[Nafsiyah] Menjemput Nasrullah dengan Membantu Dinullah
Menolong Dinullah ialah usaha menjemput nasrullah (pertolongan Allah), membantu menegakkan Islam dalam kehidupan dan membantu teguh di atas Islam. Amal yang agung ini bukan sekadar amalan, tetapi amalan yang mesti dilandasi iman, malah menjadi tuntutan keimanan, sebagaimana isyarat agung dalam FirmanNya:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن تَنصُرُواْ ٱللَّهَ يَنصُرۡكُمۡ وَيُثَبِّتۡ أَقۡدَامَكُمۡ ٧
“Wahai orang-orang yang beriman, jika kalian menolong agama Allah, Dia pasti akan menolong kalian dan meneguhkan kedudukan kalian.” [TMQ Muhammad (47): 7].
Allah SWT memulai seruan (khithab) dalam ayat agung ini dengan seruan keimanan, agar orang-orang yang beriman menolong Dinullah, menegakkan syariatNya dalam kehidupan, dan berdakwah. Sacara kiasan, Allah menganggap pertolongan hambaNya kepadaNya. Padahal Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dia tidak memerlukan pertolongan makhlukNya. Ini untuk menunjukkan betapa besarnya amalan membantu agama Allah SWT [Lihat: TMQ Al-Ankabut (29): 6].
Al-Imam Abu Ja’far al-Nahhas (w. 338 H) dalam I’rab Al-Qur’an (IV/119) menjelaskan bahawa ungkapan ini adalah kiasan (majaz) yang disebut oleh Allah SWT. Tujuannya adalah untuk membantu RasulNya, agamaNya, syariatNya dan golongan pembela agamaNya (hizbullah). Ini juga ditegaskan oleh Imam ar-Razi dalam Mafatih al-Ghayb (VIII/42).
Asy-Syeikh Ibn al-’Utsaimin (w. 1421 H) dalam Syarh Riyadh al-Shalihin (III/616) menjelaskan, “Yang dimaksudkan dengan menolong Allah adalah menolong agamaNya. Sebabnya, sesungguhnya Allah dengan DiriNya tidak memerlukan apa-apa pertolongan. Dia Maha Berkecukupan dari selain DiriNya. Namun, yang dimaksudkan dengan pertolongan di sini adalah menolong agama Allah dengan menjaga agama dan mempertahankan serta tegas menentang pelanggaran, dan lain sebagainya dari pelbagai sebab pertolongan atas syariatNya.”
Ibn al-Utsaimin juga menjelaskan bahawa Allah SWT melipat gandakan pahala bagi membantu agama Allah:
Pertama, pahala yanshurkum (Allah menolongmu), iaitu Allah akan menolongmu terhadap orang-orang yang memusuhi.
Kedua, pahala yutsabbit aqdamakaum (Allah meneguhkan kedudukanmu), iaitu Allah SWT meneguhkannya di atas agamaNya. Menariknya, ungkapan agung yutsabbit aqdamakum (Dia akan menguatkan kakimu) ialah kiasan (majaz mursal). Yang dimaksudkan ialah seluruh diri orang yang Allah kuatkan (ithlaq al-juz’i wa iradat al-kulli). Ini menguatkan perasaan, menggambarkan ketegasan iaitu tegas dalam mempertahankan Islam, dan tegas dalam menghadapi pelbagai cabaran. Inilah yang terjadi kepada para nabi dan rasul ‘alayhim as-salam. Apabila datang pertolongan, tidak ada makhlukNya yang dapat menghalangnya.
إِن يَنصُرۡكُمُ ٱللَّهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمۡۖ وَإِن يَخۡذُلۡكُمۡ فَمَن ذَا ٱلَّذِي يَنصُرُكُم مِّنۢ بَعۡدِهِۦۗ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلۡيَتَوَكَّلِ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ١٦٠
“Jika Allah menolong kamu, maka tidak ada seorang pun yang dapat mengalahkan kamu. Jika Allah membiarkan kamu(tidak memberi pertolongan), maka siapakah gerangan yang dapat menolong kamu(selain) dari Allah sesudah itu? Kerana itu, hendaklah kepada Allah saja kaum mukmin bertawakal.” [TMQ Ali Imran (3): 160]
Wasiat Para Nabi ’alayhim as-Salam
Baginda Rasulullah SAW berpesan kepada Ibn ‘Abbas RA khususnya dan umat umumnya dengan pesanan mendalam,
احْفَظِ اللهَ يَحْفَظْكَ، احْفَظِ اللهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ
“Jagalah (agama) Allah, nescaya Dia akan menjagamu. Jagalah Allah, nescaya engkau mendapati Dia di hadapanmu.” [HR At-Tirmidzi dan Ahmad].
Kalimat ihfazhillah merupakan majaz menjaga agama Allah, kerana itu Allah SWT akan menjaga kesejahteraan dunia dan akhiratnya. Ayat dan hadis di atas dijadikan oleh al-Hafizh Ibn Rajab al-Hanbali (w. 795 H) dalam Jami al-Ulum wa al-Hikam (I/465) sebagai salah satu dalil kaedah:
اَلْجَزَاءُ مِنْ جِنْسِ الْعَمَلِ
“Ganjaran amal itu sesuai dengan jenis amal perbuatan.”
Maksudnya, sesiapa yang menjaga batas-batas syariat Allah (hududullah) dan hak-Nya, Allah SWT akan menjaganya. Ibn Rajab juga memperincikan (I/465-468) bahawa bentuk penjagaan Allah SWT terhadap makhlukNya merangkumi dua perkara:
Pertama, menjaga kebaikan dunianya, termasuk tubuh, anak, keluarga dan hartanya.
Kedua, menjaga agamanya. Ibnu Rajab berkata:
مَتَى كَانَ الْعَبْدُ مُشْتَغِلاً بِطَاعَةِ الله فَإِنَّ الله يَحْفَظُهُ فِي تِلْكَ اْلحَالِ
“Apabila seorang hamba sibuk dengan ketaatan kepada Allah, maka sesungguhnya Allah akan menjaganya dalam keadaan demikian.”
Al-Imam Ibn Hajar al-Haitami (w. 974 H) dalam Syarh al-Arbain al-Nawawiyyah (hlm. 369) juga menjelaskan, “(Tuhan menjagamu), iaitu menjaga dirimu, keluargamu, duniamu, dan agamamu.”
Menjelaskan hadis ini, Syeikh Ibn al-Utsaimin berkata bahawa apabila seseorang itu menjaga agama Allah, Dia akan menjaga dirinya, hartanya, keluarga dan agamanya. Yang paling utama, “Sekiranya Allah memelihara agama kamu, nescaya Allah akan menyelamatkan kamu dari penyimpangan dan kesesatan, kerana apabila seseorang itu mengambil petunjuk Islam, maka Allah akan menambah kepadanya petunjukNya.”
Ini sebagaimana firmanNya:
وَٱلَّذِينَ ٱهۡتَدَوۡاْ زَادَهُمۡ هُدٗى وَءَاتَىٰهُمۡ تَقۡوَىٰهُمۡ ١٧
“Barangsiapa yang mahu menerima petunjuk, Allah menambahkan petunjuk kepada mereka dan memberi pahala kepada ketakwaan mereka.” [TMQ Muhammad (47): 17].
Ini menunjukkan bahawa perbuatan menolong agama Allah SWT pada hakikatnya merupakan bentuk kesyukuran seorang hamba atas nikmat iman dan Islam. Diperjelaskan dengan wasiat para nabi dan rasul ‘alayhim as-salam-, Syeikh ‘Atha bin Khalil dalam At-Taysir fi Usul al-Tafsir (hlm. 163-164) menjelaskan bahawa Nabi Ibrahim AS menunaikan perintah Allah, tunduk kepada ketaatan, dan ikhlas kepadaNya. Inilah yang diwariskan kepada anak-anaknya. Begitu juga wasiat Nabi Yaqub AS kepada anak-anak mereka agar sentiasa berpegang teguh kepada agama Allah yang telah diredhai Allah untuk mereka, juga agar mereka sentiasa berada dalam agamaNya sehingga mereka wafat di sisi Allah SWT dalam keadaan tunduk dan taat kepadaNya, tidak pernah berpaling, sentiasa. tunduk dan menyerah. Allah SWT juga berfirman menggambarkan pengikut Hawariyyin Nabi Isa AS,
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُوٓاْ أَنصَارَ ٱللَّهِ كَمَا قَالَ عِيسَى ٱبۡنُ مَرۡيَمَ لِلۡحَوَارِيِّۧنَ مَنۡ أَنصَارِيٓ إِلَى ٱللَّهِۖ قَالَ ٱلۡحَوَارِيُّونَ نَحۡنُ أَنصَارُ ٱللَّهِۖ فََٔامَنَت طَّآئِفَةٞ مِّنۢ بَنِيٓ إِسۡرَٰٓءِيلَ وَكَفَرَت طَّآئِفَةٞۖ فَأَيَّدۡنَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ عَلَىٰ عَدُوِّهِمۡ فَأَصۡبَحُواْ ظَٰهِرِينَ ١٤
“Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong-penolong (agama) Allah, sebagaimana Isa bin Maryam berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia, ‘Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?’ Para pengikut setia itu berkata, “Kami adalah penolong agama Allah.” Kemudian segolongan Bani Israil beriman dan segolongan lagi orang kafir. Kemudian Kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, sehingga mereka pun menjadi orang-orang yang menang.” [TMQ As-Saff (61): 14].
Perbuatan menolong agama Allah SWT itu sendiri terwujud apabila seorang Muslim mempelajari, mengamalkan, berdakwah, dan mempertahankan Islam daripada pelbagai tikaman orang yang terpedaya. Ini memerlukan seorang pejuang Islam melengkapkan dirinya dengan ketajaman pandangan (fikrah mustanirah) dalam melihat pelbagai jurang yang boleh merosakkan umat Islam. Beliau juga mempunyai kesedaran untuk mengenal pasti punca masalah dan mengemukakan penyelesaian Islam terhadapnya (al-way al-siyasi). Ini sesuai dengan watak pejuang Islam generasi teladan umat ini iaitu Rasulullah SAW dan para sahabat baginda. Meneladani mereka adalah sebuah keberuntungan. Al-Imam al-Alusi (w. 1270 H) dalam Ruh al-Ma’ani (I/92) berkata,
إِنْ لَمْ تَكُوْنُوْا مِنْهُمْ فَتَشَبَّهُوْا * إِنَّ التَّشَبُّهَ بالْكِرَامِ فَلاَحٌ
“Walaupun kamu belum seperti mereka, jadilah serupa mereka. Kerana benar-benar menyerupai orang mulia adalah keberuntungan.” Wallahu’alam bissawab.
https://muslimahnews.net/2023/07/27/22116/