[Kolum Siyasah] Motivasi untuk Menimba Ilmu di Zaman Kegemilangan Sarjana Islam
Abad ke-8 hingga ke-14 Masihi kerap disebut sebagai zaman kegemilangan sarjana Islam. Tidak dinafikan di zaman tersebut perkembangan ilmu yang dipelopori oleh para sarjana Muslim dan bukan Muslim di bawah kekuasaan Islam memang tiada tandingannya di seantero dunia. Para sarjana yang hidup di zaman tersebut memiliki motivasi luar biasa dalam menuntut ilmu. Antara sarjana Islam yang terkenal adalah Abū ʿAlī al- Ḥasan ibn al-Ḥasan ibn al-Haytham, yang dikenali sebagai Ibn al- Haytham (965 –1040). Beliau merupakan seorang ahli sains, ahli matematik, ahli astronomi dan filosof Muslim yang telah memberi sumbangan besar dalam prinsip optik, astronomi, matematik, meteorologi, persepsi visual dan kaedah saintifik. Antara petikan kata-kata beliau yang paling masyhur adalah:
“Saya sentiasa mencari pengetahuan dan kebenaran, dan menjadi kepercayaan saya bahawa untuk dapat mendekati cahaya Allah dan mendekatkan diri kepada-Nya, tidak ada cara yang lebih baik kecuali berusaha mencari kebenaran dan pengetahuan.”
Secara umumnya, antara faktor yang mendorong kepada motivasi luar biasa dalam usaha untuk menimba ilmu di kalangan para sarjana ketika itu adalah:
- Agama Islam: Para Sarjana Muslim meyakini bahawa mengkaji alam semula jadi merupakan satu cara untuk memahami dan menghayati kebesaran ciptaan Allah SWT. Mereka melihat penyelidikan saintifik sebagai kewajiban syarak, kerana ia membolehkan mereka memperolehi pengetahuan dan kebijaksanaan yang akan memperkukuh keimanan mereka.
- Al-Quran: Umat Islam diperintahkan untuk merenung tanda- tanda kekuasaan dan kebesaran Allah SWT dalam penciptaan dan perjalanan alam. Penekanan terhadap pemerhatian dan renungan ini menyebabkan para sarjana Muslim dan bukan Muslim untuk meneroka pelbagai disiplin saintifik agar dapat memahami realiti di sekeliling mereka.
- Wujud motivasi dalam pemeliharaan dan penterjemahan buku-buku: Tidak dapat dinafikan bahawa dengan wujudnya usaha untuk menterjemah pelbagai buku, para sarjana secara aktif memelihara warisan ilmu kuno. Mereka menterjemah karya-karya yang mengandungi pengetahuan dalam bidang seperti matematik, astronomi, perubatan dan falsafah. Usaha ini didorong oleh keinginan untuk memelihara dan mengembangkan ilmu.
- Dorongan intelektual: Para sarjana ketika itu sangat dahagakan ilmu pengetahuan dan memiliki perasaan ingin tahu yang luar biasa. Mereka mencari ilmu daripada pelbagai sumber dan melibatkan diri dalam berbagai perdebatan dan perbincangan intelektual. Suasana intelektual dan dokongan negara dalam aspek ini memupuk nuansa yang kondusif dalam perkembangan ilmu pengetahuan.
- Sokongan dan bantuan negara: Para pemerintah dan orang- orang kaya secara aktif menyokong para sarjana ketika itu dan menyediakan untuk mereka sumber yang diperlukan bagi menjalankan penyelidikan dan pengkajian. Bantuan diberikan bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pelbagai usaha saintifik tanpa perlu bimbang mengenai kekangan kewangan.
- Kerjasama dan perkongsian ilmu: Para sarjana ketika itu membentuk rangkaian kesarjanaan yang luas – merangkumi para ilmuan dari berbagai budaya dan latar belakang yang berbeza. Mereka terlibat secara aktif dalam pertukaran pemikiran melalui aktiviti surat-menyurat, pengembaraan serta penubuhan perpustakaan dan akademi. Kerjasama ini menggalakkan dan memudahkan pemindahan dan perkongsian ilmu serta memupuk kemajuan dalam pelbagai bidang ilmu.
Inilah antara kegemilangan umat Islam yang sudah hilang. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk kembali menerajui dunia dalam kemajuan ilmu pengetahuan dan tidak dapat dinafikan, kita perlu Khilafah untuk meraih kembali posisi ini.
Sumber: mykhilafah