[Fikrul Islam] Menjadi Pembela Islam – Mengenal Permasalahan Umat Islam Kini (Bahagian 3/5)
Penulis: M. R. Kurnia
2) Kapitalisme dalam bidang ekonomi
Permasalahan kedua yang umat Islam alami adalah kapitalisme dalam bidang ekonomi. Sudah bukan menjadi rahsia umum bahawa hampir seluruh negeri Islam termasuk dunia ketiga, iaitu negeri-negeri miskin, mengamalkan kapitalisme. Kesenjangan antara negara-negara maju dengan dunia ketiga sangatlah ironi.
Wilayah dunia yang diduduki oleh negara-negara maju sebesar 1/4 dunia, tetapi mereka menikmati 80% penghasilan dunia. Bahkan 90% industri terdapat di negara-negara utara. Demikian pula halnya hak paten. Di Indonesia, sebesar 80 peratus saham perusahaan perlombongan emas dan tembaga di Papua, misalnya, dimiliki oleh perusahaan AS Freeport Mc. Moran. Pada tahun 1998 saja keuntungannya mencapai dua bilion dolar AS.
Pengangguran di negara berkembang mencapai 20-30 peratus dari tenaga kerja. Sedangkan di Indonesia, cukup mengerikan. Pada 2000 (tahun penulisan buku Menjadi Pembela Islam), jumlah penduduk Indonesia dianggarkan sekitar 210 juta orang. Di antaranya sekitar 138.5 juta orang merupakan tenaga kerja (penduduk berumur 15 tahun atau lebih). Dari jumlah itu terdapat tenaga kerja (mereka yang memasuki pasaran kerja, baik yang sedang bekerja mahupun yang mencari pekerjaan) sejumlah 92.7 juta orang. Yang mencari pekerjaan (atau biasa disebut pengangguran terbuka) berjumlah 5 juta orang atau sekitar 5.5 peratus dari total tenaga kerja. Ini bererti bahawa hanya 87.7 juta orang yang tergolong bekerja menghidupi 210 juta orang penduduk. Dengan kata lain, terdapat 41 peratus penduduk yang bekerja menghidupi total penduduk, atau dua orang pekerja menghidupi lima orang penduduk.
Di antara 87.7 juta orang pekerja tersebut tercatat 30.2 juta orang atau 32.4 peratus digolongkan sebagai setengah menganggur (pengangguran tersembunyi) kerana bekerja kurang dari 35 jam seminggu, baik kerana keterbatasan peluang kerjaya yang tersedia mahupun kerana kehendak sendiri. Bila demikian, bermakna total tenaga kerja atau buruh yang sebenarnya tergolong menganggur mencapai hampir 36 juta orang. Jadi, 39 peratus tenaga kerja di Indonesia adalah menganggur.
Padahal di samping jumlah pengangguran sebesar 36 juta orang itu, setiap tahun ada sebanyak 2.5 juta hingga 3.5 juta pekerja baru yang masuk ke pasaran tenaga kerja. Hal ini diakui secara rasmi oleh Menteri Tenaga Kerja Bomer Pasaribu seperti dikutip Kompas (24-2-2000). Namun, banyak estimasi lain yang menyebutkan bahawa pengangguran sudah mencapai sekitar 50 juta orang, yakni sebesar 54 peratus dari total tenaga kerja. Sungguh angka yang dramatik dan melangkau batas psikologi!
Hutang luar negeri merupakan fenomena tersendiri. Hampir seluruh dunia Islam berhutang kepada Barat melalui berbagai institusi, termasuk lMF. Di Indonesia misalnya, pada 2000, akumulasi hutang Iuar negerinya mencapai angka super fantastik: 150 bilion dolar AS! Jika hutang ini dibahagi-bahagikan kepada setiap penduduk Indonesia, setiap orang—termasuk bayi yang baru lahir—akan menanggung hutang luar negeri sebesar 750 dolar AS. Bila kurs 1 dolar setara dengan 7.500 rupiah (kurs tahun 2000), bererti seorang bayi yang baru lahir pun akan menanggung beban hutang Rp5.625.000. Jumlah yang jauh lebih tinggi daripada pendapatan per kapita (GNI) Indonesia dalam setahun. Menerusi jalan hutang luar negeri inilah negeri-negeri muslim—termasuk Indonesia—dijerat.
Syarat-syarat pinjaman berupa pencabutan subsidi bahan bakar, letrik, dan keperluan rakyat lainnya telah menyebabkan rakyat kian sengsara. Syarat lainnya, penswastaan BUMN, mengakibatkan jatuhnya perusahaan-perusahaan awam ke tangan asing. Akhirnya, umat Islam menjadi miskin di negerinya yang kaya raya. Tepat sekali kalimat Republika (15-04-2000), “IMF dan Bank Dunia ibarat orang tengah, berlagak pahlawan tetapi misinya mematikan.” Bukti-bukti bahawa hutang luar negeri merupakan penjajahan gaya baru. seperti diistilahkan oleh Abdurahman Al Malikiy (as-Siyasatul Iqtishadiyatul Mutsla, 1963), telah jelas di depan mata.
Inti dari persoalan ekonomi di negeri-negeri muslim adalah diterapkannya sistem ekonomi kapitalisme. Kapitalisme mendefinisikan keperluan sebagai keinginan. Tegasnya, keperluan masyarakat dalam kacamata kapitalisme adalah keinginan masyarakat untuk memperoleh dan mengkonsumsi barang dan perkhidmatan. (Sukirno S., Pengantar Teori Mikro Ekonomi, 1994).
Tidak menghairankan bila sistem ekonomi kapitalisme melahirkan budaya materialisme. Selain itu, dasar yang menjadi tolok ukurnya adalah maslahat individual. Hal ini melegalisasi berkembangnya praktik-praktik ekonomi gelap seperti perniagaan judi, minuman keras, perdagangan filem porno, dan pelacuran. Sebabnya, selama ada orang yang menginginkan, menurut pandangan kapitalisme, barang atau khidmat yang diinginkan tadi menjadi barang atau khidmat yang bernilai ekonomi. Nilai-nilai Islam dengan tolok ukur halal dan haram menjadi hal aneh di tengah masyarakat. Muaranya, kapitalisme telah merosakkan umat, baik secara fizikal mahupun psikologi.
Bersambung ke bahagian 4/5
Sumber: M. R. Kurnia, Menjadi Pembela Islam