[AL-AFKAR] Pemikiran Dangkal, Mendalam dan Cemerlang (Bahagian 1/2)
Penulis: Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani
Pemikiran terbahagi kepada tiga bahagian iaitu pemikiran dangkal (at-tafkir as-sathi), pemikiran mendalam (at-tafkir al-‘amiq), dan pemikiran cemerlang (at-tafkir al-mustanir).
Pemikiran dangkal merupakan pemikiran kebanyakan manusia. Pemikiran mendalam terdapat pada para ulama (intelektual). Manakala pemikiran cemerlang merupakan pemikiran para pemimpin dan orang-orang yang berfikir cemerlang dari kalangan ulama dan manusia umumnya.
Pemikiran dangkal ialah sekadar memindahkan fakta ke dalam otak tanpa membincangkan fakta lain, atau tanpa berusaha melakukan perkara yang berkaitan dengan fakta tersebut, kemudian mengaitkan proses tersebut dengan maklumat yang berkaitan dengannya. Juga tanpa ada sebarang usaha untuk mencari maklumat lain yang berkaitan dengan fakta. Selepas itu, keluarlah keputusan yang dangkal terhadap fakta tersebut. Pemikiran seperti ini sering ditemui dalam pelbagai golongan manusia, orang yang mempunyai tahap pemikiran yang rendah dan orang yang bijak pandai yang tidak berpendidikan.
Pemikiran dangkal adalah bahaya bagi mana-mana umat dan bangsa kerana ia tidak akan membawa kepada kebangkitan, malah tidak memungkinkan mereka untuk hidup bahagia, walaupun ia memungkinkan mereka untuk hidup sejahtera.
Punca pemikiran dangkal ialah penginderaan yang lemah, maklumat yang lemah, dan lemahnya hubungan maklumat dan fakta pada otak manusia. Pemikiran dangkal ini bukan sesuatu yang alami pada manusia, walaupun ia merupakan pemikiran yang primitif (terkebelakang).
Manusia berbeza dalam hal kuat dan lemahnya dalam mengindera, serta kuat dan lemahnya dalam mengaitkan maklumat dengan fakta. Manusia juga berbeza dalam jumlah atau jenis maklumat yang mereka miliki, baik yang diambil dengan jalan menerima dari orang lain (mendengar), menelaah (membaca), ataupun yang diambil dari pengalaman hidup. Perbezaan ini mempengaruhi perbezaan manusia dalam tahap berfikir.
Pada dasarnya, manusia mempunyai otak yang kuat dan kemampuan yang kuat dalam mengaitkan maklumat dengan fakta, kecuali ada segelintir di antara mereka, iaitu orang yang diciptakan dalam keadaan lemah, atau yang mengalami kelemahan di kemudian hari.
Pada dasarnya juga, kebanyakan manusia sentiasa mendapat maklumat baru setiap hari, walaupun mereka adalah orang yang ummi ‘tidak boleh membaca dan menulis’, kecuali orang yang menyimpang (abnormal), iaitu orang yang tidak mengendahkan sesuatu, yang tidak menghargai maklumat yang disampaikan kepada mereka atau maklumat yang mereka pelajari sendiri.
Pemikiran dangkal bukanlah pemikiran yang semulajadi, tetapi suatu penyimpangan dalam berfikir. Namun begitu, memang ada individu tertentu yang sudah biasa berfikir secara dangkal dan berpuas hati dengan hasil pemikiran mereka, serta tidak merasakan mereka memerlukan sesuatu yang lebih berharga daripada apa yang telah mereka miliki. Hal ini menyebabkan pemikiran dangkal menjadi kebiasaan mereka sehingga mereka sentiasa berfikiran sedemikian. Mereka suka dan berasa puas dengannya.
Bagi pemikiran dangkal yang ada pada kelompok, ia disebabkan oleh kurangnya kemampuan mereka untuk berfikir kerana keadaan mereka sebagai kelompok. Pemikiran dangkal biasanya mendominasi mereka walaupun mereka adalah kelompok yang beranggotakan para pemikir yang kreatif.
Oleh itu, pemikiran dangkal adalah pemikiran yang mendominasi kehidupan. Sekiranya tidak ada individu dari kalangan bangsa dan umat yang diberi kemampuan luar biasa dalam mengindera dan mengaitkan maklumat dengan fakta, maka pasti tidak akan ada kebangkitan dan tidak ada kemajuan material yang mungkin berlaku dalam kehidupan ini. Tidak ada penyelesaian dalam menghadapi cara berfikir dangkal dalam kelompok manusia.
Ia hanya mungkin untuk meningkatkan tahap dari pelbagai realiti dan peristiwa yang berlaku, ia juga mungkin untuk melengkapkan kelompok tersebut dengan pemikiran yang tinggi dan maklumat yang kaya supaya mereka dapat meningkatkan tahap pemikiran mereka. Walaupun begitu, mereka tetap akan berfikir secara dangkal, tidak kira apa keadaan mereka, meskipun tahap mereka tinggi.
Maksudnya, suatu bangsa dan umat akan dapat bertindak seperti tindakan yang lahir daripada pemikiran yang cemerlang. Namun pemikiran mereka, bagaimanapun tetap pemikiran yang dangkal. Kelompok tidak akan dapat berfikir secara mendalam dan cemerlang, tidak kira apapun peningkatan dan ketinggian yang mereka capai. Ini kerana keadaan mereka sebagai satu kelompok menyebabkan mereka tidak mampu melakukan perbincangan yang mendalam dan tidak mampu melakukan proses berfikir yang cemerlang.
Cara untuk meningkatkan tahap berfikir kelompok bukanlah dengan jalan mengubah proses berfikir mereka, tetapi dengan mengubah pelbagai fakta dan peristiwa yang dilihat oleh kelompok tersebut. Ia juga mungkin boleh mengatasi pemikiran dan maklumat yang terdapat dalam kelompok tersebut supaya kedangkalan berfikir akan berkurang. Namun, ia tetap tidak akan hilang. Justeru, cara bertindak dalam kelompok tersebut akan dapat dipertingkatkan.
Bagi individu, adalah mungkin untuk membuang pemikiran dangkal mereka, mengurangkannya, atau menjadikannya jarang dalam diri mereka. Caranya ialah pertama, membuang kebiasaan berfikir mereka, iaitu dengan mendidik dan membina mereka serta mengarahkan pandangan mereka pada kelemahan berfikir dan kedangkalan pemikiran mereka. Kedua, memperbanyak ujian/pengalaman pada diri mereka sendiri atau di hadapan mereka serta menjadikan mereka hidup di tengah-tengah banyak fakta dan melihat fakta-fakta yang pelbagai, sentiasa baru, dan berubah-ubah. Ketiga, menjadikan mereka hidup bersama kehidupan dan terjun dalam kehidupan itu.
Dengan tiga perkara tersebut, mereka akan dapat meninggalkan kedangkalan atau mereka akan ditinggalkan oleh kedangkalan sehingga mereka tidak menjadi dangkal dalam berfikir. Apabila individu-individu seperti itu semakin ramai di tengah umat, maka akan semakin mudah dan hampir untuk merealisasikan kebangkitan umat. Individu-individu tersebut, walaupun mereka hidup di tengah umat, menerima maklumat dan mengindera pelbagai fakta serta peristiwa yang ada pada umat, mereka tidak mampu mendahului zaman mereka dan bukan merupakan jenis yang berbeza dengan jenis umat mereka.
Akan tetapi, mereka mampu untuk mendahului umat mereka dan memindahkan umat dari satu keadaan menuju keadaan lain. Ini kerana individu-individu tersebut mampu menggambarkan fakta-fakta kehidupan yang tinggi dengan gambaran yang nyata, iaitu dengan jalan menerima pemikiraan yang benar dan pendapat yang sahih, menganut pemikiran yang pasti (qathie), dan mampu membezakan pelbagai jenis pendapat serta mampu melihat fakta daripada pendapat-pendapat tersebut.
Pada akhirnya, dalam diri mereka mempunyai penginderaan intelektual (al-ihsas al-fikri, intelectual sensation), iaitu penginderaan yang lahir dari pengetahuan dan pemikiran, dan juga mempunyai penginderaan logik (manthiq al-ihsas, logic of sensation) iaitu pemahaman yang lahir dari penginderaan, hanya dari penginderaan sebagaimana adanya.
Walaupun mereka mempunyai pancaindera dan otak seperti manusia lain miliki, tetapi kekuatan mengaitkan fakta dengan maklumat yang berada dalam otak mereka mengatasi yang dimiliki oleh yang lain. Dan kerana mereka sentiasa memberi perhatian untuk mengaitkan penginderaan dengan maklumat sebelumnya secara benar, maka mereka lebih banyak memahami pelbagai perkara daripada manusia lain.
Dengan kata lain, pemikiran mereka berbeza dengan pemikiran yang lain sehingga terbentuk al-ihsas al-fikri dalam diri mereka yang menghasilkan manthiq al-ihsas yang tinggi. Oleh kerana itu, individu lebih mampu meninggalkan pemikiran dangkal mereka daripada kelompok, walaupun kemampuan tersebut tidak ada nilainya, kecuali jika diambil dan diterapkan oleh kelompok.
Begitulah cara mengatasi kedangkalan berfikir iaitu mengatasi individu terlebih dahulu, kemudian menjadikan umat mengambil dan menerapkan pemikiran yang telah dicapai oleh individu.
Selain itu, perlu ada usaha untuk memperbaharui fakta-fakta yang ada di tengah umat, menyampaikan pemikiran yang tinggi di tengah umat yang berada dalam jangkauan tangan umat dan melaksanakan semua itu secara serentak dalam satu masa. Ini kerana usaha untuk meninggalkan pemikiran dangkal dalam kalangan umat tidak akan bernilai apabila tidak disertai dengan usaha mengatasi pemikiran individu.
*Bersambung ke Bahagian 2/2
Sumber: Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Hakikat Berfikir (At-Tafkir)
#FikrulIslam #AtTafkir #PemikiranDangkalDalamdanCemerlang