[KOLUM SIYASAH] Politik Islam Melahirkan Kesatuan dan Perpaduan yang Hakiki
Kemelut kesatuan dan perpaduan pada hari ini nampaknya terus berpanjangan. Para pemimpin dan parti-parti politik terus bersengketa antara satu sama lain dan berlumba-lumba mengetengahkan cara berfikir masing-masing demi memperolehi kekuasaan. Hakikatnya, sistem demokrasi, secara alami, melahirkan parti politik berasaskan sekularisme, nasionalisme, patriotisme, kebendaan dan parti yang lahir mendakwa ia berjuang atas dasar Islami pun, dasar-dasarnya adalah kabur dan tidak jelas. Secara hakikinya, ini merupakan bentuk-bentuk halangan dalam mencapai kesatuan dan perpaduan. Retorik dan kata-kata politik yang penuh tipu daya berasaskan konsep- konsep di atas tidak akan pernah membawa kepada apa jua bentuk penyatuan yang hakiki. Akhirnya kesatuan dan perpaduan hakiki yang didambakan hanya tinggal khayalan dan apa yang mampu dibentuk hanyalah pakatan kepentingan bersama bersifat sementara.
Keadaan ini amat berbeza sama sekali dalam suasana kehidupan yang berasaskan hukum syarak. Islam membenarkan kepelbagaian parti politik namun harus memenuhi syarat-syarat di bawah:
1.Parti politik wajib berasaskan akidah Islam dan menjadikan amar makruf nahi mungkar sebagai fokus perjuangan. Kewajipan tersebut difahami dari firman Allah SWT:
“Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (Al Imran:104)
Kefahaman yang mendalam terhadap ayat tersebut membawa kepada keberuntungan yang dijanjikan oleh Allah SWT. Sikap sedemikian akhirnya membentuk kekuatan kesatuan dan perpaduan bersama melalui aktiviti yang seragam dan jelas, secara alami.
2.Parti politik wajib memuhasabah pemerintah dan segala agensi
-agensinya. Mereka wajib peka dan prihatin terhadap sebarang bentuk kemungkaran. Allah SWT dan RasulNya memerintahkan setiap individu Muslim dan parti politik Islam agar mencegah kemungkaran seperti dalam sabda baginda SAW:
“Barang siapa yang melihat kemungkaran dari kalangan kamu, hendaklah dia mencegahnya dengan tangannya, jika dia tidak mampu maka (cegahlah) dengan lidahnya (perkataan), jika dia tidak mampu (juga), maka (cegahlah) dengan hatinya (membenci), demikian itulah selemah-lemah iman.” [HR Muslim]
Maka secara alami, tanggungjawab ini membentuk tugasan mulia berasaskan kepada kesatuan pemikiran dan pemahaman yang akan melahirkan tindakan yang konsisten dari kalangan parti-parti politik di dalam Islam.
3.Parti politik Islam tidak bertujuan untuk memiliki kekuasaan.
Mereka memahami tanggungjawabnya sebagai entiti yang memastikan bahawa pemerintah menjalankan kewajipannya secara konsisten sesuai dengan hukum syarak dan memastikan penyatuan umat tidak diganggu gugat. Secara alami, parti-parti politik Islam akan sentiasa menjaga kesatuan dan perpaduan umat yang menjadi agenda utama aktiviti politik mereka dan konsistensi dalam penerapan hukum Islam oleh pemerintah.
Di dalam Islam, parti-parti politik memiliki karakter dan objektif penubuhan yang sama. Tanggungjawab mereka juga tidak berbeza. Mungkin sahaja terdapat perbezaan dalam cara kerja parti namun tujuan utamanya adalah sama. Kewujudan parti-parti politik di dalam Islam juga akan memastikan bahawa masyarakat kekal konsisten dalam menjadikan hukum syarak sebagai pengikat pemikiran, kesedaran dan peraturan hidup mereka. Insya-Allah di bawah pemerintah Khilafah ala minhaj nubuwah ini akan menjadi kenyataan.
Sumber: mykhilafah