[Kisah Inspirasi] Abidah al-Madaniyyah, daripada Seorang Hamba Menjadi Seorang Ulama
Bukan harta atau kedudukan yang menjadikan seseorang itu mulia. Allah SWT berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan.” [TMQ Al Mujaadalah (58): 11]
Daripada Seorang Hamba Menjadi Seorang Ulama
Ketinggian ilmu seorang hamba telah mengubah status hamba perempuan menjadi ulama yang dipercayai. Beliau ialah Abidah al-Madaniyyah. Pada mulanya beliau hanyalah seorang hamba sahaya, hamba dari saudagar bernama Muhammad bin Yazid. Namun kerana kegigihannya dalam menuntut ilmu, sehingga ke akhir hayat, beliau dikenang sebagai seorang ulama wanita terkemuka dan pakar hadis.
Al-Khatib al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad dan Ibn Hibban dalam Ats-Tsiqaat memasukkan Abidah sebagai salah satu daripada tiga nama perawi hadith wanita pada abad ketiga Hijrah. Beliau terkenal mempunyai hafazan dan kepintaran yang kuat melebihi wanita umumnya.
Semasa kecil, Abidah adalah hamba Muhammad bin Yazid di Madinah. Namun statusnya sebagai hamba tidak menghalangnya untuk belajar. Beliau giat mempelajari hadis daripada ulama Madinah. Setiap kali selesai melakukan pekerjaan rumah, Abidah bersemangat untuk menimba ilmu di dalam majlis ilmu. Kegiatan ini berterusan sehingga beliau berjaya menghafaz lebih kurang 10,000 hadis yang sanadnya diperoleh daripada guru-gurunya di Madinah. Masha Allah.
Pada suatu hari, ketika menunaikan ibadah haji, Muhammad bin Yazid bertemu dengan Habib Dahhun, seorang ahli hadis dari Andalusia. Muhammad bin Yazid juga menceritakan tentang sosok Abidah yang sangat cerdik dan menguasai banyak jalur penyampaian hadis. Habib Dahhun tertarik dengan Abidah. Habib Dahhun meminta Abidah menyertai majlis ilmu yang diadakannya semasa menunaikan haji.
Melihat keupayaan dan kepintaran Abidah, Muhammad bin Yazid merasakan Habib Dahhun adalah orang yang sesuai untuk menjadi guru Abidah. Dia juga membebaskan Abidah. Selepas merdeka, Habib Dahhun kemudian berkahwin dengan Abidah. Pakar hadis suami isteri ini pun pulang ke Andalusia dan menetap di sana. Abidah meninggalkan kampung halaman demi mengembangkan ilmu bersama suaminya.
Perawi Hadis Terkemuka
Di bawah bimbingan dan tunjuk ajar suaminya, ilmu Abidah dalam bidang hadis semakin dikenali. Dr Mohammad Akram Nadwi dalam bukunya Al-Muhaddithat: The Women Scholars in Islam mendedahkan bahawa terdapat hampir 8,000 wanita Islam yang menjadi perawi hadis. Beliau meletakkan sosok Abidah sebagai wanita keempat dari kalangan atba’ tabiin yang paling banyak meriwayatkan hadis selepas Rubiyya Muawidh, Ummu Darda’, dan Amrah binti Abdurrahman.
Abidah dikenali sebagai perawi hadis yang dipercayai kerana jalan penyampaian hadis yang diterimanya. Abidah tumbuh menjadi ulama wanita yang solehah, jujur, dan jauh dari dusta. Pada zamannya, ramai tokoh wanita yang mencapai kejayaan sebagai ulama hadis. Mereka datang dari latar belakang yang sangat pelbagai, termasuk Abidah yang asalnya seorang hamba.
Pada masa itu, terdapat banyak ahli hadis wanita selain Abidah, seperti Abdah bin Bishr, Ummu Umar ath-Thaqafiyyah, Ummu Muhammad Khadijah, Abdah binti Abdurrahman, dan lain-lain. Ini membuktikan bahawa sesiapa sahaja boleh belajar dan mendalami ilmu Islam termasuklah wanita. Tidak sedikit lelaki yang menuntut ilmu hadith dari perawi hadis perempuan. Malah, Imam Syafi’i juga belajar hadis dengan Sayyidah Nafisah binti Al-Hasan.
Terdapat beberapa pengajaran dan teladan yang boleh kita ambil daripada Abidah. Pertama, setiap muslim atau muslimah wajib menuntut ilmu khususnya ilmu agama Islam. Kedua, Islam tidak mendiskriminasikan wanita dari segi pendidikan. Ini kerana setiap hamba Allah SWT mempunyai hak mendapat pendidikan yang tertinggi. Ketiga, lelaki dan perempuan mempunyai kedudukan yang sama sebagai hamba Allah SWT. Jika berlainan bahagian dan peranan, maka Allah SWT menetapkan peraturan bagi lelaki dan perempuan secara adil dan sesuai dengan fitrah manusia. Sebagai contoh, Abidah merupakan salah seorang perawi hadis Muslimah yang dapat menandingi lelaki dari segi ilmu.
Selepas menetap di Andalusia, tidak banyak catatan yang menceritakan tentang kehidupan Abidah sehingga ke akhirnya. Dalam buku biografi, tidak diketahui dengan tepat bila Abidah meninggal dan di mana dia dikebumikan.
Daripada huraian di atas, dapat kita simpulkan bahawa dalam konteks keilmuan Islam, wanita juga memainkan peranan penting dalam memindahkan ilmu khususnya hadis dari satu generasi ke satu generasi. Wanita bukan sekadar pelajar. Mereka juga menjadi guru ulama lelaki terkemuka. Mereka adalah ulama wanita yang pandai menjaga akhlak, mengamalkan syariatNya, dan berakhlak mulia seperti muslimah yang taat.