[Soal Jawab] Penjualan Barang oleh Penjual Sebelum Dia Memilikinya Adalah Haram
Soalan:
1) Syeikhuna, adakah penjualan bank yang tidak dia miliki adalah diharamkan bagi bank atau terhadap pembeli? (Walid Elmi)
2) Adakah seorang peniaga jika dia tidak mempunyai barang dan dia memesannya daripada peniaga lain dan dia menjualnya kepada penjual, adakah ini dianggap termasuk “bay’un mâ lâ yumlaku -menjual apa yang tidak dimilikinya-? (Wafa Mustashib)
Jawapan:
Pertanyaan kalian berdua adalah tentang masalah yang sama dan untuk kalian berdua berikut adalah jawapannya:
Penjualan barang yang bukan miliknya oleh penjual adalah haram iaitu akad yang batil di mana dosanya kembali kepada penjual dan pembeli jika pembeli itu mengetahui bahawa barang yang berlaku akad atasnya itu bukan dalam kepemilikan peniaga tersebut melainkan peniaga itu akan pergi dan membelinya dari pasar dan memberikannya kepada pembeli. Kami telah menjelaskan ini dalam asy-Syakhshiyyah al-Islâmiyah juz ii bab Lâ yajûzu bay’un mâ laysa ‘indaka -Tidak boleh menjual apa yang bukan milikmu-:
[Tidak boleh menjual barang sebelum dimiliki sepenuhnya. Jika dia menjualnya dalam keadaan ini maka jual beli itu batil. Dan ini berlaku kepada dua keadaan: Pertama, menjual barang sebelum dia memilikinya, dan kedua, menjual selepas membeli tetapi belum sempurna pemilikan untuk barang itu dengan serah terima yang mana kesempurnaan kepemilikannya disyaratkan serah terima. Kerana akad jual beli itu tidak lain berlaku pada hak milik. Dan selama dia belum memiliki atau telah membelinya tetapi belum sempurna pemilikannya terhadap barang itu kerana dia belum menerimanya maka tidak berlaku akad jual beli terhadapnya sebab secara syarie tidak ada barang yang menyebabkan akad berlaku. Rasulullah SAW. telah melarang jual beli apa pun yang bukan milik penjual.
Dari Hakim bin Hizam, dia berkata:
«قُلْتُ: يَا رَسُوْلَ اللهِ يَأْتِيْنِيْ الرَّجُلُ يَسْأَلُنِيْ عَنِ الْبَيْعِ لَيْسَ عِنْدِيْ مَا أَبِيْعُهُ، ثُمَّ أَبِيْعُهُ مِنَ السُّوْقِ»، فَقَالَ: «لَا تَبِعْ مَا لَيْسَ عِنْدَكَ» رواه أحمد
“Aku berkata: “Ya Rasulullah, seorang lelaki datang dan bertanya kepadaku tentang jual beli barang yang tidak ada padaku, kemudian aku membelinya dari pasar”. Maka beliau bersabda: “Jangan kamu menjual apa yang tidak kamu miliki” (HR Ahmad).
Dan dari Amru bin Syu’aib dari bapanya dari datuknya, dia berkata: “Rasulullah SAW. bersabda:
«لَا يَحِلُّ سَلَفٌ وَبَيْعٌ، وَلَا شَرْطَانِ فِيْ بَيْعٍ، وَلَا رِبْحٌ مَا لَمْ تَضْمَنْ، وَلَا بَيْعٌ مَا لَيْسَ عِنْدَكَ» رواه أبو داود
“Tidak halal bagi salaf dan jual beli, dan tidak pula dua syarat dalam satu jual beli, dan tidak juga keuntungan apa yang tidak kamu jamin, dan juga tidak jual beli apa yang bukan milikmu” (HR Abu Dawud).
Ungkapan Rasulullah “mâ laysa ‘indaka -apa yang bukan milikmu-“ bersifat umum, termasuk di dalamnya apa yang bukan dalam pemilikanmu dan apa yang kamu tidak mampu menyerahkannya dan apa yang belum sempurna kepemilikanmu untuknya. Hal itu diperkuat oleh hadis-hadis yang dinyatakan dalam larangan tentang menjual apa yang belum diterima termasuk apa yang sempurna kepemilikannya disyaratkan serah terima. Maka semua itu menunjukkan bahawa siapa yang membeli yang mana memerlukan serah terima sehingga sempurna pembeliannya untuk barang itu, maka dia tidak boleh menjualnya sehingga dia menerimanya. Jadi, hukumnya adalah hukum menjual apa yang tidak dimiliki. Ini kerana sabda Rasulullah SAW. :
«مَنْ اِبْتَاعَ طَعَاماً فَلَا يَبِعْهُ حَتَّى يَسْتَوْفِيَهُ» رواه البخاري
“Barangsiapa yang membeli makanan maka jangan dia menjualnya hingga dia menerimanya” (HR al-Bukhari).
Dan kerana Abu Dawud meriwayatkan:
«أَنَّ النَّبِيَّ ﷺ نَهَى عَنْ أَنْ تُبَاعَ السِّلَعُ حَيْثُ تُبْتَاعُ حَتَّى يَحُوْزَهَا التُّجَّارُ إِلَى رِحَالِهِمْ»
“Nabi SAW. melarang barang dijual sebagaimana dibeli sehingga peniaga memindahkannya ke tempat mereka”.
Dan kerana Ibnu Majah meriwayatkan:
«أَنَّ النَّبِيَّ ﷺ نَهَى عَنْ شِرَاءِ الصَّدَقَاتِ حَتَّى تُقْبَضَ»
“Nabi SAW. melarang pembelian (barangan) sedekah sehingga diterima”.
Dan kerana al-Baihaqi meriwayatkan daripada Ibnu Abbas bahawa dia berkata: “Rasulullah SAW. bersabda kepada ‘Utab bin Usaid:
«إِنِّيْ قَدْ بَعَثْتُكَ إِلَى أَهْلِ اللهِ، وَأَهْلِ مَكَّةَ، فَانْهَهُمْ عَنْ بَيْعٍ مَا لَمْ يَقْبِضُوْا»
“Sesungguhnya aku mengutusmu kepada Ahlillah dan penduduk Mekah, maka laranglah mereka dari menjual apa yang belum mereka terima”.
Hadis-hadis ini jelas dalam larangan menjual apa yang belum mereka terima, sebab penjual belum memiliki sepenuhnya apa yang memerlukan serah terima maka tidak sempurna kepemilikan atasnya sehingga pembeli menerimanya dan kerana barang itu termasuk dalam jaminan penjual.
Dari sini menjadi jelas bahawa dalam kesahihan jual beli disyaratkan bahawa barang itu sudah dimiliki oleh penjual dan memiliki hak milik sepenuhnya atas barang tersebut. Sedangkan jika dia belum memilikinya atau dia memilikinya tetapi hak miliknya terhadap barang itu belum lengkap, maka dia tidak boleh menjualnya sama sekali. Ini termasuk apa yang dia miliki tetapi belum diterima di antara apa yang disyaratkan untuk serah terima bagi kesempurnaan jual belinya, iaitu al-makîl wa al-mawzûn wa al-ma’dûd (barang disukat, ditimbang dan dihitung). Adapun apa yang tidak disyaratkan untuk serah terima bagi hak milik sepenuhnya iaitu selain barang yang disukat, ditimbang atau dihitung seperti binatang, rumah, tanah dan seumpamanya, maka penjual boleh menjualnya sebelum dia menerimanya, sebab satu-satunya berlaku akad jual beli ialah dengan ijab dan kabul maka telah sempurna jual beli itu, sama ada dia telah menerima atau belum, sehingga dia menjual apa yang ada padanya hak milik yang sempurna untuknya. Jadi masalah jual beli tidak berkaitan dengan serah terima dan tidak adanya serah terima, melainkan berkaitan dengan pemilikan barang yang dijual dan dengan sempurnanya pemilikan ini untuk barang tersebut. Adapun bolehnya menjual apa yang belum diterima selain barang yang disukat, ditimbang dan dihitung, hal ini ditetapkan oleh hadis sahih.
Imam al-Bukhari telah meriwayatkan daripada Ibnu Umar bahawa unta milik Umar mengalami kesulitan:
«فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ ﷺ بِعْنِيْهِ، فَقَالَ عُمَرٌ: هُوَ لَكَ فَاشْتَرَاهُ ثُمَّ قَالَ: هُوَ لَكَ يَا عَبْدَ اللهِ بْنِ عُمَرَ، فَاصْنَعْ بِهِ مَا شِئْتَ»
“Maka Nabi SAW. bersabda kepadanya: “Juallah kepadaku”. Lalu Umar berkata: “Dia untukmu”. Maka beliau membelinya, kemudian beliau bersabda: “Dia untukmu ya Abdullah bin Umar lakukanlah apa yang kamu mahu dengannya”.
Dan tasharruf pada barang yang dijual dengan menghibahkannya sebelum serah terimanya menunjukkan kepemilikan lengkap atas barang yang dijual sebelum serah terima dan menunjukkan dibolehkan menjualnya kerana penjual(iaitu pembeli unta) telah memiliki hak milik sepenuhnya baginya. Atas dasar itu maka apa yang dimiliki oleh si penjual dan telah sempurna kepemilikannya atasnya maka dia boleh menjualnya, dan apa yang belum dia miliki atau belum sempurna kepemilikan atasnya maka dia tidak boleh menjualnya.
Atas dasar itu, apa yang dilakukan oleh peniaga kecil adalah tawar-menawar dengan pembeli untuk sesuatu barang, kemudian bersepakat mengenai harga dan dia menjualnya kepada pembeli, kemudian dia pergi kepada peniaga lain untuk membelinya bagi orang yang menjual untuknya, kemudian datang dan menyerahkannya kepada pembeli itu adalah tidak boleh, kerana itu adalah menjual apa yang belum dia miliki. Kerana apabila ditanya kepada peniaga tentang barang, barang itu belum ada padanya dan dia belum memilikinya, tetapi dia tahu bahawa barang itu berada di pasar dengan peniaga yang lain, maka dia berbohong dan memberitahu pembeli bahawa barang itu ada dan dia menjualnya. Kemudian dia pergi untuk membelinya setelah jual beli barang itu. Dan ini adalah haram, tidak boleh kerana dia menjual barang yang belum dia miliki.
Demikian juga apa yang dilakukan oleh pemilik kedai sayur dan pasar bijirin dengan menjual sayur-sayuran dan gandum sebelum pemilikan mereka lengkap untuk mereka. Sebahagian peniaga membeli sayur-sayuran atau bijirin daripada petani dan sebelum dia menerimanya, dia menjualnya. Ini adalah tidak boleh kerana sayur-sayuran dan gandum termasuk makanan yang tidak sempurna kepemilikannya kecuali dengan serah terima.
Begitu juga apa yang dilakukan oleh pengimport barang dari negara lain. Sebahagian mereka membeli barang dan syarat di dalamnya barang itu dihantar ke dalam negara, kemudian mereka menjualnya sebelum barang itu tiba, iaitu sebelum sempurna kepemilikan mereka untuk barang tersebut. Ini adalah jual beli yang haram kerana ia adalah penjualan yang sama sekali belum menjadi milik mereka sepenuhnya].
Saya berharap ada kecukupan dalam hal ini, wallâh a’lam wa ahkam.
Saudaramu Atha’ bin Khalil Abu ar-Rasytah.
06 Zulkaedah 1444 H
26 Mei 2023 M
https://www.hizb-ut-tahrir.info/ar/index.php/ameer-hizb/ameer-cmo-site/89017.html
Sumber:
https://mediaumat.id/penjualan-barang-oleh-penjual-sebelum-dia-miliki-adalah-haram/
#MediaUmat #Peniaga #Penjual #JualBeli #HakMilik