DUTA-DUTA ALLAH SWT
Oleh: Ustaz Arief B. Iskandar
Haji adalah salah satu ibadah yang utama. Begitu utamanya, ibadah haji akan menghapuskan dosa-dosa pelakunya ibarat bayi yang baru lahir. Rasulullah SAW pernah bersabda, sebagaimana dituturkan oleh Abu Hurairah RA. “Siapa saja yang menunaikan ibadah haji, sementara di dalamnya dia tidak berbuat dosa dan kefasikan, maka dia akan kembali seperti pada hari saat dia dilahirkan oleh ibunya.” (Muttafaq ‘alaih).
Jabir bin Abdillah RA menuturkan bahawa Rasulullah SAW juga pernah bersabda, “Siapa saja yang telah menyelesaikan rangkaian ibadah haji, lalu kaum Muslim selamat dari lisan dan tangannya, maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu mahupun yang akan datang.” (HR Abu Ya’la).
Lebih dari itu, Rasulullah SAW pernah berdoa khusus bagi orang-orang yang beribadah haji, sebagaimana dituturkan oleh Abu Hurairah RA, “Ya Allah, ampunilah orang yang menunaikan ibadah haji dan ampunilah siapa saja yang memintakan ampunan untuk dirinya.” (HR ath-Thabarani dan Ibn Khuzaimah). Doa beliau pasti dikabulkan oleh Allah SWT.
Keutamaan lain ibadah haji ialah ianya dapat mengantarkan pelakunya masuk ke dalan syurga. Abu Hurairah RA menuturkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda, “Dari satu ibadah umrah ke ibadah umrah yang lain menjadi kafarat (penghapus dosa) di antara keduanya. Adapun haji mabrur tidak ada balasan (bagi pelakunya) kecuali syurga.” (Muttafaq ‘alaih).
Khusus bagi seorang Muslimah, pahala ibadah haji disetarakan dengan pahala jihad di jalan Allah SWT. Bahkan bagi Muslimah, ibadah haji adalah ‘jihad’ yang paling utama. Dalam hal ini Aisyah RA pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah SAW, kami melihat jihad adalah amalan yang paling utama. Bolehkah kami berjihad?” Rasulullah SAW menjawab, “Akan tetapi, jihad yang paling utama (bagi kaum Muslimah, pen.) adalah haji mabrur.” (HR al-Bukhari).
Lalu apakah tanda atau ciri-ciri haji mabrur itu? Haji mabrur dapat diketahui tandanya saat ibadah haji itu ditunaikan. Disebutkan bahawa haji mabrur adalah orang yang saat menunaikan ibadah haji tidak melakukan kemaksiatan apapun (Lihat: Imam an-Nawawi, Riyâdh ash-Shâlihîn, I/41).
Rasul SAW juga pernah ditanya, “Apakah ciri-ciri haji mabrur itu.” Beliau menjawab, “Selalu berkata-kata yang baik dan biasa memberi makan (kepada orang-orang yang memerlukan, pen.).” (Abu Thalib al-Makki, Qût al-Qulûb, II/39).
Menurut Imam al-Ghazali, ciri-ciri haji mabrur itu adalah pelakunya (saat kembali dari menunaikan ibadah haji) menjadi orang yang zuhud terhadap dunia, selalu rindu terhadap akhirat (syurga) dan sentiasa berusaha mempersiapkan diri untuk berjumpa dengan Allah Pemilik Kaabah setelah berjumpa dengan Kaabah (Al-Ghazali, Ihyâ’ ‘Ulûm ad-Dîn, I/272).
Imam al-Hasan RA berkata, “Sesungguhnya tanda/ciri bahawa ibadah haji diterima oleh Allah (haji mabrur) adalah ibadah haji yang menjadikan pelakunya meninggalkan berbagai maksiat, mengganti teman-temannya yang berperilaku buruk dengan orang-orang soleh, mengganti majlisnya yang penuh dengan senda-gurau dan kelalaian dengan majlis yang dipenuhi dengan zikir dan kewaspadaan. Siapa saja yang selaras perilakunya dengan apa yang disebutkan, bererti ibadah hajinya diterima oleh Allah (haji mabrur).” (Abu Thalib al-Makki, Qût al-Qulûb, II/44).
Al-Hasan pernah ditanya, “Apakah itu haji mabrur?” Dia menjawab, “Dia yang kembali dari berhaji menjadi seorang yang zuhud terhadap dunia dan rindu terhadap akhirat.” (As-Suyuthi, Durr al-Mantsûr, I/473; al-Qurthubi, Tafsîr al-Qurthubi, II/408).
Imam an-Nawawi berkata, di antara tanda haji mabrur adalah kembali dari menunaikan haji dalam keadaan menjadi lebih baik perilakunya dan tidak membiasakan diri bermaksiat kepada Allah SWT (As-Suyuthi, Hâsyiyah as-Suyuthi ‘alâ Sunan an-Nasâ’i, IV/98).
Dinyatakan pula oleh al-Fira’, “Haji mabrur adalah orang yang setelah haji tidak lagi terbiasa bermaksiat kepada Allah.” (Abu Hayyan al-Andalusi, Bahr al-Muhîth, II/263).
Alhasil, haji mabrur adalah haji yang mewujudkan ketakwaan pada pelakunya.
Yang menarik, dalam beberapa riwayat, keutamaan ibadah haji digandingkan dengan kemuliaan jihad. Rasulullah SAW pernah ditanya, “Amal apa yang paling utama?” Beliau menjawab, “Iman kepada Allah dan Rasul-Nya.” Beliau ditanya lagi, “Lalu apa?” Beliau menjawab, “Jihad fi sabilillah.” Beliau kembali ditanya, “Kemudian apa lagi?” Beliau menjawab lagi, “Haji mabrur.” (Muttafaq ‘alaih).
Nabi SAW juga pernah bersabda, “Duta Allah itu ada tiga: orang yang terlibat dalam perang (di jalan Allah), orang yang beribadah haji dan orang yang berumrah.” (HR al-Hakim dan al-Baihaqi).
Dua hadis di atas menyandingkan keutamaan ibadah haji dengan kemuliaan jihad. Hadis kedua sama-sama menyebutkan orang yang pergi berjihad dan yang pergi berhaji sebagai duta-duta Allah SWT. Adapun hadis pertama malah menempatkan jihad di urutan pertama sebelum haji.
Benar. Di negeri ini, jihad dalam erti perang tidaklah berlaku kerana negara ini bukan wilayah perang. Namun, sebenarnya ada amalan yang pahalanya setara dengan amalan jihad, bahkan dinyatakan sebagai ‘jihad’ paling utama. Baginda Rasulullah SAW bersabda, “Jihad yang paling utama adalah menyatakan kebenaran di hadapan penguasa yang zalim.” (HR at-Tirmidzi dan Abu Dawud).
Semoga kita diberikan oleh Allah SWT agar dapat meraih keutamaan haji/umrah dan jihad fi sabilillah atau meraih pahala yang setara dengan jihad fi sabilillah. Amin.
Wa mâ tawfîqi illâ bilLâh.
#haji #manasikhaji #zulhijjah #hajimabrur #jihadfiisabilillah