[At-Tafkir] Memahami Teks-Teks Sastera (Bahagian 1/2)
Penulis: Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani
Teks-teks sastera (an-nushush al-adabiyah, literary texts) adalah teks-teks yang dibuat untuk kenikmatan dan membangkitkan perasaan, meskipun mengandungi berbagai pengetahuan yang boleh diperoleh dengan berfikir. Oleh kerana itu, teks-teks tersebut lebih banyak memperhatikan aspek kata (al-alfazh, words) dan susunan kata (at-tarakib, phrases) daripada memperhatikan makna-maknanya. Meskipun makna harus jadi tujuan seorang sasterawan dan penyair, tetapi tujuan pertamanya adalah kata dan susunan kata.
Memang benar bahawa kata dan susunan kata menunjukkan makna-makna tertentu, tetapi seorang penyair dan sasterawan memfokuskan usahanya pada kata dan susunan kata untuk menyampaikan makna-makna tersebut. Memang benar ahli sastera mengatakan bahawa balaghah itu adalah makna yang indah dalam kata dan susunan kata yang indah juga.
Namun, seorang penyair dan sasterawan meskipun mencurahkan perhatiannya untuk memilih makna-makna, tetapi pemilihannya itu hanya kerana ingin menuangkannya dalam kata dan kalimat yang indah. Jadi, berbagai kata dan susunan kata, atau pembentukan makna-makna, hanyalah dalam rangka membuat kesan yang akan mengungkapkan makna tersebut dalam kata dan susunan kata tadi.
Jadi, kata dan susunan kata itulah yang menjadi tumpuan pembentukan makna. Memang benar maksud adanya teks-teks adalah untuk menyampaikan makna-makna. Namun, ini untuk teks-teks pada umumnya. Sedangkan tujuan dari teks-teks sastera bukanlah menyampaikan makna saja. Tujuan pokoknya adalah membangkitkan perasaan pembaca dan pendengar, bukan hanya memberikan makna. Jadi membangkitkan perasaan itulah yang menjadi maksud dan tujuan pertamanya.
Oleh kerana itu, seorang penyair dan sasterawan akan sentiasa memilih kata-kata dan susunan kata dengan teliti. Dengan itu, ia bertujuan agar ungkapannya menjadi suatu ungkapan yang agung dan bersifat umum, boleh mengungkapkan hal-hal yang indah, boleh memberikan pengaruh, dan boleh membangkitkan perasaan serta mewujudkan emosi.
Anda akan mendapati bahawa teks-teks sastera mempunyai karakteristik khusus dalam berbagai ungkapannya yang akan digunakan untuk membentuk berbagai pemikiran dan mengeluarkan kesan (ash-shurah, gambar/image). Perhatian ditujukan pada kesan, kemudian baru pemilihan pemikiran.
Jadi tujuan seorang sasterawan, dalam hal pemikiran-pemikiran tersebut, adalah agar ia mampu membentuk dan mengeluarkan pemikiran dalam suatu kesan yang boleh membangkitkan perasaan dan pengaruh. Dengan demikian, yang utama adalah pengungkapan, iaitu pembentukan suatu kesan atau pengeluaran kesan, sedangkan pemikiran adalah alat dan sarana.
Pembentukan kesan, dan impak, itulah dua hal yang menjadi perhatian sasterawan dan penyair. Mereka juga memperhatikan pemikiran, dari segi sesuai atau tidaknya bagi pembentukan kesan, atau sesuai atau tidaknya kesan yang akan dikeluarkan oleh pemikiran itu. Bukan dari segi kebenaran atau ketepatan pemikiran, tetapi dari segi kesesuaian pemikiran untuk pembentukan kesan.
Hal ini disebabkan tujuan dari teks sastera bukanlah untuk memberitahukan berbagai pemikiran kepada orang, melainkan untuk membangkitkan perasan pembaca atau pendengar. Oleh kerana itu, perhatiannya difokuskan pada pembentukan kesan, iaitu pengungkapan.
Jadi perhatian seorang penyair adalah pada kata dan susunan kata yang menjadi sarana berlangsungnya pengungkapan tersebut. Bukan pada makna yang dikandung oleh ungkapan, kecuali dari sisi kesesuaiannya untuk pembentukan kesan, yakni mengeluarkan kesan yang indah dan boleh membangkitkan perasaan.
Itulah fakta teks-teks sastera. Selama faktanya seperti itu, maka informasi terdahulu yang mesti ada untuk mengaitkan penginderaan yang terjadi dari membaca teks-teks sastera mestilah merupakan informasi yang berkaitan dengan pembentukan kesan (at-tashwir, imagery) –yakni berkaitan dengan kesan-kesan sasterawi—agar makna teks boleh difahami dan agar kesan yang dikeluarkan dapat dirasakan, dalam bentuk yang digunakan untuk mengeluarkan kesan.
Maksudnya, memahami teks sastera mengharuskan adanya pengetahuan-pengetahuan terdahulu tentang kata dan susunan kata, yakni tentang aktiviti pembentukan kesan dan berbagai alat dan sarana yang dituntutnya. Juga mengharuskan latihan untuk melihat berbagai jenis kesan dan membezakan satu sama lain.
Dengan kata lain, membaca teks sastera menuntut untuk terlebih dahulu membaca teks-teks sastera dengan cara yang dapat menumbuhkan cita rasa (adz-dzauq, taste), kemampuan membezakan, dan pemahaman akan teks. Oleh kerana itu, orang yang tidak memiliki pengetahuan sebelumnya tentang teks-teks sastera tidak akan mungkin memahami teks-teks sastera. Meskipun dia memperlihatkan keterpengaruhannya oleh teks sastera atau menghormati teks sastera.
Jadi masalahnya adalah masalah cita rasa. Sedangkan cita rasa itu tidak mungkin tumbuh kecuali setelah latihan yang dilakukan berulang-ulang, banyak merasakan teks, dan mengetahui berjenis-jenisnya cita rasa teks. Dengan kata lain, cita rasa tidak akan tumbuh kecuali setelah membaca teks sastera dan sering membaca teks sastera dalam berbagai macam jenis dan bentuknya.
Manakala cita rasa terhadap teks sastera tersebut telah terwujud, akan terwujud pulalah pemahaman terhadap teks, kerana memahami teks sastera bukanlah untuk memahami maknanya, melainkan untuk menjangkau cita rasa susunan katanya. Dari cita-rasa yang ditemukan, akan datanglah pemahaman terhadap makna.
Sebagai contoh seorang penyair berkata:
Dua akhlak yang tidak aku sukai pada pemuda,
bangga kerana kaya dan merasa hina kerana papa,
maka jika engkau kaya janganlah kufuri nikmat-Nya,
dan jika papa banggalah selamanya.
Penyair lain berkata:
Sesungguhnya wanita yang ingin merebut hatimu dan kamu bosan kepadanya,
dia diciptakan menjadi cintamu sebagaimana engkau diciptakan menjadi cintanya,
Maka apa yang dia rasakan ada padamu, dan kamu berdua,
menampakkan satu sama lain cintanya yang sempurna
Penyair lain berkata:
Kita dulu bila seorang tamu memaksa minta jamuan,
dia akan didatangi oleh pedang-pedang beracun yang menitiskan darah,
Kita tidak akan memberikan kuda-kuda hingga kita boleh mengembalikan
sebagai harta rampasan perang dari musuh kita yang merangkak payah.
Penyair lainnya berkata:
Bila kita marah seperti kemarahan Mudhari,
kita `kan koyak tabir matahari atau matahari `kan titiskan darah.
Bila kita pinjamkan kepada seorang pemimpin suku
sebuah puncak mimbar, dia `kan membaca selawat dan salam kepada kita.
Perbezaan yang ada di sini bukan kerana perbezaan makna, tetapi kerana perbezaan kesan yang dikeluarkan oleh sang penyair dan perbezaan pembentukan kesan yang dimunculkan penyair. Ini kerana meskipun seluruh penyair tadi telah membangkitkan perasaan pembaca dan pendengar, tetapi bangkitnya perasaan yang dimunculkan oleh dua penyair pertama berbeza dengan bangkitnya perasaan yang dimunculkan oleh dua penyair terakhir.
Sumber: Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, Hakikat Berfikir (At-Tafkir)
#fikrulislam #hakikatberfikir