Resepi yang Praktikal untuk Hidup Tenang
Penulis: K.H. Rokhmat S. Labib
Resepi yang praktikal untuk kehidupan yang tenang ialah memahami bahawa tujuan kita diciptakan adalah untuk beribadah kepada Allah SWT dan meninggalkan segala bentuk ibadah selain kepadaNya.
Allah SWT berfirman
اَفَحَسِبْتُمْ اَنَّمَا خَلَقْنٰكُمْ عَبَثًا وَّاَنَّكُمْ اِلَيْنَا لَا تُرْجَعُوْنَ
”Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?” [TMQ al-Mukminun (23): 115].
Allah SWT menjawab pada ayat seterusnya,
فَتَعٰلَى اللّٰهُ الْمَلِكُ الْحَقُّۚ لَآ اِلٰهَ اِلَّا هُوَۚ رَبُّ الْعَرْشِ الْكَرِيْمِ
“Maka (dengan yang demikian) Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Tetap Benar; tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang mulia.” [TMQ Al-Mukminun (23): 116].
Sesungguhnya Allah SWT menciptakan manusia bukan tanpa tujuan atau sia-sia. Manusia berbeza dengan haiwan kerana tiada perintah dan larangan. Mereka dibiarkan makan dan tidur untuk memuaskan nafsu.
Ayat di atas menggunakan kata istifham (kata tanya), iaitu hamzah. Namun, ayat ini merupakan taubikh (celaan) dan peringatan kepada mereka yang menyangka manusia dicipta tanpa tujuan.
Allah SWT berfirman,
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. [TMQ adz-Dzariat (51): 56].
Ayat ini mengandungi penegasan bahawa manusia diciptakan tidak seperti binatang yang tidak diperintahkan dan dilarang. Sebaliknya, Allah SWT menciptakan manusia dengan tujuan yang sangat jelas, iaitu untuk beribadah kepadaNya.
Dalam surah Al-Mukminun ayat 115, manusia beranggapan bahawa apabila mati, urusannya selesai, padahal mati bukanlah pengakhiran segala-galanya. Selepas mati, semua manusia akan dibangkitkan oleh Allah SWT untuk dihakimi atas apa yang mereka lakukan di dunia.
Betapa banyak orang yang taat kepada Allah SWT, tekun beribadah, sabar, dan bersyukur, tetapi hidupnya menderita. Sebaliknya berapa ramai penjenayah, perompak, perasuah, penzina, dan pelbagai lagi pelaku kemaksiatan tetapi tidak mendapat hukuman atas perbuatannya.
Tetapi, di sinilah Allah SWT menunjukkan keadilan bahawa apa yang dilakukan oleh manusia apabila belum mendapat balasan di dunia, pasti mendapat balasan di akhirat.
Allah SWT berfirman,
فَالْيَوْمَ لَا تُظْلَمُ نَفْسٌ شَيْئًا وَلَا تُجْزَوْنَ إِلَّا مَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ
“Maka pada hari itu, tidak ada seseorang yang akan dianiaya sedikitpun, dan kamu pula tidak akan dibalas melainkan menurut amal yang kamu telah kerjakan.” [TMQ Yasin (36): 54].
Penjelasan ayat tersebut ialah pada hari kiamat nanti tidak ada manusia yang dizalimi. Mereka yang melakukan jenayah mendapat balasan atas jenayah yang dilakukan. Jika di dunia mereka memusuhi syariat Allah SWT dan mengatakan syariatNya adalah sesuatu yang mengancam dan memudaratkan mereka, mereka akan diadili oleh Allah SWT dengan hukumnya. Jika mereka beramal dan mentaati syariatNya, Allah SWT bukan sahaja akan membalas apa yang telah mereka kerjakan, malah Allah SWT juga akan memberikan mereka anugerah yang jauh lebih besar dari apa yang mereka kerjakan.
Alangkah silapnya jika manusia beranggapan bahawa kematian adalah pengakhiran segala-galanya. Allah SWT Maha Tinggi atas tuduhan seperti itu. Bahkan Allah SWT ialah Al-Malik, Raja yang Adil lagi Maha Adil. Sesungguhnya tiada yang berhak untuk ditaati dan disembah melainkan Allah SWT.
Oleh itu, jangan fikir kita boleh buat apa sahaja yang kita mahu. Namun, tanamkan dalam diri kita bahawa dalam hidup, kita mesti tunduk dan patuh kepada hukum Allah SWT kerana kita pasti akan diadili oleh Allah SWT.