[At-Tafkir] Berfikir tentang Perubahan
Penulis: Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani
Berfikir tentang perubahan sangatlah penting bagi kehidupan. Ini kerana kehidupan yang stagnan dan sikap menyerah pada takdir (fatalisme) merupakan bencana paling berbahaya yang dapat menjerumuskan berbagai bangsa dan umat manusia ke dalam jurang kehancuran, serta akan memusnahkan mereka bersama berlalunya waktu dan berbagai peristiwa. Berfikir tentang perubahan merupakan jenis berfikir yang sangat penting.
Berfikir tentang perubahan tidak akan disukai oleh orang-orang yang lemah semangat dan tidak akan diterima oleh orang-orang yang malas. Sebabnya, perubahan itu sendiri harganya sangat mahal.
Di samping itu, orang yang telah didominasi oleh tradisi, memandang bahawa berfikir tentang perubahan akan menimbulkan bahaya atas mereka dan akan mengubah mereka dari satu keadaan menuju keadaan lain. Oleh kerana itu, berfikir tentang perubahan akan diperangi oleh orang-orang yang merosot taraf berfikirnya dan orang-orang yang malas.
Berfikir tentang perubahan juga akan dimusuhi oleh mereka yang disebut golongan konservatif dan oleh orang-orang yang mendominasi rakyat dan penghidupan mereka. Berfikir tentang perubahan dapat mengundang risiko bagi pelakunya. Berfikir tentang perubahan juga merupakan jenis pemikiran yang paling diperangi tanpa belas kasihan, dari sekian jenis pemikiran.
Berfikir tentang perubahan, baik perubahan jiwa dan keadaan individu, atau perubahan masyarakat, atau perubahan keadaan berbagai bangsa dan umat, atau apa pun yang memerlukan perubahan, wajib dimulai dari asas yang mendasari kehidupan manusia. Berfikir tentang perubahan wajib dimulai pada masyarakat yang tidak memiliki asas ataupun masyarakat yang berpijak pada asas yang keliru, atau pada keadaan-keadaan yang berlangsung secara tidak lurus.
Asas yang menjadi landasan kehidupan manusia inilah yang akan meningkatkan atau memerosotkan kehidupan. Asas ini pula yang melahirkan kebahagiaan ataupun menimbulkan kesedihan bagi manusia. Asas ini pula yang dapat menciptakan suatu cara pandang tentang kehidupan yang berdasarkan cara pandang ini manusia mengharungi medan kehidupan.
Jadi, yang pertama kali perlu dilihat adalah asas yang mendasari kehidupan ini. Jika asas ini adalah sebuah akidah rasional (aqidah aqliyah, rational creed) yang telah sesuai dengan fitrah manusia, ia tidak perlu diubah. Tidak perlu terlintas dalam hati manusia mana pun atau dalam benak siapa pun sebuah gagasan untuk mengadakan perubahan atas asas ini. Kerana, di atas asas inilah sepatutnya kehidupan manusia tegak.
Ini kerana perubahan itu hanya dilakukan pada hal-hal yang dipandang tidak sahih, pada perkara-perkara yang tidak lurus, pada kekeliruan yang tampak dalam pandangan mata, dan yang mengusik perasaan yang berasal dari energi kehidupan (aththaqah al-hayawiyah, life energy). Jika akal telah meyakini secara pasti akan kesahihan sesuatu atau kelurusan suatu perkara, dan perasaan yang lahir dari energi kehidupan telah terpuaskan dan merasa tenteram, maka gagasan tentang perubahan akan hilang sama sekali.
Berfikir tentang perubahan tidak akan muncul jika asas kehidupan merupakan sebuah akidah rasional yang sesuai dengan fitrah manusia. Adapun jika asas yang mendasari kehidupan manusia, atau mendasari tegaknya masyarakat, ataupun yang menjadi landasan berjalannya berbagai realiti yang ada, belum ada sama sekali, atau sudah ada tetapi dalam bentuk yang keliru, maka berfikir tentang perubahan hanya akan sia-sia belaka, sebelum melakukan perubahan pada asas, iaitu sebelum melakukan perubahan pada akidah yang dipeluk masyarakat.
Oleh kerana itu, umat Islam yang telah memiliki akidah rasional (‘aqîdah aqliyyah) yang selaras dengan fitrah manusia, wajib melahirkan perubahan di tengah-tengah masyarakat yang belum memiliki akidah atau memiliki akidah yang keliru, iaitu akidah yang ditolak oleh akal dan tidak sesuai fitrah manusia. Umat Islam wajib mengemban dakwah Islam kepada seluruh manusia non-muslim, sekalipun akan menimbulkan peperangan mahupun pertempuran melawan orang-orang kafir, iaitu mereka yang tidak memiliki akidah rasional yang sesuai dengan fitrah manusia.
Perubahan itu mesti diawali dari asasnya. Apabila asasnya telah berubah dan kedudukannya telah digantikan oleh sebuah asas yang dipastikan kebenaran dan kelurusannya, barulah difikirkan perubahan masyarakat atau perubahan berbagai keadaan yang ada.
Perubahan masyarakat hanya terjadi dengan cara mengubah berbagai standard (maqayis, criterion), pemahaman (mafahim, concepts), dan keyakinan (qana’at, convictions). Apabila telah terwujud asas yang sahih, akan terwujud pula standard dasar untuk segala standard, pemahaman dasar untuk segala pemahaman, dan keyakinan dasar untuk segala keyakinan.
Dengan demikian, manakala asas yang sahih dan benar ini telah ada, maka perubahan atas berbagai standard, pemahaman, dan keyakinan pun akan mungkin terjadi. Demikian pula perubahan masyarakat dan berbagai keadaan akan mungkin terjadi. Sebab seluruh nilai—baik nilai benda-benda mahupun nilai pemikiran-pemikiran—akan berubah seiring dengan perubahan asas. Selanjutnya akan terjadi pula perubahan aspek-aspek fundamental dalam kehidupan.
Berfikir tentang perubahan mesti terwujud atau diwujudkan pada diri manusia. Siapa saja yang telah memiliki akidah rasional yang sesuai dengan fitrah manusia, mempunyai potensi untuk berfikir tentang perubahan, baik dengan kekuatan yang bersifat tersembunyi pada dirinya, mahupun dengan adanya perubahan, yakni dengan benar-benar berfikir tentang perubahan secara nyata pada saat dia terjun dalam medan kehidupan.
Berfikir tentang perubahan tidak bermaksud hanya ada pada orang-orang yang merasakan pentingnya perubahan dalam berbagai keadaan atau pemikiran mereka sendiri. Berfikir tentang perubahan dapat terwujud selama di alam ini memang ada keadaan yang perlu diubah.
Oleh kerana itu, berfikir tentang perubahan tidak terbatas pada usaha seseorang mengubah keadaannya sendiri, atau usaha mengubah masyarakat, bangsa, atau umatnya sendiri. Sebaliknya, berfikir tentang perubahan juga dimaksudkan untuk mengubah yang lain, yakni mengubah orang, masyarakat, bangsa, dan umat lain, serta keadaan-keadaan yang asing.
Hal itu disebabkan manusia memiliki karakteristik kemanusiaannya yang khas. Realiti ini menescayakan adanya pandangan terhadap manusia lain, di mana pun adanya, baik di negerinya sendiri ataupun di negeri asing, baik di dalam negaranya sendiri ataupun di luar negaranya, baik di tengah umatnya sendiri ataupun di tengah umat yang lain. Jadi, perubahan akan selalu diusahakan oleh manusia di setiap tempat yang memerlukan perubahan.
Berfikir tentang perubahan lahir dari keteguhan jiwa, didorong oleh berbagai fakta kehidupan, dan bahkan dapat muncul semata-mata dari perasaan tentang kehidupan. Meskipun berfikir tentang perubahan akan dilawan oleh kekuatan yang merasakan bahawa perubahan itu akan membahayakannya, tetapi berfikir tentang perubahan sebenarnya tetap ada bahkan pada kekuatan itu.
Dengan demikian, kewujudan atau keberadaan pemikiran tentang perubahan adalah hal yang pasti pada manusia. Hanya saja, untuk menjadikan manusia mahu berfikir tentang perubahan, kadang kala boleh dilakukan dengan cara meyakinkan mereka, atau kadang kala dengan sebuah kekuatan yang bersifat memaksa.
Ketika perubahan telah terwujud secara nyata, atau ketika nilai perubahan telah difahami, maka berfikir tentang perubahan akan menjadi sesuatu yang mudah. Sebab, hal itu bermaksud mengembalikan manusia pada perasaan mereka akan pentingnya perubahan. Selanjutnya, akan terwujudlah pada diri mereka pemikiran tentang perubahan. Oleh kerana itu, setiap muslim sudah sepatutnya perlu berfikir tentang perubahan.
Sumber: Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Hakikat Berfikir (At-Tafkir)