Tidak Perlu Takut Mati (Bahagian 1)
Penulis: M. R. Kurnia
Kematian pasti akan datang, namun kita tidak akan tahu bila ianya datang. Banyak realiti yang membuktikan perkara ini. Banyak hal-hal yang menunjukkan tanda-tanda kematian atau pun tanda-tanda umur semakin meningkat. Dari hari ke hari, penglihatan manusia semakin berkurangan. Sebagai contoh, datuk-datuk yang sudah tua tidak dapat melihat setajam sepertimana ketika masih muda.
Begitu juga dengan pendengaran, pada awalnya mereka dapat mendengar dengan tajam serta jelas tetapi semakin bertambah umurnya dan berjalannya waktu, maka pendengaran akan terdengar samar-samar sahaja. Bahkan mereka hanya dapat mendengar jika kita berkata dengan suara yang kuat ataupun lantang. Apatah lagi jika kita hanya berbisik-bisik, sungguh tidak akan terdengar.
Rambut pun semakin lama akan menjadi berkurang, tidak lupa warnanya juga akan berubah menjadi putih satu persatu. Selain itu, daya ingatan juga akan akan mengalami penurunan. Daya untuk berfikir ketika masih muda jelas jauh lebih kuat dibandingkan dengan masa ketika lebih tua. Kemampuan mengingat, kekuatan fizikal, dan ketahanan tubuh pun demikian.
Dapat disimpulkan bahawa pada akhirnya, semua bahagian anggota badan akan mengalami penurunan fungsi sehingga pada suatu hari fungsi-fungsi anggota badan ini sudah penat dan akan berhenti bergerak. Maka ketika ini, kematian pun tiba.
Bukan hanya itu sahaja, fakta lain banyak menunjukkan perkara ini. Mungkin dulu, seseorang itu pada mulanya mempunyai seorang ayah di dalam hidupnya akan tetapi sekarang ayahnya telah meninggal. Dulu, ditimang-timang oleh atuk, kini hanya tinggal kenangan. Atuk telah lama meninggal. Ada juga orang yang baru sahaja berjalan kesana-kesini berjumpa dengan kawan-kawannya, namun kini tidak dapat lagi kerana dia telah dipanggil oleh Allah SWT.
Pada ketika ini, orang yang lahir pada 100 tahun yang lepas hampir kebanyakannya telah meninggal. Sangat jarang kita dapat berjumpa dengan orang yang masih hidup dengan usia sebegitu. Mereka yang merupakan kanak-kanak di dunia ini pada 500 tahun yang lepas juga sudah tidak ada di dunia ini. Bayi yang umurnya baru mencecah 2 bulan sewaktu sekarang juga tidak akan ada lagi di dunia ini pada generasi 400 tahun yang akan datang. Hakikatnya, kita yang masih ada dan hidup di muka bumi ini hanya kerana diberi usia oleh Allah SWT. Kelak, kita semua pasti akan mati juga dan meninggalkan muka bumi.
Dulu, sebelum tarikh kita dilahirkan, kita tidak ada di dunia ini, dan nanti pun kita akan meninggal dunia juga. Banyak realiti-realiti yang tidak dapat ditolak yang membuktikan bahawa kematian itu pasti akan dirasai oleh setiap manusia. Semua orang pasti mati!
Justeru, orang yang beriman betul-betul meyakini bahawa dia akan mati. Bagaimana tidak, empat belas abad yang silam Allah SWT mewahyukan kepada Nabi Muhammad SAW,
“Setiap yang bernyawa pasti mati.” [TMQ Ali Imran (3): 185].
Demikian pula firmanNya,
“Dan janganlah engkau menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah. Tiada Tuhan melainkan Dia. Tiap-tiap sesuatu akan binasa melainkan Zat Allah. BagiNyalah kuasa memutuskan segala hukum, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan (untuk dihitung amal masing-masing dan menerima balasan). ” [TMQ al-Qasas (28): 88].
Jelaslah bahawa semua orang akan mati. Pencipta kita iaitu Allah SWT telah pun memberitahu perkara tersebut dan mati itu hanya menunggu waktunya sahaja. Diharapkan atau tidak, kematian pasti akan datang. Ditakuti atau tidak, kematian pasti akan dilalui. Percaya atau tidak, kematian mustahil tidak akan tiba. Kematian pasti akan dialami semua orang. Hanya sahaja, entah bila seseorang itu akan meninggal. Tidak ada yang tahu.
Hampir setiap orang yakin bahawa dirinya akan mati, namun hanya beberapa dari mereka sahaja yang mempersiapkan diri untuk menghadapinya. Syaitan juga senantiasa memperdayakan manusia serta berbisik-bisik supaya manusia terus-menerus melupakan bahawa kematian itu tidak datang secara tiba-tiba. Tidak sedikit juga orang membayangkan bahawa kematian itu akan datang ketika kita sudah tua, padahal tua atau muda bukanlah penentu kematian.
Memang betul, banyak dari mereka yang meninggal dunia disaat dewasa atau pun berumur. Namun, tidak jarang juga ada yang meninggal di kalangan usia remaja mahupun kanak-kanak. Ada juga bayi yang baru beberapa bulan sahaja juga telah dicabut nyawanya dan kembali kepada Allah SWT. Sungguh, kematian akan datang bila-bila sahaja dan dimana sahaja. Firman Allah SWT,
“Di mana pun kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, kendatipun kamu berada di dalam benteng yang tinggi dan kukuh.” [TMQ an-Nisa (4): 78].
Bersambung ke bahagian 2/2
Sumber: M. R. Kurnia, Menjadi Pembela Islam