[Soal Jawab] Makna dan Hukum Hijrah
Oleh: KH. Hafidz Abdurrahman
Soalan:
Apakah pengertian hijrah yang sebenar menurut Islam? Apakah status hukum hijrah saat ini: Adakah ia wajib atau tidak?
Jawapan:
Secara harfiah, hijrah bermaksud berpindah. Secara syarie, hijrah bermaksud berpindah dari Dârul Kufur ke Darul Islam. Adapun Darul Islam adalah negeri wilayah Khilafah, di mana hukum Islam diterapkan secara menyeluruh, dan keamanannya berada di tangan kaum Muslim. Selain itu, ia tidak disebut sebagai Darul Islam.[1]
Hukum hijrah dari Negara Kufur (Dârul Kufur) ke Negara Islam (Darul Islam)—atau ke negeri lain yang membolehkan seseorang melaksanakan agamanya — tidak memiliki satu hukum tunggal. Bahkan hukumnya berbeza-beza mengikut perbezaan keadaan dan situasi yang menyertainya. Kami akan mengemukakan pelbagai hukum yang telah disebutkan oleh para fuqahâ’ seperti berikut:
1. Hijrah hukumnya wajib. Meninggalkan hijrah haram dan berdosa.
Ini berlaku dalam keadaan-keadaan berikut:
● Tidak mampu menunaikan kewajipan-kewajipan syariah.[2]
● Bimbang agamanya mendapatkan fitnah, walaupun masih mampu menunaikan kewajipan-kewajipan syariahnya.[3]
● Jika diminta oleh Imam (Khalifah) untuk memperkuatkan kekuasaannya.[4]
Semua itu dengan syarat mampu berhijrah secara fizikal. Dalil tentang kewajipan hijrah dan keharaman meninggalkan hijrah ini dapat difahami daripada firman Allah SWT:
إِنَّ ٱلَّذِينَ تَوَفَّىٰهُمُ ٱلۡمَلَٰٓئِكَةُ ظَالِمِيٓ أَنفُسِهِمۡ قَالُواْ فِيمَ كُنتُمۡۖ قَالُواْ كُنَّا مُسۡتَضۡعَفِينَ فِي ٱلۡأَرۡضِۚ قَالُوٓاْ أَلَمۡ تَكُنۡ أَرۡضُ ٱللَّهِ وَٰسِعَةٗ فَتُهَاجِرُواْ فِيهَاۚ فَأُوْلَٰٓئِكَ مَأۡوَىٰهُمۡ جَهَنَّمُۖ وَسَآءَتۡ مَصِيرًا ٩٧
Sesungguhnya orang-orang yang dicabut nyawanya oleh malaikat dalam keadaan menzalimi diri sendiri, mereka (para malaikat) bertanya, “Bagaimana kamu ini? Mereka menjawa, “Kami orang-orang yang tertindas di bumi Mekah).” Mereka (para malaikat) bertanya, “Bukankah bumi Allah itu luas sehingga kamu dapat berhijrah (berpindah-pindah) di bumi itu?” Maka orang-orang itu tempatnya di neraka Jahanam, dan neraka Jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.” (TMQ an-Nisa’ [4]: 97).
Pengarang kitab Ar-Rawhah an-Nadiyyah berkata, “Dikatakan bahawa yang dimaksudkan dengan ‘bumi’ dalam ayat ini ialah Madinah. Akan tetapi, mengambil makna umum lebih utama, kerana yang menjadi pertimbangan ialah keumuman lafaz, bukan kekhususan sebab turunnya ayat — sebagaimana pendapat yang benar. Maka berdasarkan hal itu, apa yang dimaksud dengan ‘bumi’ ialah setiap wilayah di muka bumi yang layak untuk dihijrahi.”[5]
Dalam kitab Al-Mughnî, karya Ibn Qudamah disebutkan: “Orang-orang itu tempatnya di Neraka Jahanam. Itulah seburuk-buruk tempat kembali.”
Ini merupakan ancaman keras yang menunjukkan bahawa hijrah hukumnya wajib. Sebab, menegakkan kewajipan agama adalah wajib bagi orang yang mampu. Hijrah merupakan syarat dan penyempurna kewajipan itu. Ini sebagaimana kaedah usul yang menyatakan:
«مَا لَا يَتِمُّ الْوَاجِبُ إِلاَّ بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ»
Perkara yang menjadikan kewajipan tidak sempurna tanpa perkara tersebut maka perkara itu hukumnya juga wajib.[6]
Dalam Tafsîr al-Qurthubii disebutkan: “Ucapan mereka: ‘Kami adalah orang-orang yang tertindas di bumi’, iaitu Mekah — adalah alasan yang tidak benar, kerana mereka sebenarnya mampu mencari jalan keluar dan mengetahui jalannya. Kemudian para malaikat menegur mereka tentang agama mereka dengan ucapan: ‘Bukankah bumi Allah itu luas?’ Pertanyaan dan jawapan ini menunjukkan bahawa mereka mati dalam keadaan Muslim, tetapi menzalimi diri sendiri kerana meninggalkan hijrah.”[7]
Dalam Tafsîr al-Âlûsî disebutkan: “Firman-Nya: Para malaikat berkata: Maksudnya para malaikat berkata, ‘Bukankah bumi Allah itu luas sehingga kalian dapat berhijrah ke sana,’ iaitu dengan berpindah ke wilayah lain di muka bumi, di sana kalian mampu menegakkan urusan agama kalian. Ini sebagaimana yang dilakukan oleh orang-orang yang berhijrah ke Habsyah dan Madinah.”[8]
Ada pula pendapat yang menyatakan bahawa meninggalkan hijrah ketika seseorang itu mampu berhijrah dianggap sebagai murtad daripada Islam. Pendapat ini tentunya tidak dapat diterima.
Dalam kitab Ahkâm al-Qur’ân, karya al-Jashash disebutkan: Al-Hasan bin Shalih berkata: “Jika seorang kafir harbi masuk Islam lalu tetap tinggal di negeri mereka, padahal dia mampu keluar, maka dia bukan Muslim..” Kemudian al-Jashash berkata: “Adapun ucapan al-Hasan bin Shalih bahawa seorang Muslim jika bergabung dengan negeri perang (dârul-harb) maka dia murtad, maka pendapat ini menyelisihi al-Quran dan ijmak. Hal ini kerana Allah SWT telah berfirman:
وَٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَلَمۡ يُهَاجِرُواْ مَا لَكُم مِّن وَلَٰيَتِهِم مِّن شَيۡءٍ حَتَّىٰ يُهَاجِرُواْۚ ٧٢
”Orang-orang yang beriman, tetapi belum berhijrah, tidak ada kewajipan sedikit pun bagimu untuk melindungi mereka sehingga mereka berhijrah.” (TMQ al-Anfal [8]: 72).
Maka berdasarkan ayat di atas, Allah memandang mereka sebagai orang-orang beriman meskipun mereka tetap tinggal di negeri perang (dârul-harb) setelah keislaman mereka. Allah mewajibkan kita menolong mereka melalui firman-Nya:
وَإِنِ ٱسۡتَنصَرُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ فَعَلَيۡكُمُ ٱلنَّصۡرُ ٧٢
”Jika mereka meminta pertolongan kepada kalian dalam urusan pembelaan agama, maka kamu wajib memberikan pertolongan..” (TMQ al-Anfal [8]: 72).
Kemudian, hadis yang diriwayatkan oleh Buraidah yang di dalamnya terdapat kalimat:
«ثُمَّ ادْعُهُمْ إِلَى التَّحَوُّلِ مِنْ دَارِهِمْ إلَى دَارِ الْمُهَاجِرِيْنَ… فَإِنْ أَبَوْا أَنْ يَتَحَوَّلُوْا مِنْهَا، فَأَخْبِرْهُم أَنَّهُمْ يَكُوْنُوْنَ كَأَعْرَابِ الْمُسْلِمِيْنَ»
Kemudian ajaklah mereka berpindah dari negeri mereka ke negeri kaum Muhajirin…Jika mereka menolak berpindah darinya maka beritahukanlah kepada mereka bahawa mereka seperti orang Arab Badwi yang Muslim.[9]
Hadis ini menunjukkan bahawa tidak berhijrah ketika mampu tidak dianggap sebagai bentuk riddah (murtad) atau kekufuran. Yang benar ialah, jika hijrah menjadi wajib dalam keadaan-keadaan yang telah disebutkan di atas, kemudian orang yang diwajibkan berhijrah itu tidak berhijrah, maka dia berdosa. Dengan catatan, jika tidak berhijrah itu boleh menyebabkan fitnah dan agamanya terlepas. Dalam keadaan tersebut dia menjadi riddah dan kufur. Bukan kerana memang murtad dan bukan kerana tidak berhijrah.
Berdasarkan beberapa keadaan yang menjadikan hijrah hukumnya wajib dan meninggalkan hijrah hukumnya haram, dapat difahami hadis-hadis yang mengharamkan seorang Muslim tinggal di dârul-kufur. Ini sebagaimana sabda Nabi SAW yang diriwayatkan Samurah bin Jundub:
«مَنْ جَامَعَ المُشْرِكَ، وَسَكَنَ مَعَهُ فَهُوَ مِثْلُهُ»
”Sesiapa sahaja yang bergaul dengan orang musyrik dan tinggal bersama orang musyrik tersebut maka dia seperti mereka.”[10]
Dalam riwayat lain dinyatakan:
«وَلَا تُسَاكِنُوْا المُشْرِكِيْنَ، وَلَا تَجَامَعُوْهُمْ فَمَنْ سَاكَنَهُمْ، أَوْ جَامَعَهُمْ فَهُوَ مِثْلُهُم.»
”Janganlah kalian tinggal bersama kaum musyrik dan jangan bergaul dengan mereka. Sesiapa sahaja yang tinggal bersama mereka atau bergaul dengan mereka maka dia seperti mereka.”
Juga sebagaimana sabda Nabi SAW yang diriwayatkan dari Jarir bin ‘Abdillah:
«أَنَا بَرِيْءٌ مِنْ كُلِّ مُسْلِمٍ يُقِيْمُ بَيْنَ أَظْهُرِ المُشْرِكِيْنَ، قَالُوْا: يَا رَسُوْلَ اللهِ، وَلِمَ؟ قَالَ: لَا تَراءَى نَارَاهُمَا.»
“Aku berlepas diri dari setiap Muslim yang tinggal di tengah-tengah kaum musyrik.” Para Sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, mengapa?” Beliau menjawab, “Kerana api keduanya tidak boleh saling terlihat.”[11]
Maksudnya: “Tidak semestinya kedua-duanya berada di suatu tempat di mana api masing-masing saling berhadapan sedemikian rupa sehingga seandainya api itu mampu melihat, nescaya yang satu akan melihat yang lain.”
Penetapan sifat ‘melihat’ pada api adalah majaz (kiasan). Dikatakan pula: “Maknanya, yang dimaksud adalah ‘api peperangan’. Beliau bersabda: ‘Api kedua-duanya berbeza. Yang ini menyeru kepada Allah. Yang itu menyeru kepada syaitan. Lalu bagaimana mungkin kedua-duanya boleh bersepakat? Bagaimana mungkin dia tinggal bersama mereka di negeri mereka, padahal keadaan yang satu seperti ini dan keadaan yang lain seperti itu?’”[12]
2. Hukumnya Mandûb atau Mustahaab. Bukan Wajib.
Bagi orang yang mampu berhijrah dan mampu menampakkan agamanya di Negara Kafir (Dar al-Kufr). Dalam kitab Al-Mughnî, karya Ibn Qudâmah disebutkan alasan, mengapa hijrah dalam keadaan ini disunatkan dan tidak diwajibkan:
“Agar dia mampu berjihad melawan mereka, memperbanyak jumlah kaum Muslim, menolong mereka, serta terlepas daripada memperbanyak jumlah orang kafir, bergaul dengan mereka, dan melihat kemungkaran di tengah mereka. Namun, hijrah tidak wajib baginya kerana dia masih mampu menegakkan kewajipan agamanya tanpa perlu berhijrah.” Kemudian beliau mengatakan: “Kami meriwayatkan, bahawa Nu‘aim an-Nahâm, ketika hendak berhijrah, didatangi oleh kaumnya dari Bani ‘Adî. Mereka berkata kepadanya: ‘Tinggallah bersama kami dengan tetap memeluk agamamu, dan kami akan melindungimu daripada orang yang hendak menyakitimu. Tolonglah kami sebagaimana engkau biasa menolong kami.’ Dia biasa mengurus anak-anak yatim dan para janda daripada Bani ‘Adî. Maka dia menangguhkan hijrah untuk beberapa waktu, walaupun akhirnya setelah itu beliau tetap berhijrah. Maka Nabi SAW bersabda kepadanya: ‘Kaummu sebenarnya lebih baik terhadapmu, berbanding kaumku. Kaumku mengusirku dan hendak membunuhku, sedangkan kaummu menjagamu dan melindungimu!’ Nu‘aim menjawab: ‘Wahai Rasulullah, justeru kaummu mengusirmu menuju ketaatan kepada Allah dan jihad melawan musuh-Nya. Sedangkan kaumku menghalangiku daripada berhijrah dan ketaatan kepada Allah!’ atau ucapan yang semakna dengan itu.”[13]
3. Hukum Ketiga: Gugurnya Kewajipan dan Kesunnahan Hijrah.
Ini berlaku bagi orang yang tidak mampu melakukan hijrah—sebagaimana yang dinyatakan oleh pengarang Kitab Al-Mughni—sama ada kerana sakit, atau dipaksa untuk terus tinggal, atau kerana lemah (seperti perempuan, kanak-kanak, dan sebagainya). Orang seperti ini tidak diwajibkan berhijrah. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
إِلَّا ٱلۡمُسۡتَضۡعَفِينَ مِنَ ٱلرِّجَالِ وَٱلنِّسَآءِ وَٱلۡوِلۡدَٰنِ لَا يَسۡتَطِيعُونَ حِيلَةٗ وَلَا يَهۡتَدُونَ سَبِيلٗا ٩٨ فَأُوْلَٰٓئِكَ عَسَى ٱللَّهُ أَن يَعۡفُوَ عَنۡهُمۡۚ وَكَانَ ٱللَّهُ عَفُوًّا غَفُورٗا ٩٩
…Kecuali orang-orang lemah dari kalangan lelaki, perempuan dan kanak-kanak yang tidak mampu berbuat sesuatu; tidak mempunyai daya upaya dan tidak mengetahui jalan. Mudah-mudahan Allah memaafkan mereka. Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun (TMQ an-Nisa’ [4]: 98-99).
Hijrah dalam keadaan ini tidak disifatkan sebagai sunat kerana mereka sememangnya tidak mampu untuk melakukannya.[14]
4. Hukum keempat.
Disunatkan bagi seorang Muslim untuk tetap tinggal di Dârul-Kufur, iaitu dalam keadaan dia berharap Islam akan menang dan tersebar melalui keberadaannya di tempat tersebut; atau apabila dengan tetap tinggal di Dârul-Kufur itu akan terwujud suatu kemaslahatan bagi kaum Muslim. Pengarang Mughnî al-Muhtâj menukilkan bahawa keislaman al-‘Abbas RA terjadi sebelum Perang Badar. Dia sengaja menyembunyikan keislamannya dan menulis surat kepada Nabi SAW yang mengandungi berita-berita tentang kaum musyrik. Kaum Muslim mempercayai dirinya. Dia sangat ingin datang menemui Nabi SAW, namun Nabi SAW menulis kepadanya, “Sesungguhnya kamu tetap menetap di Mekah adalah lebih baik bagi dirimu.” Kemudian beliau menampakkan keislamannya pada saat Fathu Makkah.[15]
5. Hukum kelima.
Haram berhijrah dari Dârul-Kufur ke Darul Islam dan tetap wajib tinggal di Dârul-Kufur. Hal ini berlaku apabila seseorang mempunyai kemampuan untuk mengubah Dârul-Kufur tempat dia tinggal menjadi Darul Islam, baik dengan kemampuannya sendiri atau bersama-sama dengan kaum Muslim yang berada di negerinya; atau dengan meminta bantuan kaum Muslim dari luar negeri; atau dengan bekerjasama dengan Darul Islam; atau melalui cara-cara yang lain. Dalam keadaan demikian, dia wajib berusaha untuk mengubah Dârul Kufur tersebut menjadi Darul Islam. Oleh itu, dalam keadaan tersebut dia diharamkan berhijrah dari negeri itu.
Dalilnya ialah selama dia mampu memerangi kaum kafir dan menundukkan negeri tempat dia berada di bawah pemerintahan Islam, maka dia termasuk dalam firman Allah SWT:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قَٰتِلُواْ ٱلَّذِينَ يَلُونَكُم مِّنَ ٱلۡكُفَّارِ ١٢٣
”Wahai orang-orang yang beriman, perangilah orang-orang kafir yang ada di sekitar kamu” (TMQ at-Taubah [9]: 123).
Dalam Mughnî al-Muhtâj disebutkan:
Jika dia mampu bertahan di Dârul-Harb dan mengasingkan diri daripada mereka, maka dia wajib tinggal di sana, kerana tempat tersebut menjadi Darul Islam. Jika dia berhijrah dari sana, maka negeri itu akan kembali menjadi Dârul-Harb. Ini haram hukumnya. Namun, jika dia berharap dapat menolong kaum Muslim dengan berhijrah, maka lebih baik dia berhijrah.[16]
WalLâhu a’lam bi as-shawâb.
Catatan kaki:
1. Muhammad Khair Haikal, al-Jihad wa al-Qital fî as-Siyasah as-Syar’iyyah, Juz I/669.
2. Ibn Qudâmah, Al-Mughnî, Juz X/514.
3. Al-Khathib Asy-Syirbînî, Mughnî al-Mu%tâj, Juz IV/239.
4. Asy-Syaukânî, Nailul Awmâr, Juz VIII/29.
5. Shiddiq Khan al-Qanuji, al-‘Ibrah fima Ja’a fî al-Ghazwi wa as-Syahadah wa al-Hijrah, 216.
6. Ibn Qudâmah, Al-Mughnî, Juz X/514.
7. Al-Qurmubî, Tafsîr al-Qurmubî, Juz V/346.
8. Al-lûsî, Tafsîr al-lûsî, Juz V/126.
9. Al-Jacâc, A%kâm al-Qur’ân, Juz III/219.
10. Abû Dâwûd dan at-Tirmidzî. Namun al-Bukhârî, Abû $âtim, Abû Dâwûd, at-Tirmidzî, dan ad-Dâraqumnî mensahihkan, bahawa hadits ini mursal kepada Qais bin Abî $âzim.
11. Lihat, Nailul Awmâr, Juz VIII/27-28, Jâmi‘ al-Ucûl, Juz IV/445, Sunan at-Tirmidzî, Juz IV/155, dan Sunan Abû Dâwûd, Juz III/122 no. 2787.
12. Lihat, Nailul Awmâr, Juz VIII/27-28, Jâmi‘ al-Ucûl, Juz IV/445, Sunan at-Tirmidzî, Juz IV/155, dan Sunan Abû Dâwûd, Juz III/122 no. 2787.
13. Ibn Qudâmah, Al-Mughnî, Juz X/515.
14. Ibn Qudâmah, Al-Mughnî, Juz X/514.
15. Al-Khathib Asy-Syirbînî, Mughnî al-Mu%tâj, Juz IV/239.
16. Al-Khathib Asy-Syirbînî, Mughnî al-Mu%tâj, Juz IV/239.
#hijrah #hukumhijrah #DarulKufur #DarusIslam