Haji: Pemindahan Pemikiran Dan Pembentukan Jaringan Ulama Nusantara
Oleh : Ahmad Abdurrahman al-Khaddami
Berbeza dengan sekarang, ibadah haji pada masa lalu bukan sekadar ibadah ritual semata, ia juga merupakan pertemuan sosial-politik dan perjalanan intelektual, terutamanya buat Muslim Bilad al-Jawi (Nusantara). Dek kerana jarak dan waktu yang ditempuh bukanlah sekejap semasa bermukim di al-Haramain, bulan haji ini dimanfaatkan sebaik mungkin dan bukan sekadar beribadah di tempat-tempat mulia iaitu Masjid al-Haram dan Masjid Nabawi. Bulan haji juga digunakan untuk menjalinkan hubungan sosial politik dengan kaum Muslim di dunia, juga dengan perwakilan sang Khalifah di Kairo ataupun Istanbul, serta membentuk jaringan ulama yang kelak dikenali sebagai Ashabul Jawi atau al-Jawiyyin.
Sejak zaman Rasulullah SAW. dan para Sahabat Ra., Hijaz atau al-Haramain iaitu Mekah dan Madinah telah menjadi pusat keilmuan Islam terutama dari sanad murid-muridnya Sayyidina Abdullah bin Abbas dan Sayyidina Abdullah bin Umar. Bahkan keadaannya tetap demikian walaupun ibu kota Khilafah silih berganti sehingga masa Khilafah Uthmaniyyah di Istanbul. Peranan Syarif Mekah sebagai Wali Hijaz sangat terkait rapat dengan aktiviti ilmiah para pelajar dari berbagai negeri. Bilad al-Jawi (Nusantara) sebagai negeri Islam menjadikan Hijaz sebagai “kiblat” Islamisasi khususnya semasa Kesultanan dan setelahnya. Pattani, Johor, Acheh, Minangkabau, Palembang, Cirebon, Banten, Mataram, Makassar, Banjar, Sambas, Mindanao sehingga Bima dan Sumbawa adalah diantara sebahagian dari Bilad al-Jawi/Nusantara yang terhubung secara keilmuan dengan Hijaz, tempat ibadah Haji dilaksanakan.
Dalam Sajarah/Kesultanan Banten ada disebutkan bahawa telah dikirim utusan yang berasal dari Sumedang atas perintah Amir Banten iaitu Pangeran Ratu Ibn Maulana Muhammad (kemudian dikenali sebagai Sultan Abu al-Mafakhir Abdul Qadir) kepada Syarif Mekah, Sayyid Zaid ibn Muhsin al-Hasani di Hijaz. Sebaik pulang dari Mekah, para utusan bukan hanya menerima pemberian gelaran atas sang Sultan, tetapi juga membawa beberapa kitab yang ditujukan untuk Sultan Abu al-Mafakhir mahupun puteranya, Sultan Abu al-Ma’ali Ahmad dari Ulama Mekah, Imam Muhammad ibn ‘Allan ash-Shiddiqi, penulis Dalîl al-Fâlihîn Syarh Riyâdh ash-Shâlihîn. Di antara utusan yang kembali ialah Imam Haji Wangsakara, Mufti Kesultanan Banten sekaligus pendiri Kaariaan Tangerang. Hubungan ini terus berlanjut sehingga era sang Cucu, Sultan Abu al-Fath Abdul Fattah, yang dikenali sebagai Sultan Ageung Tirtayasa, yang memiliki menantu sekaligus Qadhi Kesultanan Banten, iaitu Syeikh Yusuf Makassar, alumni Hijaz atau al-Haramain. Bahkan di lembaga pendidikan Kasunyatan di Banten terdapat ulama yang dikenali sebagai “Syeikh Madinah”. Bukan hanya di Banten, disebutkan juga ulama yang membantu perlawanan Jihad-nya Syeikh Yusuf Makassar, iaitu Syeikh Abdul Muhyi Pamijahan di Priangan. Beliau merupakan murid Syeikh Abdurrauf Singkel, Mufti Kesultanan Acheh dan Syeikh Abdussyakur Banten. Ketiganya merupakan alumni Hijaz atau al-Haramain. Di Goa Safarwadi, tempat Syeikh Abdul Muhyi membina para muridnya, terdapat simbolisasi “Jalan ke Mekah”. Inilah jaringan Ashabul Jawi yang terbentuk dan berperanan dalam memindahkan pemikiran dan hukum Islam di Nusantara, sejak Acheh sehingga Makassar. Jaringan tersebut memiliki pengaruh kuat dalam politik Kesultanan mahupun Jihad fi Sabilillah melawan Kafir Penjajah sekitar abad ke-17 M.
Dalam suasana panas perlawanan jihad di berbagai wilayah Bilad al-Jawi (Nusantara), terutama setelah Banten, Mataram dan Makassar “dikalahkan”, pada abad ke-18 – ke-19 M terbentuk jaringan Ashabul Jawi selanjutnya di antara tokohnya seperti:
(1) Syeikh Abdusshamad al-Asyi al-Falimbani;
(2) Syeikh Daud al-Fathani;
(3) Syeikh Abdul Wahhab al-Buqisi;
(4) Syeikh Arsyad al-Banjari al-Martapuri;
(5) Syeikh Ahmad Khathib as-Sambasi;
(6) Syeikh Junaid al-Batawi;
(7) Syeikh Abdul Mannan at-Tarmasi;
(8) Syeikh Muhammad Shahih asy-Syanjuri;
(9) Syeikh Muhammad Adzra`i al-Qaruti.
Dari daftar ulama tersebut diketahui jaringan alumni al-Haramain menjadi penghubung Bilad al-Jawi (Nusantara) dari Pattani, Sumatera, Jawa, Kalimantan sehingga Sulawesi. Di antara karya Syeikh Abdusshamad al-Falimbani pada masa perlawanan ialah Nashîhah al-Muslimîn wa Tadzkirah al-Mu‘minîn fî Fadhl al-Jihâd fî SabililLâh wa Karamât al-Mujâhidîn. Beliau secara khusus menulis risalah untuk para penguasa Mataram yang terpecah-belah setelah perjanjian Giyanti supaya melaksanakan jihad terhadap kafir penjajah. Bahkan disebutkan beliau syahid saat berjihad di tanah Pattani Darussalam.
Adapun Syeikh Arsyad al-Banjari merupakan mufti Kesultanan Banjar di Kalimantan. Di antara karyanya, iaitu Sabîl al-Muhtadîn, menjadi panduan masyarakat dalam menerapkan syariah Islam. “Sikap keras” beliau terhadap adat-tradisi yang menyalahi Syariah sangatlah mahsyur. Sanad keilmuan Syeikh Abdusshamad dan Syeikh Arsyad masih tetap terjaga sehingga saat ini. Sebagaimana yang dicatatkan dalam Al-Iqd al-Farîd, tsabat-nya al-Musnid ad-Dunya asy-Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani, ulama bernasab Sumatera, namun mukim dan wafat di Mekah, pusat pelaksanaan ibadah haji.
Pada kurun abad ke-19 – ke-20 M, setelah “perlawanan besar” Haji Prawatasari, Kyai Abdul Hamid (Pangeran Dipanegara) dan Ki Bagus Rangin serta penghapusan Sumedanglarang, Banten dan Palembang, juga masa akhir Perang Acheh, Hijaz—sebagai pusat ibadah, sosial, politik dan intelektual—berperanan besar dalam mempertahankan islamisasi di Bilad al-Jawi (Nusantara) dari serangan Pembaratan dan Kristianisasi yang dilakukan oleh kafir penjajah. Jaringan Ulama dan Haji terbentuk lebih luas dan tersebar ke wilayah terjauh, membangkitkan perlawanan pemikiran, politik dan ketenteraan di berbagai tempat. Hal ini membuatkan kafir Belanda membatasi perjalanan haji dan mengirimkan ejen penyusup seperti Snouck Hurgronje ke Mekah.
Di antara sanad Hijaz atau al-Haramain yang terbentuk kemudian, tetap terjaga sehingga saat ini adalah seperti berikut :
1- Muhammad ibn Umar al-Bantani/Syeikh Nawawi dari:
2- Ibn Zaini Dahlan al-Makki dari Utsman ibn Hasan ad-Dimyathi al-Makki dari Abdullah ibn Hijazi asy-Syarqawi al-Azhari dan Muhammad ibn Ali asy-Syinwani al-Azhari.
3- Abdusshamad ibn Abdurrahman al-Asyi al-Falimbani dari ‘Aqib ibn Hasanuddin al-Falimbani al-Madani dari Abdullah ibn Salim al-Bashri al-Makki dari Ibn ‘Allan al-Makki dan Ibn al-‘Ala` al-Babili al-Azhari.
4- Muhammad Shalih as-Samarani dari Ibn Zaini Dahlan al-Makki.
5- Mahfuzh ibn Abdullah ibn Abdul Mannan at-Tarmasi dari:
6- Ayahnya dari kakeknya dari Ibrahim al-Bajuri al-Azhari.
7- Umar asy-Syami al-Makki dari Ibrahim al-Bajuri al-Azhari.
8- Abu Bakar ibn Muhammad Syattha al-Makki dari Ibn Zaini Dahlan al-Makki.
9- Muhammad Shalih ibn Umar as-Samarani dari Ibn Zaini Dahlan al-Makki.
10- Muhammad Khalil al-Bankalani dari:
Ibn Zaini Dahlan al-Makki dari Utsman ad-Dimyathi al-Makki.
11- Nawawi al-Jawi dari Ibn Zaini Dahlan al-Makki.
Ahmad al-Khathib ibn Abdul Lathif al-Mankabawi dari:
Ibn Zaini Dahlan al-Makki dari Utsman ad-Dimyathi al-Makki.
12- Nawawi al-Jawi dari Ibn Zaini Dahlan al-Makki.
Mukhtar ibn ‘Atharid asy-Syanjuri al-Bughuri al-Batawi dari Zainuddin ash-Shumbawi dari Nawawi al-Jawi.
Dari data tersebut dapat difahami bahawa jaringan Ashabul Jawi sudah sampai ke Pulau Sumbawa di wilayah Timur dan sanad Mekah tersambung ke “kiblat” keilmuan dunia Islam, iaitu al-Azhar asy-Syarif.
Dari sanad-sanad ini, para ulama “pergerakan” seperti KH Hasyim Asy’ari Jombang (Nahdlatul Ulama), KH Ahmad Dahlan Yogya (Muhammadiyyah), KH Tb. Ahmad Bakri Sempur (as-Salafiyyah) dan KH Rd. Abdullah ibn Nuh Bogor mengambil ilmu. Ulama yang menjadi muara utama sanad alumni Hijaz atau al-Haramain pada era ini ialah Sayyid Ahmad ibn Zaini Dahlan al-Hasani asy-Syafi’i, Ulama Ahlul Bait, Mufti Khilafah Utsmaniyah di Hijaz. Beliau dikenali sebagai pejuang “garis depan” membela Khilafah Uthmaniyyah, terutamanya pada masa Khalifah Abdul Hamid II. Beliau menjelaskan dalam Al-Futûhât al-Islâmiyyah:
“Ulama sepakat, bagi yang meniti perjalanan beberapa Daulah Islam, akan mengetahui dengan ilmu nan qath’i bahawa Daulah Uthmaniyah adalah yang terbaik dalam perjalanan beberapa Daulah Islam setelah al-Khulafa‘ ar-Rasyidun kerana mereka bermazhab Ahlus Sunnah, sahih akidahnya, penolong Ahlus Sunnah, mengagungkan Sahabat, Ahlul Bait, para Ulama dan orang-orang soleh. Bagi mereka tidak satu pun adanya ketergelinciran dan berbuat bid’ah. Bagi mereka terdapat futûhât yang terkenal, jihad dan perang-perang besar. Mereka menegakkan syiar-syiar Islam, terutama di al-Haramain asy-Syarifain. Bagi mereka di dalamnya terdapat sedekah dan kebaikan yang banyak. Mereka juga mengatur urusan syiar-syiar haji serta mengamankan jalan bagi para Haji dan orang yang berziarah. Wajib atas setiap Muslim untuk berdoa bagi mereka keteguhan, penguatan, bantuan, pertolongan dan taufiq terhadap apa yang dicintai Allah dan Dia redha-Nya.”
Di antara kitab sanad Jawi-Hijaz/al-Haramain yang senantiasa diajarkan dan disampaikan di berbagai majlis dan sekolah pondok sehingga saat ini ialah At-Taqrîb karya Imam al-Qadhi Abu Syuja’, Sullâm at-Tawfîq karya Habib Abdullah ibn al-Husain, Syarh Mukhtashar Jiddan atas al-Ajrumiyyah karya Sayyid Ibn Zaini Dahlan, Tijân ad-Durari syarh atas Risâlah-nya Syeikh Ibrahim al-Bajuri, Kâsyifah as-Sajâ’ syarh atas Safînah an-Naja-nya Syeikh Salim ibn Sumair al-Hadhrami dan Maraqi al-‘Ubûdiyyah syarh atas Bidâyah al-Hidâyah-nya Hujjah al-Islam Imam al-Ghazali. Ketiganya karya Syeikh Nawawi al-Bantani dan Syarh Ta’lîm al-Muta’allim-nya Imam az-Zarnuji karya Syeikh Ibrahim ibn Isma’il. Termasuk yang tersebar melalui jaringan ini ialah Al-Hushûn al-Hamîdiyyah karya Sayyid Husain Afandi al-Jasr dan Syawâhid al-Haqq karya Syaikhuna al-Qadhi Yusuf an-Nabhani yang pernah mukim di Madinah. Di akhir kitab disebutkan:
“Sungguh telah selesai penulis kitab ini dengan pertolongan Allah Taala dan taufiq-Nya melalui tangan penulisnya, al-Faqir Yusuf ibn Isma’il an-Nabhani. Semoga Allah memaafkan atas kesalahannya. Tanggal 21 Safar al-Khair tahun 1323 H di Kota Beirut, pada masa Khilafah al-Ghazi al-A’zham al-Khaqan al-Akram Sayyidina wa Maulana Sultan Abdul Hamid II al-’Utsmani. Semoga Allah menolong beliau dan memuliakan Daulah dan Din dengannya serta menjaganya dari keburukan musuh- musuhnya semuanya. Alhamdulillah Rabb al-’Alamîn.”
Demikianlah sanad dan atsar Ashabul Jawi, yang menjadikan ibadah haji sebagai momentum pemindahan pemikiran dan pembentukan jaringan ulama. Oleh kerana itu, menjadi aneh jika mereka yang mengaku melanjutkan sanad Ashabul Jawi “menolak” berbagai ajaran Islam seperti muamalah, hudûd, jinzayah, jihad dan khilafah yang sehingga kini masih tertulis dalam kitab-kitab Ulama Ashabul Jawi. Lalu dari siapakah mereka “mengambil ilmu”?
WalLâhu a’lam.