[Keluarga] Membentuk Ketaatan Anak di Tengah-Tengah Fitnah
Penulis: Iwan Januar
Menanamkan ketaatan dalam diri anak-anak pada zaman sekarang adalah sebuah cabaran. Bukan kerana ajaran Islam itu sulit, tetapi kerana keadaan hari ini yang membuatkan proses pendidikan penuh dengan rintangan. Sekurang-kurangnya terdapat dua faktor penyebab.
Pertama, persekitaran yang semuanya permisif, semuanya dibenarkan. Ini menjadi cabaran dan halangan apabila kita mengajarkan prinsip hidup tentang halal dan haram kepada keluarga kita. Mengenai pakaian mengikut syariah Islam, tentang batas pergaulan dengan lawan jantina, menggunakan bahasa yang tertib, dan sebagainya. Mendidik anak dalam ketaatan pada zaman sekarang ibarat mencuci pakaian bersih untuk dipakai di tempat berlumpur. Ia memerlukan kerja keras untuk selalu menjaganya dan mencucinya agar boleh dibersihkan kembali.
Kedua, sedikit sebanyak, fitnah atau penghinaan terhadap agama ini (Islam) memiliki pengaruh pada keluarga dan lingkungan kita tinggal. Anak-anak mungkin mendengar berita mengenai isu terorisme, fitnah terhadap syariat Islam dan penegakan Khilafah, tentang larangan bertudung, kecurigaan pada orang yang membela janggut dan sebagainya. Dengan begitu gencar, media massa mainstream, terutamanya media elektronik, menyiarkan berita berkenaan topik radikalisme sehinggalah isu terorisme.
Persekitaran yang dipengaruhi oleh pendapat-pendapat yang negatif boleh memberikan suasana yang tidak selesa kepada keluarga terutamanya kanak-kanak. Stigma negatif dibina oleh media massa yang mengaitkan Islam radikal kepada keluarga Islam yang rajin beribadah, berakhlak mulia, dan bergaul dengan jiran tetangga. Boleh dikatakan musuh-musuh Islam berjaya membina stigma atau label buruk terhadap agama Islam dan mereka yang mentaatinya.
Walaupun begitu, membentuk peribadi taat kepada anak-anak tetap menjadi satu kewajipan. Dalam keadaan ini ia menjadi tugas yang semakin penting. Jika keluarga Muslim mengabaikan pendidikan agama kepada anak-anak mereka, akan musnahlah generasi Islam pada masa akan datang. Itulah yang diharapkan oleh musuh-musuh Islam.
“Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka),” [TMQ Maryam (19): 59].
Apa yang mesti dilakukan oleh keluarga muslim dalam menanamkan ketaatan agama pada anak-anak mereka di zaman sekarang?
Pertama, tanamkan pada anak-anak keyakinan bahawa Islam adalah agama yang sempurna dan mengajarkan akhlak yang mulia. Ayah dan ibu boleh menceritakan keteladanan Nabi SAW dan para sahabat dalam berakhlak secara sempurna. Bukan saja menceritakan kelembutan keperibadian Nabi atau jiwa pemaaf baginda, tetapi juga ketegasan Rasulullah SAW dalam melaksanakan hukum-hukum Allah SWT. Misalnya Nabi menegur peniaga yang tidak jujur, melarang menyerupai orang kafir, dan sebagainya. Memberikan contoh-contoh kelembutan dan ketegasan, amat penting untuk disampaikan pada anak-anak agar mereka belajar mempertahankan prinsip hidup yang benar.
Kedua, ketika anak mendengar berita kekerasan yang terjadi di layar kaca, maka tunjukkan simpati pada mangsa, misalnya katakan, “Innalillahi wa inna ilaihi rajiun…kasihan ya, nak. Semoga ayah si fulan yang menjadi mangsa, dirahmati Allah.” Ucapan dan ekspresi simpati sangat penting sehingga anak seorang muslim mesti merasakan sikap ehsan pada orang yang ditimpa musibah. Hal ini sekaligus menanamkan pada anak bahawa tindakan kekerasan seperti ini tidak dibenarkan oleh agama.
Ketiga, apabila anak sudah boleh diajak berdialog dan berfikir seperti anak prabaligh, maka ibu bapa sudah boleh mengajarkan hukum-hukum jihad yang benar menurut tuntunan syarak. Misalnya, sekalipun berada di medan perang, Islam melarang membunuh anak-anak, wanita, pendeta, merosakkan rumah ibadah, merosakkan tanaman, dan membunuh ternakan. Ceritakan juga bahawa penaklukan-penaklukan (futuhat) yang dilakukan oleh umat Islam justeru mendatangkan sokongan dari ramai warga non-muslim kerana perlakuan yang mulia dari pahlawan muslim pada mereka.
Keempat, melatih anak-anak di usia remaja berfikir siyasi (politik) tentang keadaan sekarang. Misalnya, jelaskan kesalahan sebutan radikalisme pada agama Islam, fahamkan tujuan istilah demikian muncul, iaitu untuk menghina umat Islam dan agamanya. Kemudian, latihlah mereka menganalisis, adakah benar aksi pengeboman atau penyerangan atas nama Islam itu ditujukan untuk membela agama Islam? Tambahan lagi, sebahagian mangsanya ialah orang muslim dan justeru merosakkan agama Islam.
Kelima, ajarkan kepada mereka agar mampu untuk menjelaskan fitnah agama dan radikalisme. Cukupkan ilmu mereka agar boleh membuatkan orang lain turut memahami dan tidak ikut memfitnah agama sendiri. Ini juga penting agar anak-anak kita tidak selalu menjadi tertuduh dan kemudiannya merasa inferior dengan agamanya, tetapi bentuklah keperibadian mereka supaya mereka boleh tampil sebagai pembela Islam dan menunjukkan umat ke jalan Islam yang benar.
Sumber: iwanjanuar.com