[SOAL JAWAB] Apa dan Bagaimana Standard Jenayah Menurut Islam?
Oleh: KH. Hafidz Abdurrahman
Soalan:
Apakah dan bagaimanakah had perbuatan atau tindakan pelanggaran yang dinyatakan sebagai tindakan atau perbuatan jenayah? Adakah ada had yang jelas dalam sistem hukuman dalam Islam?
Jawapan:
Al-Muhami ‘Abdurrahman al-Maliki, dalam kitabnya, Nizhaam al-‘Uquubaat, menjelaskan had tindakan atau perbuatan jenayah seperti berikut:
وَالْجَرِيْمَة هِيَ الْفِعْلُ الْقَبِيْحُ، وَالْقَبِيْحُ هُوَ مَا قَبَّحَهُ الشَّرْعُ، وَلِذَلِكَ لاَيُعْتَبَرُ الْفِعْلُ جَرِيْمَةً إِلاَّ إِذَا نَصَّ الشَّرْعَ عَلَى أَنَّهُ فِعْلٌ قَبِيْحٌ، فَيُعْتَبَرُ حِيْنَئِذٍ جَرِيْمَةً، وَذَلِكَ بِغَضِّ النَّظَرِ عَنْ دَرَجَةِ قُبْحِهِ، أَيْ بِغَضِّ النَّظَرِ عَنْ كَوْنِ الْجَرِيْمَةِ كَبِيْرةَ أَوْ صَغِيْرَةً، فَقَدْ جَعَلَ الشَّرْعُ اَلْفِعْلَ الْقَبِيْحَ ذَنْبًا يُعَاقَبُ عَلَيْهِ، فَالذَّنْبُ هُوَ الْجَرِيْمَة بِعَيْنِهَا.
Perbuatan jenayah adalah perbuatan tercela (qabih). Perbuatan tercela adalah apa sahaja yang dinyatakan tercela oleh syarak. Oleh itu, suatu perbuatan tidak dinyatakan sebagai perbuatan jenayah, kecuali jika dinyatakan oleh nas syarak sebagai perbuatan tercela. Ketika itu perbuatan tersebut dinyatakan sebagai jenayah. Tanpa mengira tahap celaannya. Dengan kata lain, tidak kira sama ada perbuatan jenayah itu besar atau kecil. Syarak telah menjadikan perbuatan tercela sebagai dosa yang mesti dikenakan hukuman. Jadi, setiap dosa adalah perbuatan jenayah itu sendiri. [1]
Inilah had tentang perbuatan jenayah (jariimah) dalam pandangan Islam. Standardnya adalah setiap perbuatan dosa, baik dosa besar (kabaa’ir) mahupun kecil (shaghaa’ir). Oleh itu, setiap perbuatan dosa dalam pandangan Islam adalah perbuatan jenayah (jarimah) tanpa melihat besar dan kecilnya dosa yang dilakukan.
Mengenai status tercela (qabiih), atau terpuji (hasan), para ulama Usul Fiqh dan Ushuluddin membahagikan wilayah mereka menjadi tiga: [2]
1. Intinya (maahiyah), termasuk sifat sempurna dan tidak. Contohnya: Gula manis, boleh dihukum sebagai hasan. Najis berbau boleh dihukum sebagai qabiih. Pintar disebut hasan dan bodoh disebut qabih. Ini semua boleh dihukum dengan akal.
2. Sesuai atau tidak dengan fitrah (mulaa’amah wa munaafarah li fithrah al-insaan). Contohnya: Adil dianggap hasan sedangkan zalim dianggap qabiih. Ini boleh dihukum dengan menggunakan akal.
3. Akibat pahala dan dosa (tsawaab wa ‘iqaab), serta pujian dan celaan (madh wa dzam). Di sini, Muktazilah berpendapat akal boleh digunakan untuk menentukan, manakala Ahlul Sunnah sepakat, bahawa syariatlah satu-satunya yang boleh menentukan hasan dan qabiih. Contohnya: Gula halal atau haram tidak boleh ditentukan dengan akal, tetapi ditentukan oleh syarak. Ini kerana, ia berkaitan dengan akibat pahala dan dosa atau pujian dan celaan. Begitu juga, adil hukumnya wajib dan zalim hukumnya haram; tidak boleh ditentukan dengan akal, tetapi mesti ditentukan oleh syarak.
Oleh itu, dalam perbincangan hukum, kerana ini berkaitan pahala dan dosa atau pujian dan celaan, maka standard hasan dan qabiih ditentukan oleh syarak. Bukan dengan akal dan hawa nafsu. Kerana itu al-Qadhi Abu Bakar al-Baqillani (w. 403 H) menyatakan kaedah:
اَلحَسَنُ مَا حَسَّنَهُ الشَّرْعُ وَجَوَّزَهُ وَسَوَّغَهُ، وَالْقَبِيْحُ مَا قَبَّحَهُ الشَّرْعُ، وَحَرَّمَهُ، وَمَنَعَ مِنْهُ.
“Perbuatan yang terpuji adalah apa sahaja yang dinyatakan terpuji, dibenarkan dan sah oleh syarak. Perbuatan yang tercela ialah apa sahaja yang dinyatakan tercela, diharamkan dan dilarang oleh syarak.” [3]
Daripada rumusan al-Qadhi al-Baqillani ini, al-‘Allamah al-Qadhi Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani merumuskan kaedah:
اَلحَسَنُ مَا حَسَّنَهُ الشَّرْعُ وَالْقَبِيْحُ مَا قَبَّحَهُ الشَّرْعُ.
Perbuatan yang terpuji ialah apa sahaja yang dinyatakan terpuji oleh syarak. Perbuatan yang tercela adalah apa yang dinyatakan tercela oleh syarak.[4]
Dengan demikian, standard perbuatan terpuji dan tercela sekaligus perbuatan yang dinyatakan jenayah (jarimah) dan tidak, sudah jelas. Apa sahaja yang dinyatakan tercela (qabiih) jelas merupakan perbuatan jenayah (jariimah). Perbuatan ini adalah perbuatan dosa. Akibat dari perbuatan dosa tersebut, pelakunya mendapatkan hukuman (‘uqubaat) di dunia dan mendapat seksa (azab) di akhirat.
Mengenai status dosa besar atau kecil, sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Muhami ‘Abdurrahman al-Maliki di atas, tidak dijadikan sebagai syarat dalam menentukan, apakah perbuatan tersebut termasuk jenayah (jariimah) atau tidak?
Mengenai perbezaan dosa besar atau kecil, para ulama telah membincangkan kriterianya dengan panjang lebar, sebagaimana yang dibincangkan oleh adz-Dzahabi (w. 748 H) dalam kitabnya, Al-Kabaa’ir, juga Ibn Hajar al-Haitami (w. 974 H) dalam kitabnya, Az-Zawaajir.
Imam al-Hafidz Adz-Dzahabi menyatakan:
مَنْ اِرْتَكَبَ شَيْئًا مِنْ هَذِهِ الْعَظَائِمِ مِمَّا فِيْهِ حَدٌّ فِي الدُّنْيَا كَالْقَتْلِ وَالزِّنَا وَالسَّرِقَةِ، أَوْ جَاءَ فِيْهِ وَعِيْدٌ فِي الآخِرَةِ مِنْ عَذَابٍ، أَوْ غَضَبٍ، أَوْ تَهْدِيْدٍ، أَوْ لُعِنَ فَاعِلُهُ عَلَى لِسَانِ مُحَمَّدٍ صلى الله عليه وسلم فَإِنَّهُ كَبِيْرَةٌ
Sesiapa sahaja yang melakukan salah satu perbuatan dari perbuatan dosa besar ini (sebagaimana yang disebutkan dalam hadis), sesuatu yang di dalamnya dinyatakan terdapat hukumannya di dunia, seperti membunuh, berzina dan mencuri, atau di dalamnya dinyatakan terdapat ancaman di akhirat seperti azab, murka atau ancaman, atau pelakunya dilaknat melalui lisan Muhammad SAW., maka itu merupakan dosa besar.[5]
Adapun Ibn Hajar al-Haitami menyatakan bahawa dosa besar itu ialah:[6]
1. Dosa di mana pelakunya diancam dengan ancaman yang keras, melalui nas al-Quran dan as-Sunnah. Ini merupakan penjelasan Imam an-Nawawi dalam kitabnya, Ar-Rawdhah.
2. Segala perbuatan maksiat yang perlu dijatuhi hukuman seperti zina, mencuri, menuduh orang lain berzina dan meminum arak.
3. Maksiat yang dinyatakan keharamannya oleh al-Quran, atau jenisnya mewajibkan dijatuhi hukuman atas pelakunya, seperti berbohong dalam memberikan kesaksian, riwayat dan sumpah.
4. Maksiat yang mesti dijatuhi hukuman dan disertai ancaman.
Selain dari kriteria yang di sebutkan di atas, tidak termasuk dalam kategori dosa besar, tetapi termasuk dalam kategori dosa kecil. Namun, sebahagian ulama lain tidak membahagikan antara dosa besar dan dosa kecil. Dalam konteks perbuatan jenayah, baik dosa besar mahupun kecil tetap dianggap sebagai perbuatan jenayah. Bezanya, ada yang hukumannya telah ditetapkan oleh nas, baik berupa hudud mahupun jinayat, dan hukumannya tidak ditetapkan oleh nas tetapi diserahkan kepada Qadhi, baik dalam bentuk takzir ataupun mukhalafat.
Perlu diingatkan, perbuatan jenayah ini bukan fitrah manusia. Tindakan ini juga bukan sesuatu yang dihasilkan oleh manusia, tetapi boleh dikatakan sebagai penyakit yang menimpa manusia. Penyakit yang mesti diselesaikan dan dirawat. Oleh itu, perbuatan jenayah ini merupakan pelanggaran hukum syarak.
Kerana manusia hidup di dunia ini dikurniakan oleh Allah dengan keperluan jasmani (hajat ‘udhawiyyah) dan naluri (gharaa’iz), sebagai potensi kehidupan (thaaqah hayawiyyah), dan akal untuk mengetahui mana yang benar dan salah, mana yang haq dan batil, sebagai potensi manusia (thaqah insaniyyah), maka apabila keperluan jasmani (haajaat ‘udhawiyyah) dan naluri (gharaa’iz) tersebut dibiarkan untuk dipenuhi manusia tanpa peraturan (hukum syariah), pasti ia akan rosak dan kacau-bilau. Kerana itu, Allah menurunkan syariah sebagai peraturan yang mengatur seluruh pemenuhan yang dilakukan oleh manusia, baik untuk memenuhi keperluan jasmani (hajat ‘udhawiyyah) mahupun naluri (ghaara’iz)-nya.
Sebagai contoh, perzinaan adalah cara untuk memenuhi naluri seksual, tetapi cara tersebut salah (isyba’ khathi’). LGBT adalah cara memenuhi naluri seksual, tetapi cara tersebut bukan sahaja salah, tetapi juga menyimpang (syadz). Kedua-duanya dinyatakan haram oleh syarak. Hukumannya juga tegas dan keras disertai dengan ancaman dan laknat yang keras terhadap perbuatan dan pelakunya.
Syariah bukan sahaja menjelaskan hukumannya di dunia tetapi juga azab di akhirat.
Dalam konteks zina misalnya, dengan tegas Allah SWT menyatakan:
ٱلزَّانِيَةُ وَٱلزَّانِي فَٱجۡلِدُواْ كُلَّ وَٰحِدٖ مِّنۡهُمَا مِاْئَةَ جَلۡدَةٖۖ وَلَا تَأۡخُذۡكُم بِهِمَا رَأۡفَةٞ فِي دِينِ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۖ وَلۡيَشۡهَدۡ عَذَابَهُمَا طَآئِفَةٞ مِّنَ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ ٢
“Pezina perempuan dan pezina lelaki, deralah masing-masing dari keduanya seratus kali, dan janganlah rasa belas kasihan kepada kedua-duanya mencegah kalian untuk (melaksanakan) agama (hukum) Allah jika kalian mengimani Allah dan Hari Akhirat. Hendaklah (pelaksanaan) hukuman atas mereka disaksikan oleh sebahagian kaum Mukmin.” [TMQ an-Nur (24): 2].
Adapun ancaman azab di akhirat dinyatakan dengan tegas, bersifat umum bagi semua pelaku maksiat tanpa dibezakan besar dan kecilnya dosa mereka:
يُعۡرَفُ ٱلۡمُجۡرِمُونَ بِسِيمَٰهُمۡ فَيُؤۡخَذُ بِٱلنَّوَٰصِي وَٱلۡأَقۡدَامِ ٤١
“Para pendosa dikenali dengan tanda-tandanya, lalu direnggut ubun-ubun dan kakinya.” [TMQ ar-Rahman (55): 41].
Semua ini berkaitan dengan perbuatan jenayah; perbuatan maksiat yang pelakunya dinyatakan berdosa kepada Allah SWT. Inilah had perbuatan jenayah dalam pandangan Islam.
Nota kaki:
1. Al-Muhami ‘Abdurrahman al-Maliki, Nidzam al-‘Uqubat, Dar al-Ummah, Beirut, hal.
2. ‘Adhudu-Llah wa ad-Din al-Qadhi ‘Abdurrahman bin Ahmad al-Iji, al-Mawaqif fi ‘Ilmi al-Kalam, ‘Alim al-Kutub, Beirut, hal. 323-324; Badruddin Muhammad bin Bahadir bin ‘Abdillah az-Zarkasyi as-Syafii, al-Bahru al-Muhith fi Ushul al-Fiqh, Dar Ibn al-Jauzi, Qahirah, cet. I, 2016 M/1437 H, Juz I, hal. 145-146.
3. Al-Qadhi Abu Bakar bin at-Thayyib al-Baqillani, al-Inshaf Fima Yajibu I’tiqaduhu wa La Yajuzu al-Jahlu Bihi, editor Muhammad Zahid bin al-Hasan al-Kautsari, Maktabah al-Khaniji, Qahirah, cet. III, 1993 M/1413 H, hal. 50.
4. Al-‘Allamah al-Qadhi Syaikh Taqiyuddin an-Nabhani, as-Syakhshiyyah al-Islamiyyah, Min Mansyurat Hizb at-Tahrir, Beirut, cet. III, 2005 M/1426 H, Juz III, hal. 17.
5. Al-‘Allamah al-Hafidz Syasuddin ad-Dzahabi, al-Kabair, Dar al-Fikr, Beirut, t.t., hal. 8.
6. Al-‘Allamah Ibn Hajar al-Haitami, az-Zawajir ‘an Iqtirafi al-Kabair, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut, cet. III, 2011 M/1433 H, Juz I, hal. 12-14.
Sumber:
#SoalJawab #PerbuatanJenayah #PandanganIslam #DosaBesar #DosaKecil