditubuhkan oleh orang-orang kafir Barat dengan bantuan negara-negara sekitarnya. Ini bertujuan supaya negara-negara ini menjadi rakan jenayah kafir Barat dalam merebut pengaruh dan kekayaan di Yaman,” ulasnya.
Jelasnya lagi, Yaman berada di kedudukan strategik yang sangat penting di peringkat global dan mengawal laluan perdagangan paling penting di dunia.
“Yaman mempunyai asas kekayaan segitiga di Semenanjung Arab iaitu minyak, gas, emas dan galian. Yaman turut mempunyai pesisir laut yang terpanjang di Lautan Hindi dan Laut Merah. Yaman juga dipenuhi dengan kekayaan ikan yang tiada tandingannya,” katanya.
Selain itu, tambahnya, Yaman mempunyai penduduk yang ramai berbanding negara-negara kecil di sekitarnya. “Lebih 30 juta orang membentuk populasi di Yaman. Yaman juga mempunyai kepelbagaian geografi yang jarang dijumpai di dunia. Yaman juga mempunyai sejarah yang paling lama dan warisan dunia sebagaimana yang diperkatakan oleh pakar,” jelasnya.
Pemerintah Mesti Bertanggungjawab
Justeru tegasnya, tanpa ragu-ragu, mereka yang mesti bertanggungjawab dalam situasi ini ialah pemerintah Yaman di utara dan selatan.
“Mereka (pemerintah Yaman) telah menjalankan program pengembangan Iran demi kepentingan Amerika. Ini berlaku selagi Iran masih menjadi tangan Amerika di kawasan yang terbentang dari Afghanistan dan Iraq, kemudian meliputi Syria, Lubnan, hingga Yaman. Padahal ketika itu pemerintah Yaman sedang bergema dengan slogan “Kematian untuk Amerika,” katanya.
Di sisi lain Dr Abdullah menyatakan bahawa AS telah menyusup masuk senjata kepada pemerintah Yaman menggunakan pesawat milik PBB.
“Amerika juga mengiktiraf kerajaan Sana sebagai kerajaan de facto. Malah Amerika menjadikan kerajaan Sana sebagai tandingan kepada kerajaan asal dalam setiap rundingan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang dikawal oleh Amerika,” jelasnya.
Selain itu, sambungnya, terdapat juga tangan kedua Amerika dalam kerajaan Bani Saud. “Amerika berunding secara langsung dengan Bani Saud dan membantu mereka dari segi politik. Amerika turut menekan kerajaan Yaman untuk berunding dengan Bani Saud berhubung pengagihan kuasa bagi mencontohi negara Lubnan,” jelasnya.
Katanya, semua itu bukan rahsia. “Amerika telah menyokong Houthi secara langsung atau tidak langsung. Amerika menyokong Houthi secara tidak langsung melalui Iran dan Arab Saudi, kedua-duanya dari sudut politik, ketenteraan dan keselamatan. Amerika juga membekalkan senjata kepada Houthi untuk membunuh rakyat Yaman melalui peluru kejam atau melalui kelaparan, kemiskinan, penindasan, penyakit dan penghinaan,” katanya.
Menurutnya, Amerika melakukan semua itu untuk menghapuskan pengaruh England lama di kota Aden. “Sebelum Britain secara rasmi meninggalkan Yaman, Britain telah melaburkan pengaruhnya melalui pemerintah atau parti yang akan mengekalkan pengaruh dan kepentingan mereka,” katanya.
Dalam kes ini, beliau berkata tokoh yang paling menonjol ialah Ali Saleh yang terbunuh bersama anak-anak dan anak saudaranya. “Hari ini, anak-anak dan anak saudara Ali Saleh telah bersedia untuk kembali memerintah Yaman. Sementara itu, Abdrabbuh Mansur Hadi, Rashad Al-Alimi, pemimpin-pemimpin Kongres, Sosialis, parti Al-Islah, serta sekumpulan parti berkumpul di sekitar meja kekuasaan Yaman untuk mengambil baki-baki kerusi kekuasaan,” jelasnya.
Dr. Abdullah berkata pengaruh British di Aden telah diterapkan oleh negara bawah naungan UAE untuk menyokong kerajaan Yaman bergabung dengannya dan melindungi Yaman daripada cengkaman Amerika, Iran, dan Arab Saudi. UAE juga menangkap Al-Zoubaidi dan pengikutnya, kemudian menubuhkan ketenteraan yang baru untuk menyerang rakyat Yaman demi kepentingan British.
“Inilah yang berlaku, wahai penduduk Yaman! Inilah yang menyebabkan kematian kalian hari ini, baik kerana tembakan murahan dan pengkhianatan atau kerana kebuluran di ibu negara. Sedangkan bagi pemerintah, mereka sebaliknya meminta bantuan atas nama kalian atau atas nama negara kalian. Padahal negara kalian sedang dirampas oleh musuh di bawah perlindungan senjata mereka” katanya.
Menyokong Penegakan Syariat
Maka, beliau memperingatkan, tidak ada keselamatan bagi kamu, kecuali dengan meninggalkan penguasa dan tidak menyokong mereka. “Kepada ahlul quwwah, janganlah kamu tunduk kepada kehendak mereka. Hendaklah kamu menyokong mereka yang berusaha menegakkan syariat Allah di bawah naungan Khilafah Rasyidah mengikut kaedah kenabian dan mengusir penceroboh kafir dan pengaruh serta ejen mereka dari negara kamu,” katanya.
Beliau berharap umat Islam mendengar amaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW kepada Ka’ab bin Ujrah dalam riwayat Ahmad.
“Rasulullah SAW bersabda, ‘Semoga Allah melindungimu dari pimpinan orang yang jahat.’ Ka’ab bertanya, ‘ Apakah yang dimaksudkan dengan kepimpinan orang yang jahat?’ Kemudian Rasulullah SAW menjawab, ‘Iaitu para pemimpin yang ada sesudahku; yang tidak mengikuti petunjukku; dan tidak bersunnah dengan sunnahku. Barang siapa yang membenarkan atas dustanya dan membantu kezalimannya, mereka itu bukanlah umatku; aku pun bukan sebahagian dari mereka; dan mereka tidak akan dibawa ke telagaku (pada hari kiamat). Akan tetapi, barang siapa yang tidak membenarkan kebohongan mereka dan tidak membantu kezaliman mereka, maka mereka itu sebahagian dariku; aku sebahagian dari mereka; dan mereka akan dibawa ke telagaku (pada hari kiamat).”
https://muslimahnews.net/2023/05/12/19973/