Peranan Wanita Dalam Politik Islam
Oleh: Najmah Saiidah
Wanita Wajib Berpolitik
Islam memandang wanita sebagai sebahagian daripada masyarakat secara keseluruhan. Wanita mempunyai kewajipan yang sama seperti lelaki untuk terlibat dalam politik. Mereka sama-sama berkewajipan untuk mewujudkan kesedaran politik dalam diri mereka dan masyarakat secara amnya. Cuma, politik dalam konsep Islam tidak terhad kepada masalah kekuasaan dan perundangan semata-mata, melainkan meliputi pemeliharaan segala urusan umat di dalam negara mahupun luar negara, baik yang menyangkut aspek negara mahupun umat.
Negara bertindak secara langsung untuk mengatur dan menjaga urusan umat. Umat bertindak sebagai penyelia dan pembetulan pelaksanaan peraturan oleh negara. Apabila umat Islam berusaha menggunakan seluruh potensi manusia untuk menyelesaikan masalah umat, pada dasarnya mereka sudah menjalankan aktiviti politik.
Kewajipan berpolitik antara lain didasarkan pada firman Allah SWT:
وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ١٠٤
“Hendaklah ada di antara kalian segolongan umat yang menyerukan kebaikan (Islam) serta melakukan amar makruf nahi mungkar. Mereka itulah orang-orang yang beruntung.” [TMQ Ali Imran (3): 104].
Rasulullah SAW., sebagaimana yang diceritakan oleh Hudzayfah ra. juga bersabda: “Sesiapa sahaja yang tidak mempedulikan kepentingan umat Islam, bererti dia bukanlah termasuk di antara mereka. Sesiapa sahaja yang tidak berada pada waktu pagi dan petang sebagai pemberi nasihat untuk Allah dan Rasulnya, untuk Kitab-Nya, untuk pemimpinnya dan untuk umat Islam secara umumnya, bererti dia tidak termasuk dalam kalangan mereka.” (HR ath-Thabarani).
Kedua-dua nas ini menjelaskan bahawa Allah dan Rasul-Nya memerintahkan umat Islam, baik lelaki mahupun wanita supaya memperhatikan atau memikirkan urusan umatnya, termasuk memperjuangkan agar usaha menjaga urusan umat dilaksanakan. Oleh itu, politik adalah sebahagian yang diwariskan daripada ajaran Islam. Di sisi lain, kata man dan ummah menunjukkan bahawa perintah tersebut terpakai secara amnya kepada lelaki mahupun wanita. Kemudian, bagaimana Islam mengatur penglibatan wanita dalam politik?
Tuntunan Islam
Sejak Rasulullah SAW. diutuskan untuk menyebarkan risalah Islam, generasi awal muslimah telah terlibat secara aktif dalam gerakan dakwah bersama umat Islam yang lain untuk melakukan transformasi sosial, mengubah masyarakat jahiliah menjadi masyarakat Islam, sehingga dapat diwujudkan masyarakat Islam di Madinah. Pada zaman Khulafaur Rasyidin dan para khalifah sesudahnya, peranan wanita Islam dalam arena kehidupan termasuk dalam politik juga begitu besar, baik dalam kegiatan amar makruf nahi mungkar, mengoreksi penguasa, bahkan dalam aktiviti jihad.
Istimewanya, dalam masa yang sama mereka juga dapat menjalankan peranan utama sebagai umm[un] wa rabbatul bayt (ibu dan pengurus rumah suaminya), berjaya mencetak generasi terbaik, generasi mujahid dan mujtahid yang dapat membina tamadun Islam yang tinggi dan cemerlang. Mereka adalah generasi yang lahir dari ibu yang memahami Islam, yang mengajarkan Islam kaffah kepada anak-anak mereka, dalam masa yang sama memberi kefahaman kepada mereka bahawa Islam sebagai mabda’ (ideologi) yang mengatur seluruh aspek kehidupan. Tidak pelik jika umat Islam dalam lingkungan tersebut tampil sebagai khayru ummah (umat terbaik).
Terdapat Khadijah binti Khuwailid ra. Beliau sentiasa mendampingi dan menyemarakkan semangat perjuangan Rasulullah SAW.. Ada juga Sumayyah binti Khubath, seorang syahidah pertama. Ada Asma binti Abu Bakar. Dia yang membuka jalan kepada Rasulullah dan ayahnya berhijrah ke Madinah. Ada Asma binti Yazid, seorang pemidato yang hebat yang mewakili wanita dalam majlis syura. Ada Khaulah binti Malik bin Tsa’labah yang tidak teragak-agak mengoreksi Amirul Mukminin Umar bin Khattab. Mereka adalah antara wanita yang mempunyai kedudukan strategik dalam peranan politik.
Tampak jelas, begitulah sempurnanya Islam mengatur penglibatan wanita dalam politik. Islam sangat menjaga kemuliaan dan ketinggian martabat wanita. Oleh itu, syariah Islam telah memberikan batas-batas yang jelas mengenai kegiatan politik wanita seperti berikut:
1. Kewajipan mendidik anak-anaknya dan wanita
Seorang wanita mempunyai tanggungjawab utama sebagai umm[un] wa Rabbah al-bait (ibu dan pengurus rumah suaminya). Peranan ibu merupakan peranan politik yang sangat strategik. Jika dia menjalankan peranan ini dengan baik, akan lahir generasi berkualiti unggul yang akan menjadi pejuang Islam.
Dia juga mempunyai tanggungjawab untuk membina wanita Islam yang lain bagi memenuhi peranannya sebagai awam. Membina wanita Islam adalah salah satu aktiviti dakwah.
2. Wajib melakukan amar makruf nahi mungkar
Aktiviti ini merupakan kewajipan bagi lelaki dan wanita. Nas-nas yang berkaitan dengan masalah ini bersifat umum, terpakai kepada lelaki dan wanita. Dalilnya sangat tegas (Lihat: QS Ali Imran [3]: 104; QS at-Taubah [9]: 71).
3. Kewajipan menasihati dan memuhasabah penguasa
Sekiranya penguasa menetapkan suatu peraturan yang menyalahi hukum syariah atau ada keperluan untuk rakyat yang terlepas daripada penguasa, maka wajib bagi setiap umat Islam termasuk wanita Islam untuk memuhasabah penguasa supaya dia dapat memperbaiki kesalahan tersebut. Pernah berlaku pada masa kepimpinan Khalifah Umar bin al-Khattab ra., seorang wanita, Khaulah binti Hakim bin Tsa’labah, memprotes dasar Khalifah Umar yang menetapkan sejumlah mahar tertentu untuk wanita kerana tingginya mahar yang dituntut oleh wanita pada masa itu. Kemudian Khalifah Umar menyedari kesilapannya dan segera menarik balik keputusannya. Dia berkata, “Wanita ini benar dan Umar salah.”
4. Hak dan kewajipan baiat
Dalam Islam, sahnya pelantikan seorang khalifah itu adalah dengan baiat. Islam memberi hak dan kewajipan untuk melakukan baiat khalifah kepada wanita seperti mana kepada lelaki. Ummu Athiyah berkata, “Kami berbaiat kepada Rasulullah SAW.. Lalu beliau membacakan kepada kami agar jangan menyekutukan Allah dengan apapun dan melarang kami untuk niyaahah (meratapi mayat)…” (HR al-Bukhari).
5. Hak memilih dan dipilih menjadi ahli Majlis Umat
Majlis Umat ialah struktur Negara Khilafah yang merupakan wakil rakyat. Majlis ini bertugas memberikan nasihat dan pendapat kepada Khalifah. Majlis ini juga bertugas memuhasabah dan menasihati penguasa jika cara pemenuhan yang ditetapkan oleh Khalifah bertentangan dengan syarak. Ibnu Hisyam daripada Kaab bin Malik menyebutkan bahawa setelah 73 lelaki dan 2 wanita (Nasibah binti Kaab dan Asma binti Amr bin Adi) melakukan Baiat Aqabah 2, Rasulullah SAW. bersabda, “Sila bawa 12 orang wakil daripada kalian yang pada mereka ada tanggungjawab ke atas kabilahnya masing-masing.” (HR Ahmad).
6. Kewajipan menjadi ahli parti politik
Kewujudan parti politik merupakan pemenuhan kewajipan daripada Allah SWT (Lihat: QS Ali Imran [3]: 104). Parti politik wujud untuk memastikan agar semua hukum-hukum Allah mesti dilaksanakan secara keseluruhan oleh manusia dalam kehidupannya sepanjang zaman. Kewujudannya adalah wajib bagi umat Islam, sama ada sistem Islam dilaksanakan di dunia ini atau tidak. Cuma bezanya ialah jika ada sistem Islam, kewajipan untuk beraktiviti di dalamnya adalah fardhu kifayah.
7. Haram bagi wanita menduduki tampuk kekuasaan
Apa yang dimaksud dengan wilayah kekuasaan/pemerintahan adalah wilayah mengatur urusan umat yang dilakukan secara langsung dan menyeluruh, misalnya menjadi penguasa atau ketua negara. Penguasa dipandang sebagai seorang yang bertanggungjawab secara langsung untuk menguruskan urusan umat. Dalam sistem Islam, jawatan penguasa termasuk khalifah (ketua negara), mu’awwin tafwiidh (pembantu khalifah dalam urusan pemerintahan), wali (ketua wilayah) dan amil (ketua daerah). Rasulullah SAW. telah bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abi Bakrah ra.:
لَنْ يُفْلِحَ قَوْمٌ وَلَّوْا أَمْرَهُمْ امْرَأَةً
“Tidak akan pernah beruntung bagi kaum yang menyerahkan urusan (kekuasaan)-nya kepada seorang wanita.” (HR al-Bukhari).
Hadis ini turun berkaitan dengan peristiwa pelantikan seorang wanita di Parsi, Buran binti Kisra, menggantikan ayahnya sebagai raja. Apabila berita ini sampai kepada Rasulullah, beliau menyampaikan hadis ini. Hadis ini, walaupun berbentuk ikhbaar (berita), tetap mengandungi makna larangan, iaitu larangan untuk memberi kekuasaan kepada wanita. Di dalamnya terdapat bentuk kalimat tuntutan (shighat ath-thalab), juga adanya “dzamm” (celaan) berupa “lan yufliha” (tidak akan pernah beruntung) sebagai qariinah bahawa larangan tersebut merupakan larangan yang tegas (an-nahyu al-jaazim) atau pasti. Dengan demikian, haram bagi wanita menduduki jawatan sebagai hukkam (penguasa).
WalLaahu a’lam bi ash-shawaab.
#PolitikIslam #WanitaBerpolitik #HakWanita #PerananWanita