[Kisah Inspiratif] Ummu al-Hasan, Muslimah Cerdas dari Andalusia
Kita pasti pernah mendengar ungkapan “guru adalah contoh bagi setiap anak didiknya.” Ungkapan tersebut dapat kita pelajari dari kisah seorang murid teladan dari seorang guru hebat di Andalusia yang bernama Imam Baqi’ bin Mikhlad. Murid tersebut bernama Ummu al-Hasan.
Imam Baqi’ sendiri merupakan murid kebanggaan Imam Ahmad yang mencatatkan dirinya sebagai penuntut ilmu sejati. Demi mendapat riwayat hadis dari gurunya, beliau berjalan kaki dari Andalusia ke Baghdad. Ketekunan Imam Baqi’ dalam menuntut ilmu lantas menurun kepada muridnya iaitu Ummu al-Hasan. Seorang muslimah cerdas yang menjadi murid kesayangan Imam Baqi’ bin Mikhlad.
Nama lengkapnya ialah Ummu al-Hasan binti Abi Liwa bin Asbagh bin Abdullah bin Wansus bin Yarbu al-Miknasi. Datuk moyangnya, Yarbu al-Miknasi merupakan mantan hamba Khalifah dari Bani Umayyah, Sulaiman bin Abdul Malik.
Ummu al-Hasan menuntut ilmu kepada Imam Baqi’ bin Mikhlad, murid teladan dari Imam Ahmad. Imam Baqi’ pula dikenali sebagai murid kesayangan Imam Ahmad. Perkara inilah yang membuatkan Ummu al-Hasan tertarik untuk berguru kepadanya. Ummu al-Hasan mempelajari ilmu fikih dan hadis kepada Imam Baqi’.
Tanpa mengenal penat dan lelah, Ummu al-Hasan senantiasa bersemangat untuk menuntut ilmu dari Imam Baqi’ sehingga pada akhirnya beliau dapat menguasai ilmu fikih dan meriwayatkan hadis. Tidak lama kemudian, nama beliau mulai dikenal dan menjadi terkenal di kalangan para ulama dek kerana kecerdasannya. Beliau juga dikenali sebagai murid utama Imam Baqi’ yang akan selalu disebut namanya di dalam setiap kitab yang mengulas gurunya.
Menunaikan haji dan Menuntut Ilmu
Dalam kitab Al-Muskitah, Amir Abdullah bin Abdurrahman III bin Muhammad menceritakan kisah Ummu al-Hasan. Beliau berkata “seorang perempuan berilmu dan solehah iaitu anak perempuan dari Abu Liwa datang setiap Jumaat ke majlis Jumaat Baqi’ bin Mikhlad di rumah Abu Abdurrahman. Perempuan itu merupakan seorang yang berilmu dan istimewa. Beliau juga telah melaksanakan kewajipan menunaikan haji.”
Sewaktu menunaikan haji, Ummu al-Hasan menggunakan waktu tersebut untuk meningkatkan ilmu pengetahuannya. Beliau tidak hanya menunaikan ibadah sewaktu berada di Tanah Haram akan tetapi menuntut ilmu juga. Dia memanfaatkan waktu sebaik mungkin demi mencari ilmu di negeri kelahiran Islam. Perjalanan yang jauh untuk ditempuh ke dua kota suci ini juga membuatkan beliau memanfaatkannya demi mengumpulkan ilmu sebanyak-banyaknya.
Ketika pulang dari haji, beliau dapat menambahkan banyak ilmu fikih dan meriwayatkan banyak hadis. Bahkan ketika berada di Andalusia kembali, beliau kembali belajar kepada gurunya, Baqi’, dan Ummu al-Hasan meriwayatkan hadis baru dari kota suci yang tidak pernah diriwayatkan Baqi’. Beliau kemudian meriwayatkan hadis dari muridnya, iaitu Ummu al-Hasan.
Ummu al-Hasan menjadi salah seorang ulama fikih yang cerdas dan menghasilkan banyak penulisan. Beliau sangat gigih dalam menulis buku-buku fikih dan hadis supaya ilmunya dapat disampaikan kepada umat. Ummu al-Hasan memiliki akhlak yang sangat baik, zuhud terhadap dunia, dan dikenali sebagai seorang yang sangat bijak dalam menyelesaikan setiap masalah yang dipertanyakan kepadanya. Beliau turut menjadi ulama wanita rujukan umat serta tempat bertanya umat bagi persoalan berkaitan syariat.
Ummu al-Hasan berpeluang untuk mengunjungi Mekah kembali sambil menunaikan haji untuk kali kedua. Beliau sangat bersemangat kerana dapat menuntut ilmu di sana. Namun, ternyata ajalnya telah tiba. Beliau menghembuskan nafas terakhirnya dan dikebumikan di Mekah.
Penutup
Dari kisah ini, kita boleh dapati banyak keteladanan dan perkara baik tentang kisah menuntut ilmu yang patut kita contohi. Dari seorang guru, lahirnya murid yang senantiasa mencontohi gurunya. Begitulah sepatutnya realiti ilmu yang bermanfaat. Keilmuannya memberikan kebaikan dan keberkahan kepada orang yang diajarkan.
Dari kisah Ummu al-Hasan ini, kita dapat menilai cara Islam memuliakan perempuan. Kewajipan menuntut ilmu bukan hanya untuk lelaki, akan tetapi untuk perempuan juga. Dari Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda, “Menuntut ilmu wajib atas setiap muslim.” [HR Al-Baihaqi].
Imam Ahmad menjelaskan, “Wajib hukumnya menuntut ilmu dengan seseorang yang boleh menegakkan agamanya.” Ditanyakan kepada beliau, “(Ilmu) seperti apa?” Beliau menjawab, “Ilmu tentang urusan-urusan yang dia tidak boleh jahil mengenainya seperti solat, puasa dan sebagainya.”
*Disarikan dari pelbagai sumber
https://muslimahnews.net/2023/05/24/20368/