[Nafsiyah] Khilafiah dan Pecah Belah
Penulis: Doni Riw
Kebenaran Islam itu mutlak, sementara kebenaran fikih ada yang khilafiah. Hukum syarak digali dari dalil (sumber hukum) menjadi fikih (produk hukum). Dilihat dari sumbernya, dalil boleh dibahagi kepada dua, qath’ie tsubut dan dzanni tsubut.
Qath’ie tsubut bererti bahawa dalil tersebut meyakinkan secara 100% datang dari Allah. Di antara dalil yang qath’ie tsubut adalah al-Quran dan hadis mutawatir.
Dzanni tsubut ertinya diduga kuat, 99% dalil itu datang dari Allah. Di antara dalil yang dzanni tsubut adalah hadis ahad; masyhur, azis, dan gharib.
Dilihat dari makna lafaz, dalil boleh dibahagi menjadi dua, qath’ie dilalah dan dzanni dilalah. Dalil qath’ie dilalah teksnya memiliki makna yang jelas, tidak memiliki pelbagai tafsiran. Sebaliknya, dzanni dilalah makna teksnya membolehkan tafsiran yang berbeza.
Hukum yang datang daripada dalil qath’ie tsubut dan qath’ie dilalah menghasilkan hukum yang qath’ie. Oleh itu, tidak ada khilafiah. Inilah perkara usul seperti bab kewajipan solat, dsb.
Sementara itu, hukum yang datang dari dalil yang qath’ie tsubut tetapi makna teksnya dzanni dilalah, maka status hukumnya dzanni dan terjadi khilafiah di antara para mujtahid. Inilah perkara furuk, contohnya seperti tentang rukun solat, dsb.
Yang terakhir, hukum yang digali dari dalil dzanni tsubut, baik secara tekstual termasuk qath’ie dilalah dan dzanni dilalah, maka hasil hukumnya juga dzanni dan khilafiah.
Generasi sahabat, tabiin, tabiut tabiin, hinggalah para ulama klasik, memahami sepenuhnya perkara ini. Mereka saling menerima khilafiah (perbezaan) yang datang dari dalil dzanni. Namun pada perkara yang dalilnya ditetapkan sebagai qath’ie maka kaum muslim tegas tentang perkara tersebut dan tidak ada khilafiah.
Kaum muslim sekarang ramai yang tidak memahami perkara ini. Sehingga khilafiah yang datang dari dalil dzanni dijadikan bahan untuk menyesatkan dan membid’ahkan kaum muslim lain. Sebaliknya, atas hukum yang qath’ie, tetapi tidak diterapkan (seperti tidak diterapkannya kewajipan hudud, politik, ekonomi Islam), mereka diam sahaja. Mereka juga menutup mata atas kebid’ahan kerajaan atau republik, dan kesesatan demokrasi.
Musuh-musuh Islam menyukai orang seperti ini. Suka berpecah-belah dalam hal khilafiah, tetapi lalai dan mengabaikan perkara qath’ie.
Sumber: https://t.me/doniriw_channe