[TARIKH KHULAFA] Jizyah Warga Zimmi pada Zaman Khalifah Harun ar-Rasyid
Penulis: Nabila Ummu Anas
Luasnya wilayah pemerintahan Khilafah Islam menyebabkan semakin ramai penduduk tempatan yang masih kafir menjadi rakyat Daulah. Bagi mereka ada kewajipan membayar jizyah kepada Daulah sebagai tanda bahawa mereka tunduk kepada Islam. Apabila mereka telah membayar jizyah, maka mereka berhak mendapat penjagaan dan perlindungan dari kaum muslim sehingga mereka digelar warga zimmi.
Allah SWT. berfirman, “Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak pula kepada hari kemudian, dan mereka tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan rasul–Nya dan tidak beragama dengan agama yang benar, iaitu orang-orang yang diberi Al-Kitab kepada mereka, sehingga mereka membayar jizyah dengan patuh sedang mereka dalam keadaan tunduk (hina dina).” [TMQ At-Taubah (9) : 29].
Pembayar Jizyah pada Zaman Khalifah Harun ar-Rasyid
Abu Yusuf selaku hakim agung Khalifah Harun ar-Rasyid, menyatakan, “Pada dasarnya jizyah wajib dibayar oleh semua warga zimmi termasuk penganut Kristian Taghlib, terutama penduduk Najran. Yang wajib membayar jizyah daripada mereka ialah orang lelaki, bukan wanita dan kanak-kanak. Jizyah juga tidak dipungut daripada orang miskin, orang buta, dan orang yang tidak bekerja, tidak mempunyai kemahiran, orang cacat, pendeta, orang tua yang lanjut usia, yang tidak mampu bekerja dan tidak mempunyai harta benda. Binatang ternakan kaum zimmi sama ada unta, lembu atau kambing tidak dikenakan kewajipan zakat.”
Pandangan Abu Yusuf tentang kepada siapa jizyah diambil inilah yang menjadi dasar khalifah Harun ar-Rasyid. Jadi semua warga zimmi lelaki yang mampu, baligh, akal sihat. Dan jizyah tidak dipungut dari wanita, kanak-kanak, orang miskin, warga emas yang tidak bekerja dan tidak mempunyai harta. Pegawai kutipan jizyah juga tidak mengambil daripada warga zimmi yang cacat dan pendeta.
Khalifah Harun ar-Rasyid mengklasifikasikan jizyah kepada tiga golongan iaitu bagi warga zimmi yang kaya sebanyak 58 dirham, golongan pertengahan 24 dirham dan golongan pekerja 12 dirham.
Khalifah Hendaklah Berbuat Baik kepada Warga Zimmi
Abu Yusuf mengatakan kepada Khalifah Harun ar-Rasyid, “Wahai Amirul mukminin, semoga Allah mengukuhkan kekuasaanmu. Hendaklah engkau bersikap ramah terhadap warga zimmi dan mengawasi keadaan mereka agar mereka tidak dianiaya dan tidak diganggu, serta tidak dibebani dengan kewajipan di luar kemampuan mereka. Harta benda mereka tidak boleh diambil secara paksa atau disita kecuali dengan cara yang benar dan sesungguhnya itu adalah kewajipan mereka. Bagi orang Kristian Taghlib, mereka wajib membayar kepada umat Islam dalam jumlah dua kali ganda. Beginilah kewajipan yang diterapkan oleh Khalifah Umar bin Al-Khattab.”
Khalifah juga memberikan perlindungan kepada warga zimmi berkaitan dengan agama, gereja dan biara mereka. Abu Yusuf berkata, “Pada dasarnya telah berlaku perdamaian antara umat Islam dengan warga zimmi dalam pembayaran jizyah sebagai pertukaran untuk perlindungan biara dan tempat ibadah mereka. Gereja mereka yang berada di dalam atau di luar bandar tidak dimusnahkan. Umat Islam hendaklah menjaga dan melindungi nyawa mereka dan memerangi musuh-musuh yang menyerang mereka. Mereka juga dikehendaki untuk mengeluarkan tanda salib dalam hari-hari besar mereka dan berinteraksi dengan mereka.”
Golongan zimmi sanggup membayar jizyah dengan tidak membina biara atau gereja baru. Apabila tentera Islam berjaya menakluki seluruh wilayah Syam dan Hirah, mereka membiarkan tempat-tempat ibadah agama lain.
Abu Yusuf turut menjelaskan tentang sejarah pemberian jaminan keselamatan kepada warga zimmi di pelbagai wilayah sebagai sebahagian daripada penerapan syarat atau pampasan dari pembayaran jizyah. Rasulullah SAW. pernah bersabda, “Barangsiapa berbuat aniaya terhadap mua’hid atau membebankannya melebihi batas kemampuannya, maka aku akan menjadi lawannya.”
Mengenai perlakuan terhadap warga zimmi ini, Khalifah Umar bin Khathab sebelum wafat pernah berkata, “Aku berpesan kepada khalifah sesudahku dengan jaminan Rasulullah SAW. agar memenuhi janji mereka, berperang membela mereka dan tidak membebani mereka melebihi kemampuan mereka.”
“Allah tidak membebani seseorang melebihi batas kemampuannya.” [TMQ Al-Baqarah (2): 286].
Sumber: Syeikh Muhammad al-Khudari. “Bangkit dan Runtuhnya Khilafah Bani Abbasiyah, Puncak Keemasan dan Kejayaan Kekhilafahan Islam”. Pustaka Al-Kautsar
#TarikhKhulafa #WargaZimmi #Jizyah #KhalifahHarunArRasyid