HUKUM KHIDMAT MENYEMBELIH KORBAN TANGGAL 14 ZULHIJJAH
Oleh : KH. M. Shiddiq Al-Jawi
Soalan :
اَلسَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللّٰـهِ وَبَرَكاتُهُ
Ustaz, afwan mahu bertanya. Ana lihat teman-teman saya ada yang terlibat melakukan akad ajir pemotongan haiwan korban pada hari Ahad yang mana itu sudah di luar hari tasyriq, dengan alasan sudah merujuk kepada seorang ustaz yang Aidiladhanya pada hari Rabu 28 Jun 2023. Pertanyaan saya :
(1) Apa boleh ada ustaz yang memfatwakan seperti itu? Padahal Ustaz itu mengikuti pendapat bahawa Aidiladha-nya kelmarin (Rabu 28 Jun 2023), bukan hari ini, Khamis 29 Jun 2023.
(2) Bolehkah mengadakan akad ijarah untuk mempekerjakan tukang sembelih yang akan menyembelih korban pada hari Ahad tanggal 2 Julai 2023 (tanggal 14 Zulhijjah).
Mohon jawapannya sementara perkara itu belum terjadi.
Jawapan :
Wa ‘alaikumus salam wr.wb.
Bagi seseorang yang ber-Aidiladha pada hari Rabu 28 Jun 2023, maka hari Ahad 2 Julai 2023 bermakna sudah tanggal 14 Zulhijjah 1444 H. Jelas ini bererti sudah melangkaui batas akhir waktu penyembelihan, iaitu tibanya waktu maghrib pada hari tasyriq ketiga, iaitu hari Sabtu 13 Zulhijjah 1444 atau tanggal 1 Julai 2023.
Ustaz tersebut jika memfatwakan bolehnya menyembelih korban tanggal 14 Zulhijjah 1444 H (Ahad 2 Julai 2023) bererti telah memfatwakan pendapat mujtahid lain yang bukan pendapat mujtahid yang berlaku untuk dirinya sendiri.
Hal ini tidak boleh secara syarak, kerana dalam persoalan ijtihadiyah yang sifatnya khilafiyah, hukum Allah yang berlaku bagi seseorang dalam satu masalah, adalah satu, tidak berbilang (lebih dari satu pendapat), demikian sebagaimana penjelasan Imam Taqiyuddin An Nabhani dalam kitabnya Al-Syakhshiyyah Al-Islamiyyah Juz I.
Imam Taqiyuddin An Nabhani, rahimahullah, mengatakan :
حكم الله بالنسبة للشخص الواحد في المسألة الواحدة واحد لا يتعدد
“Hukum Allah yang berlaku bagi satu orang dalam satu masalah, adalah satu, tidak berbilang (lebih dari satu pendapat).” (Taqiyuddin An Nabhani, Al-Syakhshiyyah Al-Islamiyyah, Juz I).
Hal ini berlaku secara umum, baik bagi seorang muslim biasa mahupun bagi seorang mufti. Maka sebagaimana muslim tidak boleh mengamalkan pendapat lain yang bukan pendapat bagi dirinya, maka demikian pula seorang mufti, dia tidak boleh memfatwakan pendapat mazhab lain yang bukan mazhab yang berlaku untuk dirinya.
Ini jawapan untuk pertanyaan pertama.
Adapun jawapan untuk pertanyaan kedua, bahawa khidmat memotong haiwan korban itu hanya cabang dari masalah pokok, iaitu hari penyembelihan. Jika tukang sembelih memotong di hari penyembelihan yang dibolehkan syarak, maka khidmat memotongnya boleh. Jika tukang sembelih itu memotong pada hari penyembelihan yang tidak dibolehkan syarak, maka khidmat memotongnya juga tidak boleh hukumnya.
Kaedah fiqih dalam masalah ini menyebutkan :
اَلتَّابِعُ تَابِعٌ
At-Taabi’u taabi’un.
(Hukum masalah cabang itu mengikuti masalah pokoknya).
(Muhammad Shidqi Al Burnu, Mausu’ah Al Qawa’id Al Fiqhiyah, Juz II, hlm.158).
Sekian penjelasan kami. Semoga bermanfaat.
Muhammad Shiddiq Al-Jawi
Banyumas, 29 Jun 2023