[Nafsiyah] Perbezaan Arah antara Akal dan Hawa Nafsu
Penulis: Ibnu al-Jauzi
Ketahuilah bahawa hawa nafsu itu mengajak kepada kenikmatan tanpa mempertimbangkan akibatnya. Sebagaimana diketahui, kenikmatan itu akan melahirkan kerugian yang lebih besar, bahkan dapat menghalang manusia untuk merasakan kenikmatan serupa. Hawa nafsu itu berpaling dari akal. Yang demikian itu adalah sifat binatang yang selalunya tidak mempertimbangkan akibat. Tidak semestinya manusia sebagai makhluk berakal jatuh daripada martabat yang mulia ke martabat yang hina.
Adapun akal senantiasa memerhatikan pelbagai akibat dan kemaslahatan. Akal bagaikan orang dewasa yang bijak dan doktor yang secara tulus memberi nasihat, sedangkan hawa nafsu bagaikan anak kecil yang bodoh dan orang sakit yang rakus.
Ketika terjadi pertentangan antara akal dan hawa nafsu, sudah sepatutnya manusia mengutamakan akal dan bersabar menghadapi hawa nafsunya.
Cukuplah keutamaan akal sebagai hujah baginya dalam mengedepankan akal. Cukuplah dengan memerhatikan akibat-akibat yang ditimbulkan oleh hawa nafsu yang merugikan, seperti terbongkarnya aib, dipermalukan di hadapan orang ramai, jatuh harga diri, dan kehilangan keutamaan.
Kemudian hendaklah manusia itu melihat apa yang akan dialami seseorang setelah perbuatan dan kenikmatan berlalu, serta menimbangkan kenikmatan tersebut dengan dosa. Pada akhirnya, manusia akan sedar bahawa mereka telah mengalami kerugian yang jauh lebih besar daripada keuntungan yang telah mereka raih.
“Berapa banyak kelazatan yang membunuh kebahagiaan.
Telah jernih dari bahaya-bahaya yang menyedihkan.
Tidak sedikit syahwat telah melucuti pengikutnya.
Dari pakaian keagamaan dan kehormatannya.”
Ketahuilah bahawa manusia yang mengikuti hawa nafsunya, walaupun tidak sampai merugikan, mereka tetap akan merasakan kehinaan dalam dirinya kerana posisinya yang telah kalah oleh hawa nafsu. Apabila mereka dapat mengalahkan hawa nafsunya, maka mereka akan menemukan kemuliaan dalam dirinya kerana posisinya sebagai pemenang.
Bukankah kita sering melihat orang-orang takjub terhadap orang zuhud? Hal itu tidaklah terjadi kecuali kerana orang zuhud telah mampu mengatasi apa yang mereka tidak mampu, iaitu menentang hawa nafsu.
Sumber: Ibnu al-Jauzi, Mengobati Jiwa yang Lelah